Skip to main content

Singapura

MUIS: Sampel Li Chuan Fish Ball & Cuttlefish Ball sedang diuji di makmal

Dalam satu penjelasan terkini hari ini (29 Jan) Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mendedahkan bahawa ia sudahpun menjalankan pemeriksaan ke atas kilang pengeluaran produk makanan syarikat Li Chuan dan sudah mendapatkan sampel produk-produk terjejas pada 27 Januari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS: Sampel Li Chuan Fish Ball & Cuttlefish Ball sedang diuji di makmal

(Gambar: Facebook)

Diterbitkan : 29 Jan 2021 07:30PM Dikemas Kini : 29 Jan 2021 07:35PM

SINGAPURA: Dalam satu penjelasan terkini hari ini (29 Jan) Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mendedahkan bahawa ia sudahpun menjalankan pemeriksaan ke atas kilang pengeluaran produk makanan syarikat Li Chuan dan sudah mendapatkan sampel produk-produk terjejas pada 27 Januari lalu.

"Sampel-sampel tersebut sudah pun dihantar untuk diuji di makmal-makmal bertauliah. MUIS akan menilai langkah susulan sewajarnya sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan," menurut MUIS dalam satu kenyataan media.

Langkah itu diambil setelah MUIS, pada 25 Januari, maklum tentang penemuan DNA babi pada dua produk makanan keluaran syarikat Li Chuan. Ia ditemui menyusuli ujian yang dijalankan Jabatan Ehwal Agama Brunei ke atas produk Li Chuan Fish Ball and Li Chuan Cuttlefish Ball.

"Sementara menantikan keputusan siasatan, syarikat tersebut (Li Chuan Food Products Pte Ltd) bersetuju dengan permintaan MUIS supaya ditarik balik penjualan produk-produk terbabit daripada pasaran Singapura dan menghentikan eksport produk-produk itu ke luar negara," tambah MUIS dalam kenyataannya itu.

Menjelaskan lebih lanjut, MUIS menyatakan bahawa penemuan sisa DNA babi dalam produk-produk terjejas berlaku ketika ujian rambang DNA dijalankan terhadap produk-produk sebagai sebahagian daripada ujian rutin oleh pihak berkuasa Brunei.

Menurut MUIS lagi, amalan itu berbeza daripada pendekatan yang diambil dalam proses pensijilan Halal MUIS di mana pendekatannya adalah untuk melakukan ujian rambang terhadap produk-produk makanan yang berisiko tinggi seperti produk daging yang diproses dan produk berasaskan daging yang diproses.

Pemeriksaan MUIS pula tertumpu pada bahan-bahan yang digunakan, proses penghasilan dan penyediaan, kemudahan dan rekod pematuhan.

UJIAN RUTIN DNA BABI TIDAK DITERAPKAN DALAM PROSES MUIS

Buat masa ini, MUIS menyatakan, ia tidak menerapkan amalan ujian DNA babi secara rutin dalam proses-prosesnya kerana berpandangan bahawa ujian DNA harus dilakukan hanya apabila ada rangka kerja dan pemahaman menyeluruh yang disetujui oleh pakar-pakar dan ulama.

MUIS akan terus memantau perkembangan teknologi ujian DNA babi dan menilai sama ada wajar untuk menyertakan ujian sedemikian sebagai sebahagian daripada proses pensijilan Halal di Singapura.

Sehubungan itu, Muis maklum akan mesej-mesej yang tular di pelbagai wadah media sosial berhubung hal itu. Ia sekali lagi menggesa orang awam supaya mengelak daripada membuat spekulasi lanjut sehinggalah siasatan selesai dijalankan.

Badan penguasa Islam itu juga memberi jaminan kepada masyarakat bahawa ia komited sepenuhnya dalam memastikan keperluan pemakanan masyarakat Muslim setempat terus dipenuhi.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita