Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS terus labur dalam latihan pegawai; hulur bantuan lebih baik kepada penerima Zakat

Pendamping adalah tulang belakang untuk berhubungan dengan penerima Zakat. Mereka juga duta dalam usaha menyokong golongan memerlukan dalam masyarakat kita.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS terus labur dalam latihan pegawai; hulur bantuan lebih baik kepada penerima Zakat

Kira-kira 400 tetamu terdiri daripada pendamping, ahli Lembaga Pengurusan Masjid (MMB), pentadbir program dan rakan kongsi yang lain hadir di majlis Penghargaan Pendamping 2019. (Gambar: MUIS)

Diterbitkan : 16 Nov 2019 11:18PM Dikemas Kini : 17 Nov 2019 04:13PM

SINGAPURA: Pendamping adalah tulang belakang untuk berhubungan dengan penerima zakat. Mereka juga duta dalam usaha menyokong golongan memerlukan dalam masyarakat kita.

Ini ditekankan Ketua Eksekutif MUIS, Encik Esa Masood, dalam majlis Penghargaan Pendamping 2019 yang dianjurkan pada Sabtu (16 Nov).

Program Pendamping diperkenalkan pada 2008 sebagai sebahagian daripada usaha MUIS untuk membantu para penerima zakat. Menerusi program tersebut, pendamping menyokong penerima yang berada di bawah bantuan zakat jangka panjang - misalnya warga tua fakir, golongan berpenyakit kronik, pesakit buah pinggang serta orang kurang upaya.

Bermula hanya dengan 79 relawan, Program Pendamping berkembang secara bertahap-tahap kepada lebih 600 relawan terlatih sekarang.

Semasa berucap di acara 'Meraikan Pendamping...Menjangkaui Sedekad' semalam, Encik Esa berkongsi bagaimana MUIS akan terus melabur dalam melatih tenaga relawannya supaya dapat menyediakan sokongan lebih baik kepada para penerima zakat. Kumpulan relawan berkenaan termasuk pendamping, yang memainkan peranan selaku teman penerima, menawarkan sokongan emosi dan membina jalinan bersama keluarga serta individu di bawah bantuan zakat jangka panjang.

"Keupayaan anda untuk mendekati keluarga-keluarga ini juga telah membantu masjid-masjid untuk memahami isu-isu yang dihadapi oleh penduduk di sekitar mereka. Peranan anda sebagai nadi penghubung membolehkan masjid-masjid untuk melakarkan program-program yang sesuai bagi memenuhi keperluan jemaah dan penerima zakat masing-masing," ujar Encik Esa.

Menyingkap kembali perjalanan Program Pendamping sedekad lalu, Encik Esa berkongsi bahawa mereka sudah melakukan 13,500 lawatan ke rumah sekali gus menyentuh kehidupan 3,500 penerima zakat.

Memandang ke hadapan, Encik Esa menekankan perlunya MUIS dan masjid sentiasa berusaha memenuhi keperluan serta jangkaan masyarakat yang kian berubah-ubah.

Beliau menambah dengan penduduk Singapura yang semakin menua selain gangguan kepada pekerjaan akibat globalisasi dan kemajuan teknologi, akan memberi kesan kepada segmen mudah terjejas dalam masyarakat kita.

Oleh yang demikian, Encik Esa menggesa masyarakat supaya lebih lincah menghadapi keperluan yang berubah-ubah.

Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Encik Mohd Fahmi Aliman berkata: "MUIS menganggap pembangunan keupayaan sebagai bahagian penting bagi relawan kita. Maka itu, MUIS melabur dengan banyak dalam latihan Pegawai Pembangunan Sosial dan Pendamping kita. Ini termasuk dalam program latihan serta pembangunan sedia ada. Pada masa depan, latihan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal kemurungan dan demensia akan disediakan bagi membolehkan mereka menghulurkan bantuan lebih baik kepada penerima zakat."

Selain itu, Encik Fahmi juga berkongsi bahawa MUIS akan memanfaatkan rangkaian kerjasama jaringan M³ untuk mendapatkan lebih ramai relawan mengambil bahagian dan menyertai dalam Program Pendamping.

Acara 'Meraikan Pendamping...Menjangkaui Sedekad' dianjurkan sebagai mengiktiraf dan memberi penghargaan atas sumbangan para pendamping selain mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi Pembangunan Sosial (SD) di masjid yang sudahpun menyokong program tersebut sepanjang 11 tahun lalu.

Seramai 44 pendamping juga dilantik sebagai Pendamping Kanan di acara itu, atas komitmen dan dedikasi mereka kepada program berkenaan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan