Mula sebagai sukarelawan, kini jurulatih bola sepak wanita - Salimah Senin mahu perkasa kaum hawa menerusi sukan
SINGAPURA: Tidak seperti ibu bapa lain, hujung minggu Cik Salimah Senin lazimnya diluangkan di padang bola.
Bermula sebagai seorang sukarelawan pada April tahun lalu, Cik Salimah yang dahulu aktif bermain bola sepak dan sering mengambil bahagian dalam perlawanan di peringkat nasional, kini menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih pasukan bola sepak wanita Admiralty CSN.
Meskipun perlu "mengorbankan" hujung minggunya, namun beliau mahu untuk membantu budak-budak perempuan itu mencapai potensi dan bakat mereka dalam bola sepak.
Ini selain dapat memupuk sikap disiplin dan semangat olahragawati dalam diri anak-anak didiknya yang berusia antara 7 hingga 18 tahun.
"Pengetahuan mereka (dalam bola sepak) sangat asas sahaja dan mereka hanya tahu untuk tendang apabila nampak bola dan tidak tahu posisi-posisi yang ada seperti 'striker', 'defender', 'mid-fielder' dan 'winger'," kongsi Cik Salimah, 40 tahun kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Jadi kita secara perlahan-lahan membina semua budak perempuan ini dalam teknik-teknik asas yang berbeza, teknik dril dan perlahan-lahan juga, kita dapat melihat potensi mereka dan ada yang berbakat. Jadi itu yang buat saya lebih mahir dan ingin meneruskan tugas jadi jurulatih Admiralty CSN bagi pasukan perempuan," tambahnya, yang sudah menggalas tugas baharu itu sejak Januari tahun ini.
INGIN ISI HUJUNG MINGGU DENGAN KERJA SUKARELAWAN
Beliau sudah bermain bola sejak di bangku sekolah lagi dan dikelilingi keluarga yang turut berkongsi minat yang sama.
"Saya memang sudah ada minat dan bola sepak itu sudah menjadi keturunan daripada keluarga tidak kira daripada bapa, pakcik, abang atau saudara mara saya semuanya dan minat yang saya ada itu juga dapat mengisi hujung minggu saya daripada tidak ada apa-apa untuk dilakukan. Sekurang-kurangnya, saya ada komitmen dan dapat membuat kerja sukarelawan sambil melihat anak-anak lelaki saya turut berlatih dalam kelab yang sama," ujar Cik Salimah, yang mempunyai enam orang anak.
Malah, jurulatih itu juga akui tentang manfaat bermain bola sepak, lebih-lebih lagi dalam memperkasa kaum hawa.
"Kalau kita lihat di seluruh dunia, bola sepak sangat terkenal lagi-lagi bagi kaum lelaki yang sudah terbiasa dengannya tetapi bagi kaum perempuan pula, ada anak-anak perempuan yang masih rasa ragu-ragu dan takut tetapi kebanyakan sekarang sudah lebih terbuka di mana kita lihat (lebih ramai) budak perempuan yang bermain bola sepak daripada usia yang muda," jelas Cik Salimah.
"Jadi dengan bola sepak, ia adalah salah satu terapi untuk (kurangkan tekanan) daripada akademik dan menunjukkan bakat terpendam dan minat mereka dalam bola sepak agar mereka dapat meneroka sukan itu dengan lebih banyak pengetahuan. Ia juga untuk memperkasakan mereka dalam bola sepak bagi menampilkan keberanian untuk rasa lebih tercabar," menurutnya lagi.
PASUKAN PEREMPUAN BERKEMBANG; CAPAI KEJAYAAN
Bagi Cik Salimah, ia adalah lebih berfaedah untuk remaja menghabiskan waktu mereka secara positif menerusi sukan daripada berfoya-foya di luar dan membuang masa, lebih-lebih lagi dengan penyalahgunaan media sosial.
"Bola sepak ini satu aktiviti olahraga yang sangat terkenal dan memberikan kesan positif untuk anak muda. Jadi kenapa tidak jika seseorang itu ada minat, untuk menyertai mana-mana percubaan, kelab atau bermain di kolong blok bersama rakan-rakan mereka kerana terdapat banyak pengetahuan yang boleh dipelajari dalam bola sepak dan bukan sekadar tendang bola sahaja," ujar Cik Salimah.
"Saya pernah melalui zaman remaja dan saya berpuas hati dengan aktiviti ini serta peluang untuk menjadi sebahagian daripadanya. Jadi sekarang kalau (anak-anak muda) diberi peluang untuk memasuki pasukan ini, mereka patut teruskan daripada berkeliaran di luar dan membuang masa. Fikir positif sahaja dan cuba mengelak (gejala-gejala) negatif seperti penyalahgunaan media sosial," tambah beliau.
Kini, Cik Salimah dan jurulatih lain bangga lihat pencapaian pasukan mereka itu dalam pelbagai pertandingan.
Pasukan itu juga kian mendapat perhatian.
Bermula dengan hanya tujuh pemain sahaja, ia kini sudah berkembang kepada sekitar 60 pemain dari pelbagai latar belakang dan kawasan di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.