Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS tetapkan langkah kurangkan risiko kewangan ke atas bakal jemaah haji & umrah

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sudah menetapkan langkah-langkah untuk mengurangkan risiko kewangan ke atas para bakal jemaah haji dan umrah yang terjejas dek pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS tetapkan langkah kurangkan risiko kewangan ke atas bakal jemaah haji & umrah

Jemaah umrah Saudi dan warga asing melakukan tawaf di Masjidil Haram pada 4 Okt 2020. (Gambar fail: AFP)

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sudah menetapkan langkah-langkah untuk mengurangkan risiko kewangan ke atas para bakal jemaah haji dan umrah yang terjejas dek pandemik COVID-19.

Ini termasuk mewajibkan Ejen-Ejen Khidmat Am Haji (GSA) untuk menyediakan jaminan bank bagi melindungi deposit para jemaah selain mewajibkan jadual pembayaran progresif berbanding bayaran sekaligus yang dikumpulkan oleh GSA Haji.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli, semasa menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim di Parlimen hari ini (10 Mei).

Encik Zhulkarnain bertanya sama ada terdapat sebarang perlindungan untuk para pelanggan dan memastikan agensi-agensi pelancongan yang menawarkan khidmat-khidmat haji di Singapura tidak mengumpulkan deposit atau bayaran berlebihan di tengah-tengah keadaan yang serba tidak menentu sekarang ini.

"Dalam keadaan luar biasa seperti penangguhan haji tahun lalu, MUIS bekerjasama dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) dan GSA untuk mendapatkan semula deposit-deposit yang sudah dibayar oleh para bakal jemaah.

"Deposit yang dikumpulkan oleh GSA itu penting untuk mengekalkan tiket-tiket penerbangan dan penginapan, yang pada awalnya bertujuan untuk dikedepankan ke ibadah Haji 2021," jelas Encik Masagos.

Beliau menambah, MUIS sedang bekerjasama dengan GSA untuk menyediakan bayaran balik kepada para bakal jemaah yang sudah membuat pembayaran bagi Haji 2020. Namun ia tertakluk kepada yuran pentadbiran.

MUIS akan menyediakan kemas kini lanjut apabila tiba masanya.

Encik Zhulkarnain juga bertanya sama ada Encik Masagos boleh menyediakan kemas kini tentang keadaan perjalanan dan kuota yang ditetapkan untuk rakyat Singapura menunaikan ibadah haji dan umrah tahun ini.

Menurut Encik Masagos, setakat 10 Mei 2021, Kerajaan Arab Saudi belum lagi mengumumkan aturan bagi ibadah Haji 2021 dan "masih belum jelas" sama ada ibadah itu akan dibuka kepada rakyat Singapura dan para jemaah antarabangsa yang lain.

"Sekiranya haji dibenarkan bagi jemaah antarabangsa, MUIS akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan menilai risiko kesihatan awam untuk menghantar delegasi haji tahun ini," kata Encik Masagos.

Dengan cabaran berlarutan di peringkat global untuk membendung pandemik, kesihatan awam mesti menjadi keutamaan nombor satu, tegas Encik Masagos.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan