Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS rancang tambah ruang solat Jumaat kepada 30,000 slot seminggu

MUIS kini merancang untuk meningkatkan bilangan ruang solat Jumaat kepada 30,000 slot seminggu. Ini berbanding sekitar 15,200 slot solat Jumaat yang ada sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) kini merancang untuk meningkatkan bilangan ruang solat Jumaat kepada 30,000 slot seminggu. Ini berbanding sekitar 15,200 slot solat Jumaat yang ada sekarang.

MUIS juga mendedahkan hari ini (30 Sep) bahawa mulai 7 Oktober, 19 buah masjid akan mula menambah ruang bagi solat berjemaah lima waktu kepada 100 jemaah berbanding hanya 50 jemaah sebelum ini.

Malah sambutan Maulid Nabi juga bakal diadakan secara fizikal di masjid-masjid.

Kelonggaran-kelonggaran itu diumumkan MUIS dalam satu sidang media online hari ini (30 Sep) yang dipengerusikan Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood, Mufti Negara Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Pengarah Kanan Masjid-Masjid MUIS, Mohd Helmy Isa.

Lebih banyak kelonggaran yang diumumkan bagi masjid-masjid itu, antara lain bermakna, lebih ramai lagi anggota masyarakat Islam akan dapat kembali ke masjid pada Oktober ini.

Khususnya, bermula Rabu depan, 12 masjid berikut akan dibolehkan menerima 100 jemaah bagi kesemua lima solat waktu:

Masjid Al-Istighfar
Masjid Darul Ghufran
Masjid Assyafaah
Masjid Darul Makmur
Masjid Angullia
Masjid Sultan
Masjid Al-Khair
Masjid Al-Mukminin
Masjid Ar-Raudhah
Masjid Assyakirin
Masjid Hasanah
Masjid Maarof

Baki tujuh masjid pula akan dibolehkan menerima 100 jemaah bagi waktu solat tertentu sahaja. Hanya 50 orang dibenarkan bagi solat berjemaah di luar waktu solat tertentu yang ditetapkan.

Misalnya, Masjid Al-Falah akan menerima 100 jemaah hanya pada waktu Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak, sementara
Masjid Alkaff Kampung Melayu menerima 100 jemaah bagi solat Maghrib dan Isyak sahaja.

Lima masjid berikut ini pula membuka pintu kepada 100 jemaah bagi solat Subuh, Maghrib dan Isyak sahaja:

Masjid Al-Islah
Masjid Al-Mawaddah
Masjid An-Nur
Masjid Yusof Ishak
Masjid Al-Iman

"MUIS berharap dan akan berusaha untuk menyediakan lebih banyak ruang secara progresif sehingga 30,000 di dalam masa akan datang. Ini akan membolehkan lebih ramai jemaah untuk melaksanakan solat Jumaat dengan lebih kerap lagi," kata Encik Helmy.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan garis masa untuk mencecah bilangan 30,000 itu.

MASJID RINTIS JALAN MUATKAN 250 JEMAAH PADA SATU-SATU MASA

Menurut MUIS lagi, sejak masjid-masjid dibuka semula, sejumlah 85,000 jemaah sudah dapat menghadiri solat Jumaat.

Sehingga hari ini, MUIS sudah menawarkan 15,225 slot setiap minggu bagi solat Jumaat di 64 masjid setempat.

Dengan lebih banyak ruang solat Jumaat akan dibuka, para jemaah secara umumnya boleh membuat tempahan semula bagi mendapatkan slot setiap empat hingga lima minggu, berbanding tujuh minggu sebelum ini.

Untuk mencapai sasaran itu, MUIS sedang bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) untuk membolehkan beberapa masjid merintis jalan bagi memuatkan sehingga 250 jemaah di lima zon pada satu-satu masa.

Menerusi kenyataan medianya MUIS menyatakan bahawa bermula 16 Oktober ini waktu bagi solat Jumaat akan diawalkan mengikut waktu Zuhur yang lebih awal berbanding beberapa bulan sebelum ini.

Waktu baru bagi tiga sesi solat Jumaat mulai 16 Oktober itu adalah seperti berikut:

Sesi 1: 12.45 tengah hari hingga 1.15 petang
Sesi 2: 1.45 petang hingga 2.15 petang
Sesi 3: 2.45 petang hingga 3.15 petang

MUIS juga mengumumkan bahawa para jemaah berusia 60 tahun dan ke atas, yang sebelum ini tidak digalak ke masjid, kini diberi lampu hijau untuk ke masjid seperti biasa.

Sekalipun demikian, MUIS mengingatkan bahawa mereka yang tidak sihat dan juga kanak-kanak bawah usia 12 tahun dinasihatkan untuk tidak ke masjid.

MAULID NABI BAKAL DIANJUR SECARA FIZIKAL

Encik Mohamad Helmy juga berkata selain daripada solat berjemaah masjid-masjid. MUIS juga secara bertahap-tahap sudah meneruskan semula khidmat-khidmat lain sejajar dengan garis panduan MCCY.

Ini seperti majlis-majlis pernikahan dan solat jenazah di masjid-masjid.

Beberapa kegiatan lain juga bakal disambung semula secara fikizal di beberapa masjid, tambah beliau.

Ini termasuk sambutan Maulid Nabi yang akan dianjurkan secara fizikal di masjid-masjid pada hujung Oktober ini.

Bagaimanapun ia akan dianjurkan secara hibrid atau campuran - bermakna secara online dan di secara fizikal masjid sendiri di mana jumlah hadirin dihadkan.

"MUIS juga akan secara progresif membenarkan beberapa kelas agama untuk disambung semula. Kelas madrasah aLIVE akan dibenarkan dengan beberapa masjid dipilih untuk menjalani program perintis atau 'pilot' program bermula pertengahan Oktober. MUIS menyasarkan lebih banyak kelas di masjid-masjid untuk disambung semula pada tahun 2021," kongsi Encik Helmy lagi.

TEROKA HURAIAN BARU AGAR DAPAT TERUS MEKARKAN KEHIDUPAN BERAGAMA

Meskipun lebih ramai jemaah bakal dapat memasuki masjid, Mufti Negara Ustaz Dr Nazirudin Nasir menekankan bahawa masih terdapat banyak lagi cabaran pandemik COVID-19 dan krisis ini belum lagi selesai.

"Saya juga ingin mengajak masyarakat untuk melihat ke hadapan di mana besar kemungkinan norma-norma baru dan seperti yang kita jalani pada hari ini dan juga langkah-langkah berjaga-jaga masih lagi perlu selagi mana ancaman penularan COVID-19 masih wujud," kata Dr Nazirudin.

Lantaran itu, kata Dr Nazirudin, penting untuk terus meneroka cara-cara dan huraian-huraian baru untuk membantu masyarakat agar mereka dapat terus menghidupkan dan memekarkan kehidupan beragama dalam situasi yang mencabar ini.

"Oleh itu Jawatankuasa Fatwa sedang mengkaji dan meneliti apakah lagi penyesuaian yang boleh dibuat dengan penuh berhati-hati dan berpandukan prinsip-prinsip dan hukum-hukum agama," kata Dr Nazirudin.

Beliau juga menyeru umat Islam Singapura untuk terus meneruskan sikap bersatu padu yang ditunjukkan selama ini agar dapat mengatasi cabaran-cabaran pada masa akan datang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan