Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS sangkal artikel persoal proses sijil halal di S'pura; timbang ambil tindakan terhadap penerbit rencana

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menegaskan bahawa ia sentiasa menegakkan kewibawaan Sistem Pengurusan Mutu Halal bagi memberi jaminan kepada para pelanggan Muslim dan lebih penting lagi kepada seluruh umat Islam di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menegaskan bahawa ia sentiasa menegakkan kewibawaan Sistem Pengurusan Mutu Halal bagi memberi jaminan kepada para pelanggan Muslim dan lebih penting lagi, kepada seluruh umat Islam di Singapura.

Dalam catatan Facebooknya pada Sabtu (25 Apr), MUIS turut menegaskan bahawa tiada seorang individu mahupun anggota majlis itu yang boleh mempengaruhi sebarang keputusan permohonan bagi pensijilan halal di Singapura.

MUIS menekankan demikian bagi menyangkal satu rencana online yang mempersoalkan amalan-amalan pada proses pensijilan halal di negara ini.

Rencana tersebut menuduh MUIS "melaksanakan proses pensijilan Halal secara cuai dan tidak telus" serta "lebih condong kepada badan-badan pentauliahan tertentu di Australia, Eropah dan Amerika Syarikat."

Dalam catatan Facebooknya itu, MUIS sekeras-kerasnya menyangkal tuduhan tersebut yang disifatkannya sebagai "amat serius" dan sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap penerbit rencana yang menimbulkan buruk sangka itu.

Memberikan responsnya terhadap rencana itu, MUIS menjelaskan bahawa proses pensijilan halal di Singapura diuruskan mengikut piawai tadbir urus yang ketat dan serupa dengan piawai yang ditetapkan oleh Perkhidmatan Awam Singapura.

"Semua proses dijalankan berdasarkan piawai pentauliahan ISO 17065 sepanjang proses permohonan, penilaian, pentauhilan serta fasa-fasa audit seterusnya," tegas MUIS.

Majlis itu turut menegaskan bahawa semua keputusan utama mengenai pensijilan halal tidak dibuat oleh seorang individu saja, sebaliknya oleh sebuah panel bebas di MUIS. Proses ketat yang dilaksanakan ke atas para pemohon tempatan turut dikenakan ke atas badan-badan pensijilan halal asing (FCB), menurutnya.

MUIS akur bahawa FCB beroperasi dalam konteks sosial, agama dan undang-undang yang berbeza daripada Singapura. Namun, ia hanya mengiktiraf mereka yang benar-benar menunjukkan bahawa mereka mematuhi piawai serupa yang turut diamalkan MUIS serta syarat-syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan pensijilan tersebut.

MUIS menyatakan bahawa buat masa ini, ia mengiktiraf 74 FCB dari merata dunia.

Sepanjang 10 tahun lalu, MUIS juga sudah menarik balik 10 FCB kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

MUIS juga menggesa masyarakat Islam setempat supaya jangan menyebarkan sebarang khabar angin.

Orang ramai turut dinasihati supaya menghubungi pihak berkuasa relevan sekiranya mereka mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan