Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Mujur sempat keluar sebelum kereta terbakar,' kata penumpang Grab di CTE

Seorang pemandu Grab dan tiga penumpangnya berjaya menyelamatkan diri sebelum kenderaan mereka terbakar pada Ahad malam (5 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
'Mujur sempat keluar sebelum kereta terbakar,' kata penumpang Grab di CTE
Diterbitkan : 07 Sep 2021 10:24PM Dikemas Kini : 07 Sep 2021 10:25PM

SINGAPURA: Seorang pemandu Grab dan tiga penumpangnya berjaya menyelamatkan diri sebelum kenderaan mereka terbakar pada Ahad malam (5 Sep).

Kejadian itu berlaku di CTE menghala ke Lebuh Raya Seletar (SLE) sebelum jalan susur keluar Yio Chu Kang. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pada Selasa (7 Sep) bahawa ia dimaklumkan tentang kebakaran itu pada kira-kira 9.30 malam.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan menggunakan sebuah jet air, menurut SCDF, sambil menambah tiada kecederaan dilaporkan.

"Punca kebakaran sedang disiasat," dedah SCDF kepada Mediacorp.

Rakaman video yang dimuat naik ke Twitter pada Selasa oleh Encik Saurav Tiwari, salah seorang penumpang kereta berkenaan, menunjukkan sebuah kereta berwarna hitam terbakar di tanda sevron lebuh raya tersebut.

"Mujur kami sempat menyelamatkan diri!" luah Encik Tiwari dalam rakaman video itu.

Bercakap kepada Mediacorp, Encik Tiwari berkata beliau bersama rakan serumahnya Encik Ankur Sharma dan seorang lagi teman, Cik Richa Tibarewal semasa kejadian itu berlaku. Mereka menaiki kenderaan Grab itu pada sekitar pukul 9.00 malam dan mereka tiba-tiba terhidu bau asap.

"Kereta itu mula diselubungi asap dan kami terhidu bau asap dari dalam kenderaan dan kami melihat asap sudah menyelubungi bahagian luar kereta itu," kata Encik Tiwari yang berusia 34 tahun, sambil menambah bahawa mereka mula berasa cemas setelah melihat beberapa penunggang motosikal menunjuk ke arah kereta itu.

Menurut Encik Tiwari, pemandu itu cuba mencari bahu jalan raya untuk menghentikan keretanya, namun terlalu banyak kenderaan di lebuh raya berkenaan ketika itu. Ia mengambil masa 40 hingga 50 saat sebelum mereka dapat berhenti di tanda sevron itu.

Sedang mereka cuba menyelamatkan diri, Encik Sharma yang sedang duduk di bahagian kanan tempat duduk belakang kereta itu - mendapati bahawa pintunya tidak boleh dibuka. Ketiga-tiga penumpang meluru keluar daripada bahagian kiri pintu belakang.

Encik Sharma dan pemandu itu kemudian cuba menyiasat dari mana asap itu keluar.

"Beliau membuka but kereta semasa cuba menyiasat dari mana asap itu keluar dan kemudian barulah beliau ternampak kepulan asap keluar daripada bahagian but kereta, di situlah saya mula merakam video tersebut," kata Encik Tiwari.

Dalam masa tiga hingga empat minit, kereta itu terbakar, katanya lagi.

Menurut Encik Tiwari, Grab Singapore sudah menghubungi mereka untuk bertanya khabar. Syarikat itu juga memaklumkan mereka bahawa insiden itu masih disiasat dan pihak berkuasa mungkin akan menghubungi mereka juga.

Mediacorp juga sudah menghubungi Grab untuk mendapatkan komen.

Encik Tiwari berkata tujuan beliau memuat naik video itu ke Twitter adalah kerana beliau ingin membangkitkan hal itu kepada Grab dan pihak berkuasa.

"Mereka perlu mengeluarkan langkah-langkah keselamatan yang baik kerana kami bernasib baik dapat melarikan diri," katanya sambil menambah bahawa mereka mungkin mengalami kecederaan jika kesemua pintu tidak boleh dibuka.

"Itulah tujuan catatan tersebut," katanya. "Grab, atau syarikat-syarikat teksi lain yang menyediakan kenderaan kepada para pemandu... mereka mungkin perlu menyemak semula dan melihat apa yang berlaku dan bagaimana ia dapat dielakkan bagi orang lain yang mungkin tidak bernasib baik seperti kami."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan