MUIS tegaskan ia pandang serius tadbir urusnya; sangkal dakwaan seperti amalan rasuah
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menegaskan bahawa ia memandang serius perkara-perkara berkaitan tadbir urusnya dan ia mempunyai proses-proses yang teratur bagi memastikan proses pentadbirannya kekal teguh.
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menegaskan bahawa ia memandang serius perkara-perkara berkaitan tadbir urusnya dan ia mempunyai proses-proses yang teratur bagi memastikan proses pentadbirannya kekal teguh.
Kebelakangan ini, timbul pelbagai dakwaan serta tohmahan terhadap MUIS di media sosial. Antaranya, MUIS dituduh tidak cekap menangani dakwaan rasuah dan isu-isu salah pengurusan. Tuduhan-tuduhan ini malah ditukil seorang pengarang asing dalam kupasannya yang kemudian diterbitkan di beberapa laman seperti Asia Sentinel dan Eurasia Review.
Menerusi satu kenyataan media pada Ahad (11 Jul), MUIS membidas segala dakwaan-dakwaan itu dan memberikan butiran lanjut untuk menyokong hujah-hujahnya.
"Kebanyakan dakwaan yang diketengahkan telahpun diperjelaskan MUIS sebelum ini melalui kenyataan media dan di Parlimen. Walau bagaimanapun, ini tidak diendahkan atau disebut oleh artikel itu. Disebabkan itu, perlu bagi MUIS untuk menyangkal tohmahan-tohmahan dan memperjelaskan kebenaran mengenai dakwaan-dakwaan dalam artikel tersebut," menurut MUIS.
REKOD KEWANGAN BERSIH
Menjawab tuduhan mengenai amalan rasuah, MUIS mengingatkan bahawa ia adalah sebuah badan berkanun. Ini bermakna, ia perlu menyerahkan penyata kewangannya kepada Parlimen sebelum 30 Jun setiap tahun seperti yang dituntut undang-undang urus tadbir badan awam di Singapura.
Menurut MUIS, penyata-penyata kewangannya yang telah diaudit, termasuk bagi tahun kewangan 2020, dimuatnaikkan ke laman MUIS demi ketelusan.
Dalam satu surat terbuka pada Sabtu (10 Jul), Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood terdahulu menyatakan bahawa Pejabat Juruaudit Negara (AGO) tidak menemui sebarang bukti bahawa terdapat unsur-unsur penipuan dalam MUIS.
Bagaimanapun, Encik Esa akur terdapat beberapa kelemahan prosedur dalam audit terakhir AGO pada 2018 tetapi semua pemerhatian itu ditangani mengikut jadual dan akan dihuraikan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini
Menerangkan lebih lanjut, MUIS menyatakan semua kelemahan itu sudahpun dihuraikan - kecuali satu isu yang memerlukan pembangunan sebuah sistem IT yang baru.
MUIS menambah: "Kelemahan itu akan dihuraikan menjelang lewat tahun ini. Sementara itu, MUIS juga melaksanakan langkah interim demi memperbaiki keadaan."
Selain AGO, MUIS turut mendapatkan sebuah juruaudit bebas untuk memastikan pematuhan kawalan dan prosedur-prosedur dalaman.
"Segala dapatan audit dan saranan dibentangkan kepada Jawatankuasa Audit MUIS, yang dipengerusikan oleh seorang anggota majlis MUIS," jelas badan tersebut.
PENGURUSAN ZAKAT TIDAK TERATUR?
MUIS turut dituduh tidak menguruskan zakat dengan sewajarnya. Dalam satu rencana online, para pegawai MUIS dikatakan "boleh mengakses akaun-akaun (tertentu) walaupun ia bukan di bawah skop pekerjaan mereka".
Andaian itu selanjutnya menimbulkan kebimbangan tentang kegiatan tanpa kebenaran yang dilakukan di dalam sistem zakat - seperti "menambah atau menyunting pengguna, dan menghapus dan menyunting resit" - sesuatu yang dilihat sebagai satu kelemahan besar.
Menjawab dakwaan ini, MUIS memberi penjelasan bahawa pengumpulan dan pengagihan zakat juga diaudit dengan teliti dan maklumat ini tersedia kepada orang ramai dalam laporan tahunannya.
"MUIS mendapatkan panduan mengenai pungutan zakat dan pengagihannya kepada pelbagai asnaf mengikut syariah dari Jawatankuasa Zakat dan Fitrah, yang terdiri daripada pemimpin agama dan masyarakat. Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Presiden MUIS ini juga menyemak semula dasar dan amalan semasa setiap tahun," jelasnya.
Ia turut mendedahkan bahawa 6,900 keluarga menerima bantuan zakat pada tahun lalu.
"Pada 2020, Muis mengagihkan $27.6 juta untuk membantu masyarakat Islam yang miskin dan memerlukan di bawah pelbagai program dan skim. Pada tahun-tahun di mana kutipan zakat lebih tinggi, MUIS menyalurkan lebih banyak bantuan wang kepada penerima zakat menerusi komponen pengagihan Ramadan dan akhir tahun, selain daripada pengagihan bulanan," menurutnya lagi.
Selain daripada pengurusan zakat, MUIS menyatakan pihaknya akan terus berusaha untuk mengukuhkan tadbir urus yang baik bagi pengurusan haji, pensijilan halal dan pengurusan wakaf. Ini dilakukan dengan sentiasa menyemak proses demi memberikan khidmat terbaik buat masyarakat.
Di samping itu, MUIS juga mengalu-alukan maklum balas dan memandang serius terhadap sebarang aduan yang diterima badan berkenaan demi menegakkan piawai integriti yang paling tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.