Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS: Tiada rasuah atau salah guna kuasa berhubung pengiktirafan badan halal luar

MUIS hari ini (15 Dis) mendedahkan hasil siasatannya yang mendapati tidak berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa oleh seorang pegawainya, dan tiada bukti berlaku perbuatan rasuah seperti yang dituduh sesetengah pihak, berhubung isu mengiktiraf badan-badan pensijilan halal negara asing (FHCB).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (15 Dis) mendedahkan bahawa hasil siasatannya mendapati tidak berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa oleh seorang pegawainya serta tiada bukti berlaku perbuatan rasuah, seperti yang dituduh sesetengah pihak, berhubung isu mengiktiraf badan-badan pensijilan halal negara asing (FHCB).

Namun demikian demi bersikap telus dan kebertanggungjawaban MUIS sudahpun merujukkan isu perkara itu kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) untuk siasatan lanjut.

MUIS juga sudah membuat satu laporan polis di bawah Akta Rahsia Rasmi untuk menyiasat kemungkinan maklumat rahsia dibocorkan kepada pihak ketiga oleh pegawainya.

Pada April tahun ini, laman Asia Sentinel menerbitkan laporan yang menuduh bahawa seorang pegawai tinggi di jabatan halal MUIS menyalah guna kuasanya dan mengamalkan rasuah untuk memilih atau menyingkirkan badan-badan pensijilan halal luar negara (FHCB).

Sebulan kemudian, MUIS menubuhkan pasukan siasatan dalaman (IVT) dan menerima penyerahan hampir 50 bukti dari pihak FHCB dan orang ramai serta konsultan-konsultan halal dari dalam dan luar negara.

"IVT menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua penyerahan daripada orang awam, meliputi dokumen-dokumen dalam pelbagai bentuk (artikel, catatan media sosial, emel, surat), dan juga dokumen-dokumen dalaman dari Unit Strategik Pensijilan Halal MUIS," menurut kenyataan MUIS itu.

Dapatan IVT kemudian disemak oleh panel semakan bebas (IRP) yang dipengerusikan mantan pengarah audit dari Pejabat Audit Negara , Encik Abdul Hamid Abdullah. IRP menemu bual 16 individu yang ada kaitan dengan tuduhan tersebut untuk mencari bukti lisan dan keterangan bagi tujuan siasatan. Dapatan IRP itu kemudian diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, masyarakat dan Belia (MCCY) yang turut menyemaknya.

Hasil siasatan mendapati proses bagi pengiktirafan FHCB yang diamalkan oleh MUIS berjalan dengan baik. MUIS antara lain memerlukan FHCB mempunyai lembaga penasihat syariah dan jawatankuasa pengurusan halal yang cekap.

Siasatan juga menunjukkan semua langkah mengiktiraf, memperbaharui dan mengeluarkan sesebuah FHCB daripada senarai MUIS, dilakukan mengikut protokol dalaman yang diluluskan.

Pegawai MUIS yang dituduh menyalah guna kuasa juga tidak meluluskan atau mengeluarkan sebarang FHCB daripada senarai berdasarkan keinginan peribadinya dan sebaliknya ada alasan wajar dan kebenaran diberikan.

Oleh itu sebarang tuduhan salah guna kuasa oleh pegawai MUIS berkenaan dalam mengendalikan kes-kes FHCB adalah tidak berasas, menurut MUIS.

"Sebagai satu dasar MUIS di bawah proses pengiktirafan FHCB, sebab-sebab menolak atau mengeluarkan FHCB daripada senarai tidak didedahkan. Bagaimanapun memandangkan minat awam adalah tinggi dalam kes ini", badan penguasa agama Islam itu berkongsi rumusan sebab-sebab yang membawa kepada penyingkiran FHCB berkenaan.

Ini termasuklah kerana:

  • proses menjalankan penyembelihan yang tidak mengikut syariah seperti menggunakan renjatan elektrik
  • tempat-tempat penyembelihan berkenaan memproses atau menghasilkan produk-produk babi
  • permohonan tidak sempurna dan dokumen sokongan tidak mencukupi walaupun peringatan sudah diberikan
  • FHCB mengeluarkan 'sijil-sijil halal kosong'

Bergerak ke hadapan, MUIS menyatakan ia komited untuk mengekalkan taraf tertinggi piawai halal demi memenuhi keperluan makanan pelanggan-pelanggan Muslim Singapura.

"MUIS akan menjalankan semakan menyeluruh untuk terus memperkukuh rangka kerja pengiktirafan FHCB. MUIS menyasarkan untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang muncul daripada semakan ini menjelang penghujung 2021," menurut badan itu.

"Walaupun ada tuduhan-tuduhan rasuah, siasatan MUIS tidak mendapati sebarang bukti yang menunjukkan ia berlaku. bagaimanapun demi bersikap telus dan kebertanggungjawaban, MUIS sudahpun mereujukkan perkara ini kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) untuk siasatan lanjut dan akan memberikan sebarang bantuan dan kerjasama yang diperlukan."

Dalam pada itu ia mengakui bahawa walaupun siasatan mendapati proses-proses dan prosedur operasi standard (SOP) MUIS bagi FHCB cukup mapan, "ia boleh terus dipertingkatkan memandangkan sifat landskap industri itu yang berubah-ubah". 

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan