Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS ucap terima kasih kepada masyarakat Kristian atas respons kepada surat Mufti

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Kristian di Singapura atas kiriman surat dan sokongan kepada Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir berhubung serangan yang dilancarkan di Paris dan Gereja Notre Dam di Perancis.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Kristian di Singapura atas kiriman surat dan sokongan kepada Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir berhubung serangan yang dilancarkan di Paris dan Gereja Notre Dam di Perancis.

Penghargaan itu dikongsi oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam catatan Facebooknya pada Selasa (3 Nov).

Dalam pada itu, MUIS turut menghargai persahabatan dan perpaduan antara masyarakat Kristian dengan umat Islam Singapura.

"Semoga kita terus berdiri teguh dan saling bekerjasama untuk memelihara perpaduan sosial dan keharmonian agama di negara kita ini di Singapura," menurut catatan Facebook MUIS.

Dalam suratnya kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Ketua Biskop Singapura, Paderi William Goh dan Presiden Majlis Gereja-Gereja Singapura (NCCS), Paderi Keith Lai mengutuk keras serangan yang dilancarkan konon-kononnya atas nama agama Islam sehingga meragut nyawa mangsa-mangsa yang tidak bersalah.

Paderi William Goh dan Paderi Keith Lai turut menekankan komitmen masing-masing untuk terus bekerjasama dengan MUIS serta pertubuhan-pertubuhan agama lain di Singapura bagi memupuk persahabatan dan perpaduan silang agama.

"Kita mempunyai kepercayaan dan keyakinan bahawa masyarakat beragama kita masing-masing akan terus bekerjasama dalam usaha membina masyarakat yang aman, harmonis dan bersatu padu.

"Ini menerusi dialog terbuka, jujur dan mesra serta rasa hormat antara satu sama lain dan memahami kepercayaan agama masing-masing - tragedi ini hanya akan mengukuhkan lagi hubungan dan menguatkan tekad kita," menurut Paderi William Goh dalam suratnya kepada Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Gereja Methodist turut menarik perhatian bahawa usaha menjaga keamanan dan memelihara keharmonian agama dalam masyarakat berbilang kaum dan budaya di Singapura adalah satu usaha yang perlu diteruskan.

"Kita amat beruntung kerana memilki hubungan dan persahabatan yang erat dengan MUIS, sedang kita berusaha mencapai matlamat yang sama.

"Di tengah-tengah kesengsaraan dan kemusnahan yang berlaku di dunia, jangan kita berputus asa dan sebaliknya perlu terus menuju ke arah matlamat yang sama. Dengan semangat perpaduan, keyakinan dan harapan, kita perlu membina asas yang kukuh bagi generasi seterusnya," menurut Paderi Gereja Methodist, Dr Gregory Goh Nai Lat dalam suratnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan