Skip to main content

Singapura

Mulai 1 Jun penumpang dewasa bukan konsensi perlu naik taraf kad pembayaran kepada SimplyGo

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mulai 1 Jun, penumpang dewasa bukan konsensi tidak akan dapat menggunakan kad NETS FlashPay dan kad EZ Link dewasa mereka yang belum dinaik taraf kepada SimplyGo, untuk membayar tambang pengangkutan awam mereka.

Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa (9 Jan).

Dalam satu kenyataan media, LTA menyatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada peralihannya kepada sistem SimplyGo, yang semakin digunakan dalam kalangan penumpang dewasa.

Penumpang masih boleh menggunakan kedua-dua jenis kad nilai yang disimpan legasi untuk pembayaran berkaitan permotoran seperti Harga Elektronik Jalan Raya (ERP) dan caj tempat letak kereta.

LTA menambah bahawa ia menyaksikan penggunaan kaedah pembayaran menggunakan platform SimplyGo yang semakin meningkat, yang diperkenalkan pada 2019.

"Hari ini, sekitar dua dalam tiga transaksi tambang dewasa bagi pengangkutan awam dibuat menggunakan sama ada SimplyGo EZ-link atau kad bank," katanya.

"Dengan SimplyGo, pemegang kad boleh menyaksikan sejarah tambang mereka di mana sahaja, menambah nilai kad mereka menggunakan telefon bimbit mereka, dan menyekat kad yang hilang dari jauh untuk mengelakkan sebarang transaksi yang tidak dibenarkan," kata LTA.

Penumpang boleh memeriksa sekiranya kad mereka mempunyai logo SimplyGo itu menerusi aplikasi SimplyGo, aplikasi EZ-Link atau di mana terdapat mesin tiket.

Mereka yang menggunakan kad konsesi, seperti golongan warga emas, pelajar, pemegang kad Skim Konsesi Pengangkutan Daya Kerja, dan orang kurang upaya, tidak akan terjejas.

Pemegang kad tersebut tidak perlu menaik taraf kad mereka menjelang 1 Jun, tetapi boleh memilih untuk melakukan demikian jika ingin menerima manfaat SimplyGo, tambah LTA.

BAYARAN TRANSIT

LTA menasihatkan mereka yang menggunakan kad dewasa EZ-Link untuk menaik tarafnya kepada sistem SimplyGo di mana-mana mesin tiket, Pejabat Tiket SimplyGo atau Pusat Khidmat Tiket.

"Sebagai alternatif, penumpang dewasa yang menggunakan kad ini boleh memilih pilihan pembayaran SimplyGo lain, termasuk kad bank tanpa sentuh. Kad nilai simpanan legasi mereka boleh digunakan untuk pembayaran bukan transit lain, atau dikembalikan."

PEMBAYARAN BUKAN TRANSIT

LTA menyatakan kad dewasa EZ-Link masih boleh digunakan bagi pembayaran berkaitan permotoran seperti ERP atau caj tempat letak kereta, tetapi pengguna tidak boleh menaik taraf kad mereka kepada sistem SimplyGo.

Kad NETS FlashPay akan terus diterima bagi pembayaran berkaitan permotoran dan runcit di tempat penerimaan NETS.

Pemegang kad dewasa EZ-Link dan NETS FlashPay boleh terus mendapatkan bayaran balik untuk baki nilai kad mereka selepas 1 Jun di Pejabat Tiket SimplyGo atau Pusat Khidmat Tiket.

Penumpang juga digalakkan supaya memuat turun aplikasi mudah alih SimplyGo untuk meraih manfaat seperti melihat transaksi tambang dan menambah nilai baki kad mereka dari jauh.

LTA menyatakan: "Bagi mereka yang tidak mempunyai aplikasi itu, mereka boleh melihat transaksi perjalanan dan baki kad mereka di mesin tiket.

"Duta perkhidmatan akan dikerahkan di stesen MRT, LRT dan pusat pertukaran bas dengan mesin tiket untuk membantu penumpang menaik taraf kad mereka serta membantu mereka dalam memuat turun dan menggunakan aplikasi SimplyGo itu."
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita