Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS sudah siasat maklum balas isu kebersihan makanan libatkan pemegang sijil halal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Muis memandang serius terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi piawai dan syarat sijil Halal di Singapura dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan. 

Demikian ditekankan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (31 Dis) menerusi catatan di Facebooknya.

Kenyataan itu dibuat menyusuli pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah gerai makanan setelah menerima maklum balas daripada warga siber yang menyuarakan keprihatinan tentang isu kebersihan melibatkan salah satu pemegang sijil halal MUIS.

Menurut MUIS, pada 28 Disember lalu, ia juga menerima maklum balas bahawa premis tersebut dilihat seperti tiada kakitangan Muslim.

Para pegawai Sijil Halal MUIS kemudian segera dikerahkan untuk membuat pemeriksaan di gedai tersebut pada hari yang sama. 

"Pemeriksaan kami mendapati semua syarat sistem MUIS dipatuhi," menurut MUIS.

Para pemegang sijil halal MUIS perlu mematuhi Syarat-Syarat Sijil Halal MUIS pada setiap masa. Ini termasuk mempunyai dokumen-dokumen, seperti sijil halal dan label produk untuk menyokong status bahan-bahan yang digunakan serta mempunyai kakitangan yang dilatih tentang prosedur Halal, termasuk sekurang-kurangnya dua kakitangan Muslim. 

Pemegang sijil Halal juga tertakluk kepada audit yang sudah dijadualkan dan juga secara mengejut untuk memastikan sistem pengurusan halal itu dipatuhi. 

Kehadiran kakitangan Muslim adalah sebagai jaminan tambahan untuk para pelanggan kerana Halal merupakan tanggungjawab agama dan amanah bagi umat Islam. 

Selain syarat khusus berkaitan halal, keselamatan dan kebersihan makanan juga merupakan prasyarat bagi sijil Halal MUIS, sepertimana yang diwajibkan dalam agama Islam. 

Hanya premis-premis yang memiliki lesen Agensi Makanan Singapura (SFA) yang boleh mendaftar bagi Sijil Halal MUIS. 

"Sebarang isu berkaitan keselamatan dan/atau kebersihan makanan yang dikesan semasa audit dan pemeriksaan akan dimaklumkan kepada SFA. 

"Ini sebahagian daripada keseluruhan sistem yang ditetapkan untuk memastikan para pelanggan Muslim mendapat akses kepada makanan yang halal dan juga selamat dimakan," menurut MUIS. 

Ia menambah, SFA akan mengambil tindakan yang wajar terhadap sesebuah gerai dengan isu kebersihan makanan.

WARGA SIBER HUBUNGI MUIS BERI MAKLUM BALAS

Pada 28 Disember lalu, satu catatan dimuat naik ke laman Facebook Halal Cafe & Restaurants in Singapore, menyuarakan keprihatinan tentang status halal dan kebersihan sebuah gerai nasi ayam di Admiralty.

Menurut catatan tersebut, warga siber berkenaan kerap mengunjungi gerai itu bersama keluarganya.

Namun, semasa mengunjungi gerai tersebut bersama anaknya pada 16 Disember, beliau terkejut melihat ulat pada makanan anaknya.

Setelah menghubungi pemilik gerai, wang beliau dipulangkan. Warga siber itu juga menghubungi MUIS untuk memberikan maklum balas.

HARGAI USAHA AKTIF MASYARAKAT DIDIK KELUARGA, RAKAN

"Kami sangat menghargai usaha aktif masyarakat dalam mendidik rakan-rakan dan keluarga tentang dasar syarat halal. Kami juga berterima kasih atas ramai rakan-rakan masyarakat dan anggota masyarakat yang prihatin tentang halalan toyyibanm.

"Dengan pemahaman yang betul tentang dasar-dasar serta perlindungan tambahan bagi pensijilan seperti sijil halal MUIS dan sijil kebangsaan bagi keselamatan dan kebersihan makanan, kita semua boleh membuat pilihan menerusi pengetahuan dan dengan yakin menurut agama," menurut MUIS.

Sejajar dengan komitmen MUIS untuk lebih mendampingi masyarakat, MUIS akan terus memberikan kemas kini dari masa ke semasa berhubung isu-isu seperti isu halal di semua platformnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan