Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS titikberatkan harga pakej haji dalam memilih 10 pakej haji tahun ini

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menitikberatkan soal kos pakej haji yang ditawarkan buat bakal jemaah tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menitikberatkan soal kos pakej haji yang ditawarkan buat bakal jemaah tahun ini.

Ini memandangkan tempoh dan pergerakan haji kali ini lebih terhad berbanding sebelum pandemik.

10 pakej haji yang diluluskan MUIS tahun ini berharga antara S$6,830 (empat sebilik) hingga S$15,125 (dua sebilik).

"Kos pakej haji yang dikeluarkan untuk tahun 2022 ini belum termasuk kos penerbangan dan kos Masyair di mana jemaah akan berada di tanah Arafah, Muzdalifah dan juga Mina. Kami masih menunggu harga rasmi untuk Masyair dari pihak Saudi,"

"Untuk membuat kiraan dan persiapan awal, anggaran kos Masyair adalah di antara S$5,000 hingga S$9,000. Jadi kami berharap bakal jemaah haji dapat bersiap sedia untuk membuat bayaran tersebut apabila diumumkan kelak," jelas Pengarah Khidmat Aset dan Kewangan MUIS, Norhayati Haron, yang juga menyelia urusan haji.

Biaya Masyair itu merangkumi kos penginapan dan makanan bagi jemaah haji di Arafah dan Mina.

JUMLAH PAKEJ DITAWARKAN LEBIH RENDAH

Selain itu, antara syarat permohonan bagi pelantikan ejen pelancongan haji tahun ini termasuklah jadual perjalanan serta tempoh pakej yang ditawarkan ejen-ejen berkenaan.

"Pihak MUIS telah memberi syarat-syarat permohonan untuk pelantikan GSA atau ejen pelancongan haji tahun 2022 memandangkan kuota yang lebih kecil yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi," kata Cik Norhayati.

Tahun ini, kuota sebanyak 407 jemaah haji diberikan kepada Singapura.

Jumlah itu kira-kira 45 peratus kuota rasmi untuk Singapura sebelum pandemik.

Maka itu, jumlah pakej yang ditawarkan tahun ini juga lebih rendah iaitu sebanyak 10 berbanding 40 pakej yang ditawarkan pada 2019.

Oleh yang demikian, bakal jemaah haji dinasihatkan agar membuat beberapa pertimbangan sebelum memutuskan pilihan pakej haji masing-masing.

Cik Norhayati berkata: "Dalam memilih pakej haji, kami sarankan bakal jemaah haji memikirkan tentang kemampuan masing-masing, mengikut kos pakej dan juga waktu cuti dari kerja yang boleh diambil untuk menunaikan ibadah haji dan juga pakej yang boleh memberi pengalaman haji yang menyeluruh walaupun mengambil kira kesan pandemik."

DAPATKAN PERLINDUNGAN INSURANS

Dengan ketidaktentuan pandemik COVID-19 juga, bakal jemaah haji juga dinasihatkan supaya mendapatkan perlindungan insurans yang memadai sekira terjadinya sesuatu yang tidak diingini.

Ini termasuk diuji positif dalam ujian PCR sebelum keberangkatan.

Antara syarat haji tahun ini termasuk jemaah haji perlu diuji negatif COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum waktu keberangkatan.

Tahun ini satu juta jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi bakal berhimpun bagi menunaikan rukum Islam kelima itu di Tanah Suci.

85 peratus daripada jumlah itu diperuntukkan untuk jemaah luar Arab Saudi bagi memberikan peluang kepada jemaah asing selepas dua tahun tidak dibuka kepada jemaah dari luar Saudi, disebabkan pandemik COVID-19.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan