Skip to main content

Singapura

MUIS sediakan bantuan kaunseling, urusan universiti bagi pelajar yang pulang ke SG

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS sediakan bantuan kaunseling, urusan universiti bagi pelajar yang pulang ke SG
Seramai 42 pelajar yang menuntut di universiti-universiti di Jordan antara warga Singapura dari Timur Tengah yang selamat kembali ke tanah air pagi 13 Mac. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
Diterbitkan : 13 Mar 2026 05:14PM Dikemas Kini : 15 Mar 2026 02:56PM

SINGAPURA: Apabila Raja Nur Syakirah Raja Muzaffar Shah berlepas ke Jordan untuk menuntut di sana tahun lalu, keluarganya sudah bersedia untuk menyambut Aidilfitri tanpanya selama empat tahun.

Namun situasi yang tidak dijangka di Timur Tengah membawa hikmah tersendiri apabila beliau dapat pulang ke Singapura dan menyambut Aidilfitri di sini.

Malah ia menjadi satu kejutan buat ibunya yang hanya dimaklumkan tentang kepulangannya sehari sebelum tiba pulang ke tanah air.

Pelajar Universiti Yarmouk di Irbid, Jordan, itu antara 42 pelajar dari dua universiti di Jordan, Universiti Jordan dan Universiti Yarmouk yang dibawa pulang ke tanah air dengan pesawat Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).

Mereka merupakan sebahagian daripada 81 warga Singapura dan ahli keluarga mereka yang terkandas di Timur Tengah akibat perang yang meletus.

Mereka adalah kumpulan kedua yang dibawa pulang dengan pesawat RSAF yang dikerah khas ke Arab Saudi.

Penerbangan khas SAF14 itu mendarat di Lapangan Terbang Changi pada 5.59 pagi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah sekitar 4.30 petang (waktu tempatan) pada 12 Mac.

GEMBIRA DAPAT MENYAMBUT AIDILFITRI BERSAMA KELUARGA

Ketibaan Raja Nur Syakirah, 21 tahun, di Lapangan Terbang Changi Terminal 2 disambut penuh emosi oleh kedua ibu bapanya, Cik Saadiah Mohd Habib, 53 tahun dan Encik Raja Muzaffar Raja Rosli, 57 tahun serta abang dan kakak iparnya.

Related article image
Raja Nur Syakirah Raja Muzaffar Shah (kiri) bersama ibunya, Cik Saadiah Mohd Habib, 53 tahun, yang hanya dimaklumkan tentang kepulangannya sehari sebelum tiba pulang ke tanah air. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)

Menurut Raja Nur Syakirah, keluarganya sebelum ini sudah bersedia untuk tidak menyambut Aidilfitri bersamanya sepanjang tempoh pengajiannya di Jordan.

"Pastinya saya berasa sangat gembira, sangat lega dan sangat seronok kerana tidak lama lagi pun Hari Raya dan sekarang pun Ramadan. Jadi kami akhirnya dapat merayakan bersama. Tahun lepas tak dapat, ada di universiti. Jadi mungkin ini adalah peluang untuk saya beraya dengan keluarga kembali," ujar beliau yang kali terakhir menyambut Aidilfitri bersama keluarga pada 2024.

Ayahnya, yang bertugas sebagai penyelaras projek di Perdaus berkata: "Kami sekeluarga sudah menjangkakan kita tidak dapat beraya bersama sepanjang empat tahun tempoh pengajiannya yang bermula pada 2025."

Ini disebabkan cuti pengajiannya dijadualkan antara Jun hingga Oktober, kongsi ayah kepada tiga orang anak itu.

Sebelum itu, mereka dijadualkan menduduki peperiksaan pada pertengahan April.

Pelajar Usuluddin tahun kedua itu masih lagi belum tahun jika peperiksaan itu akan diteruskan atau ditunda.

Ini kerana dia dan pelajar lain juga tidak pasti jika mereka boleh mengikuti pengajian secara online atau menangguhkannya hingga ke semester seterusnya pada bulan Jun.

