Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mulai 1 Jan hanya pekerja lengkap divaksin boleh kembali ke tempat kerja

Mulai 1 Januari, hanya pekerja yang sudah lengkap divaksin atau sudah pulih daripada COVID-19 dalam tempoh 270 hari terakhir akan dibenarkan kembali ke tempat kerja, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (23 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Mulai 1 Jan hanya pekerja lengkap divaksin boleh kembali ke tempat kerja

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 23 Oct 2021 05:49PM Dikemas Kini : 23 Oct 2021 05:52PM

SINGAPURA: Mulai 1 Januari, hanya pekerja yang sudah lengkap divaksin atau sudah pulih daripada COVID-19 dalam tempoh 270 hari terakhir akan dibenarkan kembali ke tempat kerja, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (23 Okt).

Pekerja yang tidak divaksin tidak akan dibenarkan kembali ke tempat kerja mereka melainkan mereka diuji negatif COVID-19. Mereka juga perlu menanggung sendiri kos ujian.

Ujian hendaklah dijalankan di penyedia yang diluluskan MOH dan mesti sah selama tempoh pekerja dikehendaki berada di tempat kerja mereka. Keputusan ujian pantas antigen (ART) yang negatif sah selama 24 jam.

Syarat ujian juga dikuat kuasakan ke atas pekerja yang hamil atau mereka uang tidak layak secara perubatan untuk divaksin.

"Rakan kerja tiga pihak setuju dengan pertimbangan khas yang harus diberikan oleh majikan kepada kumpulan-kumpulan ini, seperti membenarkan mereka bekerja dari rumah tanpa menjejas prestasi dan mencapai persetujuan yang wajar mengenai pembahagian kos ujian," menurut MOH.

PENGECUALIAN KHAS BAGI YANG TIDAK BOLEH DIVAKSIN

Pada Sabtu, MOH turut mengumumkan, mereka yang tidak layak dari segi perubatan untuk sebarang vaksin COVID-19 di bawah program vaksinasi nasional akan diberi pengecualian khas untuk memasuki tempat di mana vaksinasi diperlukan seperti pusat beli-belah.

Pengecualian itu akan berkuat kuasa mulai bulan depan, kata pengerusi bersama pasukan bertindak COVID-19 Gan Kim Yong.

“Bagi individu yang tidak layak dari segi perubatan untuk program vaksinasi nasional, kami akan memberi kelonggaran khas untuk mereka memasuki premis atau menyertai kegiatan di mana adanya sistem pengurusan selamat dibezakan mengikut status vaksin, seperti pusat beli-belah, daya tarikan, pusat penjaja dan kedai kopi, bermula 1 Nov 2021,” kata Encik Gan semasa sidang media pada Sabtu.

"Bagi mereka yang tidak layak dari segi perubatan bagi vaksin mRNA tetapi layak untuk Sinovac, mereka perlu mendapatkan suntikan Sinovac untuk dianggap sebagai lengkap divaksin."

Encik Gan menambah bahawa individu sedemikian akan diberi tempoh kelonggaran sehingga 31 Disember untuk mendapatkan suntikan Sinovac mereka.

Di taklimat yang sama, Encik Gan mengumumkan bahawa vaksin Sinovac COVID-19 akan dimasukkan dalam program vaksinasi nasional Singapura.

KEGIATAN BAGI WARGA EMAS

Warga emas yang sudah lengkap divaksin boleh mengambil bahagian dalam "kegiatan selamat dan sihat" yang akan membantu mereka mengekalkan kesihatan fizikal dan mental mereka, kata MOH pada Sabtu.

"Selama beberapa bulan terakhir, pilihan untuk warga emas menyertai kegiatan kesejahteraan sosial adalah terbatas, ekoran langkah-langkah pengurusan selamat yang harus dilaksanakan untuk mengekang penularan COVID-19," menurut MOH.

“Penting bagi warga emas kita mengekalkan kesihatan fizikal dan mental yang baik. Oleh itu, Persatuan Rakyat akan mengaturkan aktiviti untuk warga emas yang lengkap divaksin mengikut langkah-langkah pengurusan selamat. ”

Encik Gan berkata kegiatan-kegiatan itu mungkin merangkumi latihan fizikal seperti qigong dan lawatan berpandu. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan