Skip to main content

Singapura

MUIS umumkan lebih banyak zon dibuka bagi solat jemaah 5 waktu mulai September

Menjelang bulan September ini, orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak zon dibuka bagi solat jemaah lima waktu di masjid-masjid setempat. Sistem tempahan solat juga akan diperbaiki bagi membolehkan jemaah menempah slot solat dengan lebih pantas lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menjelang bulan September ini, orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak zon dibuka bagi solat jemaah lima waktu di masjid-masjid setempat. Sistem tempahan solat juga akan diperbaiki bagi membolehkan jemaah menempah slot solat dengan lebih pantas lagi.

Demikian dedah Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Kadir Maideen Mohamed, semasa ditemui di Masjid Darul Ghufran hari ini (20 Ogos).

7 ZON SOLAT JUMAAT DI MASJID DARUL GHUFRAN

Beliau siang tadi mengunjungi masjid itu bagi meninjau keadaannya semasa solat Jumaat. Jumlah jemaah yang beratur di luar Masjid Darul Ghufran tengah hari tadi jelas lebih ramai berbanding minggu lalu.

Related article image

Masjid tersebut membuka tujuh zon solat Jumaat - naik daripada lima zon sebelum ini - bermakna seramai 350 orang dapat diisi setiap sesi.

Masjid Darul Ghufran menjalankan tiga sesi solat Jumaat, jadi ini juga bermakna kini 1,050 jemaah dapat mengerjakan solat Jumaat setiap minggu.

"Saya rasa gembira sedikit sebab ada lebih banyak lagi tempat untuk semua orang solat bersama-sama, jadi kita tidak rasa ketinggalan," kongsi jemaah bernama Muhammad Syauqi Zahfran yang dapat menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Related article image

"Terutama saya bersyukur kepada Allah Taala di mana kita mudah-mudahan makin lama dapat balik semula seperti dahulu," seorang lagi jemaah bernama Encik Sajat Ahmad Sarjo menzahirkan harapannya.

37 MASJID TAWAR ANTARA 2 HINGGA 7 ZON

Masjid Darul Ghufran adalah antara 37 masjid terpilih yang mula menawarkan antara dua hingga tujuh zon solat Jumaat hari ini bagi jemaah yang sudah lengkap divaksinasi.

Lagi 29 masjid lain masih menyediakan satu zon solat sahaja yang boleh menerima jemaah tidak atau belum sempurna divaksinasi.

Meskipun jemaah menerima baik penambahan zon solat Jumaat, masih ada kegusaran tentang kekurangan bagi slot-slot solat lima waktu.

"Kalau pukul 9.00 malam buka tempahan, tak sampai 10 saat, penuh! Jadi rasa kecewa," kongsi jemaah Masjid Darul Ghufran bernama Encik Mustapha Abu Bakar tentang pengalamannya cuba mendapat slot bagi solat subuh.

Related article image

"Saya minta pihak atasan atau MUIS dapat perhatikan masjid-masjid yang mana yang ada banyak jemaah yang nak hadir, jadi dia boleh buka dua atau tiga zon waktu solat subuh dan pada hari minggu," kata beliau.

LEBIH BANYAK SLOT SOLAT JEMAAH LIMA WAKTU BULAN DEPAN

Demi menangani keprihatinan seperti itu, MUIS hari ini mengumumkan satu berita gembira untuk orang ramai.

Iaitu, bermula bulan depan, para jemaah boleh menjangkakan lebih banyak lagi zon bagi solat jemaah lima waktu. Ini berbanding hanya satu zon sahaja buat masa ini.

Related article image

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Encik Kadir Maideen Mohamed berkata: "Kami akan rancang untuk kembangkan zon-zon di masjid pada waktu (solat) lain pada permulaan September tahun ini. Jadi saya harap masyarakat kami akan terima dengan baik.

"Tapi tetap bersabar dengan apa yang harus dilakukan semasa mereka masuk ke masjid untuk solat – TraceTogether, bawa sejadah sendiri dan langkah-langkah pengurusan selamat." 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita