Muktamar Fatwa '24 himpunkan cendekiawan Islam & pakar industri bincangkan pembangunan teknologi baharu
SINGAPURA: Masyarakat boleh menjadi lebih yakin dan berdaya bingkas dalam kehidupan beragama mereka dengan panduan agama yang diberikan.
Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata demikian dalam menggulung Muktamar Fatwa 2024 yang berakhir petang tadi (3 Feb).
"Muktamar Fatwa pada tahun ini telah dihadiri oleh cendekiawan Islam serta ulama-ulama ulung, mufti-mufti dari luar negara dan juga dihadiri para asatizah dan guru agama di Singapura dan pemimpin masyarakat yang telah membincangkan banyak perkara berkaitan fatwa, khususnya dalam mengukuhkan lagi peranan dan kedudukan fatwa dalam membimbing Masyarakat Islam kita dalam mengharungi cabaran masa kini dan masa akan datang," kongsi Dr Nazirudin kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Cabaran dan panduan agama yang diberikan dapat memupuk kehidupan beragama yang yakin yang juga mempunyai daya bingkas serta diperkasa demi menghadapi cabaran dan juga mencari jawapan yang bersesuaian dan kami melalui Muktamar Fatwa juga telah mengukuhkan lagi jalinan hubungan di antara institusi fatwa di Singapura dan luar negara khususnya Mesir dan satu yang berpangkalan di Jeddah demi untuk mengukuhkan institusi-institusi fatwa melalui penukaran buah fikiran, kajian, pembentangan dan fatwa," tambah beliau.
Sempena Muktamar Fatwa 2024, MUIS telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MOU) bagi mengukuhkan lagi kewibawaan Jawatankuasa Fatwa dan MUIS dalam bidang perundangan Islam.
MOU pertama dengan pusat kajian perundangan Islam Mesir, Dar al-Ifta Al-Masriyya bertujuan mempermudahkan pertukaran kepakaran dalam penghasilan fatwa dan latihan.
MUIS juga memeterai perjanjian dengan akademi Majma’ al Fiqh yang berpangkalan di Jeddah bagi memperbanyakkan kunjungan akademik bagi bengkel dan persidangan.
HASIL KAJIAN PROJEK MAKMAL FATWA
Pada hari kedua persidangan ini, para hadirin dapat mengetahui lebih lanjut mengenai usaha baharu Pejabat Mufti iaitu Projek Makmal Fatwa (FLP).
Para peserta persidangan yang terdiri daripada para ulama dan cendekiawan Islam, pemimpin masyarakat, pakar industri serta asatizah kemudian mengikuti perbincangan mengenai hasil kajian di bawah FLP.
Antara isu yang menjadi tumpuan sesi pleno itu ialah isu berkaitan daging kultur.
Beberapa perkara utama berkaitan daging kultur diutarakan termasuk pensijilan halal bagi daging kultur di Singapura.
Meskipun fatwa sudah pun dikeluarkan, MUIS kini perlu melakarkan garis panduan sebelum sebarang produk boleh disahkan halal dan ia akan melibatkan konsultasi bersama pelbagai pihak berkepentingan.
CABARAN KELUARKAN GARIS PANDUAN LEBIH KHUSUS
Selain itu, pertimbangan-pertimbangan etika dari sudut Islam dan aspek-aspek saintifik berkaitan daging kultur turut dibincangkan.
"Cabaran yang kita hadapi ialah disebabkan ini adalah perkara baharu, jadi tidak banyak kajian yang dilakukan," menurut anggota Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Fathurrahman Dawoed.
"Antara cabarannya ialah kita perlu mengeluarkan garis panduan yang lebih spesifik kerana fatwa ini bersifat umum, sama ada ia halal dimakan ataupun tidak tetapi untuk mengeluarkan produk-produk yang begitu, garis panduan yang lebih terperinci perlu dilakukan," tambahnya.
Tambah Ustaz Fathurrahman lagi, adalah penting untuk terus berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk para pemain industri, saintis dan masyarakat untuk meraih pandangan mereka juga.
"Kita perlu berinteraksi dengan pihak-pihak berkepentingan seperti para pemain industri dan juga para saintis. Kita juga adakan lawatan ke kilang pembuatan untuk melihat proses menghasilkan daging itu dan memahami kesan atau memahami apakah perkara-perkara yang berkaitan dengan pembuatan daging kultur," ujar Ustaz Fathurrahman.
SUMBANG KEPADA PEMBANGUNAN DAGING KULTUR SEDUNIA
Salah seorang peserta yang menghadiri sesi pleno tersebut turut berkongsi manfaatnya kepada BERITA Mediacorp.
"Saya rasa ia adalah satu pendekatan yang baik untuk mengetengahkan naratif menyediakan garis panduan bagi perkembangan daging kultur halal di Singapura dan pendekatan sebegini sangat diperlukan," ujar Zamil Penyelidik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Shahrudin Ibrahim.
"Oleh kerana manfaat yang dibawa garis panduan ini sendiri, ia bukan sahaja memanfaatkan industri daging kultur di Singapura tetapi juga di dunia ini sebab ia semakin popular lebih-lebih di Amerika. Jadi garis panduan ini akan mendorong lagi perkembangan daging kultur bukan sahaja di Singapura tetapi di dunia," tambah beliau.
Selain isu berkaitan teknologi makanan tersebut, bidang-bidang lain yang dibincangkan termasuk kewangan, kecerdasan buatan dan teknologi perubatan.
Sekitar 200 peserta ambil bahagian dalam acara siang tadi (3 Feb).
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.