"Ia memang amat merisaukan kerana kami sudah mempunyai perancangan tentang bila mahu menamatkan pengajian dan sebagainya," luah Raja Nur Syakirah.

Namun, beliau bersyukur atas sokongan pihak Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) serta pemerintah Singapura dalam membantu pengajian mereka.

SEPATUTNYA PULANG KEMUDIAN TAPI PENERBANGAN DIBATALKAN

Bagi yang sudah tamat pengajian, ada antara mereka yang sudah membuat perancangan untuk pulang menaiki pesawat komersil.

Antara mereka ialah Muhammad Nasrullah Mohamed Jasmani, 25 tahun, yang menamatkan pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Yarmouk pada Februari lalu.

Dia sepatutnya pulang pada 14 Mac, namun penerbangannya dibatalkan.

"Pihak MUIS sudah memberitahu kami bahawa untuk siap sedia dari tarikh 10 hingga 14 Mac untuk kita siap sedia untuk kita pulang ke Singapura dan pada masa itu saya rasa macam agak gembira sebabkan saya punya tiket penerbangan dibatalkan pada tarikh 14 Mac iaitu esok. ," luah Nasrullah.

Dia juga teruja dapat kembali ke tanah air, "Bila saya langsung sampai ke tanah air, saya gembira sangat sebabkan di Jordan, saya agak gementar sebab bunyi siren pada setiap saat dan setelah saya sudah sampai saya rasa lagi tenang".

Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan), turut menyambut kepulangan warga Singapura dan para pelajar yang menuntut di universiti di Jordan. Antara pelajar ialah graduan Universiti Yarmouk, Muhammad Nasrullah Mohamed Jasmani (kiri), 25 tahun. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
BANTUAN KAUNSELING, ATURAN PENGAJIAN AKAN DISEDIAKAN MUIS

Turut menyambut kepulangan mereka ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen.

Mengulas mengenai kepulangan para pelajar itu, Dr Faishal berkata mereka telah pulang ke Singapura demi keselamatan mereka dan menekankan keselamatan mereka kekal menjadi keutamaan.

Baru-baru ini, Dr Faishal telah bertanya khabar dengan beberapa pelajar Singapura yang menuntut di Mesir, Jordan, Kuwait dan Arab Saudi menerusi Zoom.
Pada ketika itu, para penuntut di Jordan dalam keadaan selamat dan tidak merancang untuk pulang.

“Sejak itu, perkembangan di sana kekal dinamik dan tidak menentu. Kami bekerja rapat bersama pelbagai agensi untuk menyokong mereka yang memerlukan bantuan untuk pulang ke tanah air dengan selamat,” jelas beliau mengenai perkembangan terkini dan mengapa para pelajar dinasihatkan untuk pulang ke Singapura.

Malah, beliau akui keputusan untuk pulang bukan sesuatu yang mudah bagi para pelajar.

“Ada yang baru memulakan pengajian pada tahun pertama, manakala ada juga yang berada di semester terakhir dan hampir menamatkan pengajian mereka. Bagi pelajar yang memilih untuk terus berada di Timur Tengah, MUIS akan terus berhubung rapat dengan mereka melalui Pegawai Perhubungan Pelajar serta Kedutaan Singapura untuk memantau perkembangan keadaan di sana,” kata Dr Faishal.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata pelajar dari Universiti Jordan dan Universiti Yarmouk telah pulang ke Singapura demi keselamatan mereka dan menekankan keselamatan mereka kekal menjadi keutamaan. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
Menurut beliau lagi, MUIS akan terus berhubung dengan para pelajar yang terjejas bagi meneroka aturan pengajian alternatif dengan universiti mereka serta menyediakan sokongan kaunseling sekiranya diperlukan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keadaan di Timur Tengah masih tidak menentu dan boleh berubah dengan pantas, sambil menggesa rakyat Singapura kekal berwaspada, memantau perkembangan serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan nasihat perjalanan yang dikeluarkan Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita