Skip to main content

Singapura

MUIS terima 5 aduan ajaran sesat sepanjang 10 tahun lalu

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerima lima aduan sepanjang 10 tahun lalu berkaitan individu-individu yang didakwa menyebarkan ajaran sesat.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS terima 5 aduan ajaran sesat sepanjang 10 tahun lalu

Gambar fail bangunan MUIS. (Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura/Facebook)

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerima lima aduan sepanjang 10 tahun lalu berkaitan individu-individu yang didakwa menyebarkan ajaran sesat.

Perangkaan itu didedahkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada Isnin (4 Jan) dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen GRC Sengkang Faisal Abdul Manap.

Menurut Encik Masagos, sebarang bukti mengenai ajaran sesat yang diterima oleh MUIS akan diserahkan kepada Jawatankuasa Fatwa untuk menilai sama ada dakwaan itu adalah benar.

MUIS dan Jawatankuasa Fatwa akan menyiasat segala aduan yang dikemukakan dan ia ditangani dengan menggunakan fatwa, sesi kaunseling dan juga pendidikan awam.

Kedua-dua MUIS dan Jawatankuasa Fatwa akan memastikan ajaran songsang yang boleh menyesatkan umat Islam di Singapura tidak akan berakar umbi dalam masyarakat.

Ini dilakukan melalui pelbagai cara termasuk penguatkuasaan Seksyen 139 Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) yang mengenakan sekatan terhadap sesiapa saja yang menyebarkan ajaran sesat.

Sungguhpun demikian, tegas Encik Masagos, sebarang percubaan untuk menerapkan perundangan dalam hal-hal agama mesti dipertimbangkan dengan teliti.

Disebabkan ia adalah hal agama, pandangan Pejabat Mufti dan Jawatankuasa Fatwa akan diminta terlebih dahulu dalam menangani perkara sedemikian.

Sejauh ini, pihak berkuasa agama telah menasihatkan agar pendekatan lain diterapkan terlebih dahulu, seperti bermula dengan kaunseling, bergantung kepada sejauh mana sesuatu keadaan dianggap meruncing.

Jika individu yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran sesat itu berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), maka Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) boleh menarik balik pengiktirafan tersebut.

Menurut Encik Masagos lagi, kesemua asatizah yang ingin mengajar atau membimbing kelas agama diwajibkan mendapatkan pengiktirafan ARS supaya masyarakat berasa yakin bahawa seseorang asatizah itu mempunyai pengetahuan agama yang diperlukan.

Untuk layak bagi skim ARS, para asatizah tidak boleh mengajar atau menyebarkan sebarang ajaran ataupun melakukan sebarang upacara atau perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

Kesemua asatizah ARS juga digalakkan supaya terus mempertingkatkan dan mendalami pengetahuan agama masing-masing.

Kesesuaian mereka untuk diiktiraf di bawah ARS juga disemak dari semasa ke semasa.

Jika mereka melanggar Kod Etika asatizah, status ARS mereka akan digantung atau dibatalkan.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita