Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS terus dukung pembangunan asatizah, perkukuh laluan kerjaya sektor agama, kata Masagos

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan terus mendukung pembangunan asatizah selepas mereka tamat pengajian masing-masing. Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menekankan demikian pada Rabu (30 Mac), semasa perjumpaan dengan sekitar 20 pelajar Singapura yang sedang menuntut di Madinah.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS terus dukung pembangunan asatizah, perkukuh laluan kerjaya sektor agama, kata Masagos

Menteri Bertanggunjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengadakan perjumpaan dengan sekitar 20 pelajar Singapura yang sedang menuntut di Madinah, pada 30 Mac 2022. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan terus mendukung pembangunan asatizah selepas mereka tamat pengajian masing-masing.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menekankan demikian pada Rabu (30 Mac), semasa perjumpaan dengan sekitar 20 pelajar Singapura yang sedang menuntut di Madinah.

Encik Masagos kini berada di Arab Saudi bagi lawatan kerja untuk mengadakan perbincangan tentang urusan haji Singapura.

Semasa perjumpaan itu, Encik Masagos berkata MUIS juga akan memperkukuhkan laluan kerjaya bagi sektor keagamaan selain memupuk golongan asatizah muda untuk menggalas peranan kepimpinan pada masa hadapan.

Semua itu dilakukan menerusi rangka kerja Pembangunan Kepimpinan Agama dan Bakat yang diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasan Perbekalan di Parlimen baru-baru ini.

"Terdapat banyak peluang untuk mereka luaskan pengetahuan dan kemahiran mereka supaya boleh terus membimbing masyarakat dengan yakin, khususnya apabila mengemudi isu-isu sosio-agama yang rumit lagi mencabar," tulisnya dalam satu catatan Facebook malam tadi.

Lantaran itu, beliau berharap para pelajar yang cemerlang serta menanam cita-cita untuk menjadi asatizah pada masa hadapan akan melihat kerjaya tersebut sebagai "satu pilihan kerjaya yang murni, bermakna dan menarik".

Encik Masagos juga mendengar para pelajar tersebut berkongsi pengalaman mereka sepanjang berada di Madinah serta impian dan harapan masing-masing pada hari muka.

"Seperti yang sering saya tekankan, kita sangat-sangat menghormati dan menghargai sumbangan golongan asatizah kita. Meskipun latar belakang pendidikan mereka berbeza, mereka tetap berupaya untuk bekerjasama dengan erat. Kita lihat sendiri bagaimana mereka bergabung untuk memberi bimbingan genting kepada masyarakat sepanjang tempoh pandemik," ujar beliau.

Encik Masagos akur tidak mudah untuk menjalani kehidupan berjauhan dan terpisah daripada keluarga serta orang tersayang mentelah lagi sewaktu pandemik sekarang.

"Namun saya yakin anak-anak muda ini dapat mengatasi cabaran ini dengan baik. Saya alu-alukan kepulangan mereka ke Singapura serta sumbangan mereka sebagai asatizah di masa hadapan, InsyaAllah," ungkapnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan