Skip to main content

Singapura

MUIS tubuh Unit Ehwal Wanita, rangkaian asatizah wanita bagi perkukuh usaha tangani isu wanita dan keluarga

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Oct 2026 05:40PM Dikemas Kini : 11 Nov 2026 10:55AM
  • MUIS melancarkan Unit Ehwal Wanita dan Rangkaian Ustazaat pada 15 Oktober di Seminar Wanita dan Keluarga dalam Islam, Singapura, bagi memperkukuh usaha menangani isu wanita serta keluarga Muslim.
  • Unit empat pegawai itu akan menyatukan penyelidikan terdahulu dan bekerjasama dengan ustazah serta pakar untuk membentuk panduan agama yang mengambil kira prinsip Islam dan keadaan masyarakat.
  • Rangkaian Ustazaat menghimpunkan ustazah pelbagai institusi untuk berkongsi kepakaran dan dapatan setiap tiga bulan, sekali gus membantu menangani isu yang melibatkan agama, undang-undang dan dasar.
  • Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir berharap kerjasama agamawan dengan pakar lapangan membantu menghubungkan pengalaman masyarakat dengan dasar dan fatwa, serta memperkukuh kebolehan mentafsir data dan konteks semasa.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Usaha menangani isu-isu kontemporari yang dihadapi wanita dan keluarga Islam di Singapura akan diperkukuhkan dengan penubuhan sebuah unit khas yang memberi tumpuan kepada isu wanita dan keluarga serta rangkaian asatizah wanita.

Unit khas bagi wanita dan keluarga atau dikenali sebagai Unit Ehwal Wanita bertujuan menyelaras penyelidikan berkaitan isu wanita dan keluarga.

Manakala rangkaian asatizah wanita atau Rangkaian Ustazaat akan menyediakan wadah bagi golongan ustazah bertukar kepakaran serta bekerjasama dalam menangani isu-isu agama.

Kedua-dua inisiatif oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) itu dilancarkan pada Khamis (15 Okt) di Seminar Wanita dan Keluarga dalam Islam.
 

Related article image
Timbalan Pengarah, Dasar dan Pembangunan Agama (Fatwa) MUIS, Ustazah Raihanah Halid. (Gambar: Aqil Ezat)

Menurut Timbalan Pengarah, Dasar dan Pembangunan Agama (Fatwa) MUIS, Ustazah Raihanah Halid, Unit Ehwal Wanita akan dianggotai empat pegawai.

Ia akan menyatukan dan meneruskan penyelidikan yang sebelum ini dijalankan oleh unit-unit berbeza di bawah Pejabat Mufti berkaitan isu-isu kontemporari yang menjejas wanita dan keluarga.

Para ustazah dan pakar daripada pelbagai bidang akan menyumbang kepakaran mereka untuk membantu membentuk panduan agama yang berteraskan prinsip Islam, di samping mengambil kira pengalaman dan keadaan masyarakat.

"Ia juga akan membolehkan lebih banyak ruang kolaborasi sama ada dengan pertubuhan Islam lain, serta menjadi jambatan antara Pejabat Mufti dan para asatizah, " kata Ustazah Raihanah.

RANGKAIAN USTAZAAT PERKUKUH KERJASAMA PARA USTAZAH

Sementara itu, Rangkaian Ustazaat menghimpunkan golongan ustazah daripada pelbagai pertubuhan dan institusi untuk bertukar kepakaran serta meneroka peluang kerjasama.

Rangakaian tersebut akan mengadakan pertemuan setiap tiga bulan, untuk membincangkan isu-isu kontemporari yang menjejas golongan wanita dan keluarga, dan berkongsi dapatan penyelidikan.

Related article image
Pengurus Pembangunan Dasar Global, Ustazah Nurhannah Irwan. (Gambar: Aqil Ezat)

Menurut Pengurus Pembangunan Dasar Global, Ustazah Nurhannah Irwan, para ustazah sering menjadi rujukan pertama, dan tiada satu ustazah yang pakar dalam semua perkara.

"Ia dapat membantu ustazah dalam menangani isu yang mungkin rumit dibincang kerana ada isu yang bukan saja melibatkan hukum agama, malah ia turut bersangkutan dengan undang-undang dan dasar" katanya.

Dengan anggota yang mempunyai kepakaran dalam bidang berbeza, rangkaian tersebut membolehkan para ustazah saling mendapatkan pandangan dan berkongsi sumber apabila menangani isu-isu yang lebih kompleks.

"Kepelbagaian ini boleh membolehkan kami untuk membawa pengalaman dan suara dari lapangan kepada MUIS, supaya ia dapat memberi input kepada dasar dan keputusan fatwa yang saya rasa boleh lebih memahami realiti kehidupan masyarakat Islam di Singapura," ujar Ustazah Nurhannah Irwan.
 

Related article image
Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir. (Gambar: MUIS)

Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata bahawa golongan ustazah memainkan peranan penting dalam pendidikan Islam, serta sokongan kerohanian masyarakat.

Beliau berharap rangkaian itu dapat menghubungkan pengalaman para ustazah dengan pemikiran di peringkat dasar.

"Sudah sekian lama, ramai dalam kalangan ustazah kita bergerak secara sendiri di bilik darjah dan wadah yang berasingan. Rangkaian Ustazaat mengubah keadaan ini dengan menghubungkan mereka dalam satu jaringan yang lebih tersusun, sekali gus merapatkan pengalaman dan sokongan kerohanian di peringkat masyarakat dengan pemikiran di peringkat dasar, supaya pandangan berharga mereka dapat membantu memimpin dan membimbing masyarakat kita ke hadapan," tambahnya.

ASATIZAH PERLU FAHAM DATA, KONTEKS SEMASA

Seminar Wanita dan Keluarga dalam Islam menghimpunkan sekitar 50 agamawan, pemimpin masyarakat, penggubal dasar dan rakan masyarakat untuk membincangkan isu-isu kontemporari yang menjejas wanita dan keluarga Muslim.

Dalam ucapannya, Dr Nazirudin menekankan pentingnya menggabungkan kepakaran agamawan dengan golongan yang memahami realiti masyarakat di lapangan, termasuk ahli sosiologi, pekerja sosial dan pegawai pembangunan keluarga.

Related article image
Seminar Wanita dan Keluarga dalam Islam menghimpunkan sekitar 50 agamawan, pemimpin masyarakat, penggubal dasar dan rakan masyarakat untuk membincangkan isu-isu kontemporari yang menjejas wanita dan keluarga Muslim. (Gambar: Aqil Ezat)

"Salah satu caranya adalah dengan menghimpunkan kedua-dua kelompok untuk berbincang, dan itu yang cuba kita lakukan," katanya.

"Namun pada masa hadapan, kita juga mahu melahirkan asatizah, agamawan dan pemimpin agama yang sama-sama memahami konteks dan data serta tahu bagaimana untuk mentafsir data," tambah Dr Nazirudin.

Beliau berkata dengan pemahaman tersebut, golongan agamawan dapat menghubungkan perkembangan yang berlaku dalam masyarakat dengan nas, teks dan dalil agama sebelum membuat sesuatu kesimpulan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita