Skip to main content

Singapura

Muis sangkal dakwaan tidak tepat mengenai siasatan pengiktirafan badan pensijilan halal asing

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyangkal beberapa dakwaan tidak tepat yang dibuat oleh sebuah rencana online mengenai siasatan yang dijalankan oleh Muis terhadap aduan berkaitan pengiktirafan terhadap badan pensijilan halal asing (FHCB), dalam satu kenyataannya pada Khamis (12 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Muis sangkal dakwaan tidak tepat mengenai siasatan pengiktirafan badan pensijilan halal asing

Logo Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Diterbitkan : 12 Nov 2020 07:48PM Dikemas Kini : 12 Nov 2020 07:50PM

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyangkal beberapa dakwaan tidak tepat yang dibuat oleh sebuah rencana online mengenai siasatan yang dijalankan oleh Muis terhadap aduan berkaitan pengiktirafan terhadap badan pensijilan halal asing (FHCB), dalam satu kenyataannya pada Khamis (12 Nov).

Rencana itu, menurut Muis mendakwa ia menukil maklumat dari pelbagai sumber yang tidak dinamakan.

DAPATAN PANEL PENELITIAN BEBAS DISERAHKAN KEPADA MCCY

Awal daripada ini, dalam satu kenyataan pada 17 Jun, Muis menyatakan bahawa sebuah pasukan penyiasat dalaman serta panel penelitian bebas yang dipengerusikan oleh seorang anggota Jawatankuasa Muis ditubuhkan bagi meneliti dakwaan yang dibuat oleh para pemain industri dan laporan media terhadap pasukan pensijilan halal Muis.

Pegawai yang ditujukan dakwaan itu sudah tidak lagi mengendalikan hal-hal berkaitan pengiktirafan badan pensijilan halal asing sedang siasatan dijalankan, bagi membantu dalam proses tersebut.

Menurut Muis, panel penelitian bebas itu sudah selesai melakukan pengkajian semula dan sudah menyerahkan dapatannya kepada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia bagi penilitian lanjut.

Hasil siasatan akan didedahkan pada masa yang sesuai.

MUIS SANGKAL DAKWAAN SAKSI DIPAKSA TANDATANGANI PERJANJIAN BUKAN PENDEDAHAN

Menurut Muis, artikel yang diterbitkan online itu mengandungi beberapa maklumat tidak tepat.

Artikel itu mendakwa bahawa "para saksi berkata mereka dipaksa untuk menandatangani perjanjian bukan pendedahan sebelum bukti diambil dari mereka".

Menurut Muis, kesemua pihak yang ditemu bual untuk membantu dalam siasatan berbuat demikian secara rela.

Pihak-pihak berkenaan diminta menandatangani perjanjian itu untuk melindungi kerahsiaan proses siasatan dan tiada di antara mereka yang membantah atau tidak rela berbuat demikian.

Selain itu, rencana online itu juga, menurut Muis menukil secara palsu pengerusi panel penelitian bebas itu.

Artikel itu mendakwa bahawa pengerusi itu berkata bahawa "adalah membimbangkan siasatan itu meluangkan banyak usaha dengan menumpukan kepada pendedahan tanpa kebenaran atau pembocoran maklumat daripada pihak majlis".

Muis sebaliknya menjelaskan bahawa penelitian itu mengambil pendekatan menyeluruh bagi mengkaji semula semua dakwaan yang ditimbulkan termasuk sama ada badan pensijilan halal asing yang terlibat dikeluarkan daripada senarai secara tidak wajar.

Muis juga meminta pihak-pihak yang membuat spekulasi supaya membenarkan proses siasatan dilaksanakan.

Muis menyatakan pihaknya akan memberi kemas kini tentang keputusan siasatan selepas perkara itu dipertimbangkan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY). 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita