Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS peruntuk S$1 juta untuk latih asatizah; kurikulum CPE akan disemak dan diperbaharui

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan menyuntik dana bernilai S$1 juta dalam bentuk kredit latihan bagi sekitar 4,900 asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan menyuntik dana bernilai S$1 juta dalam bentuk kredit latihan bagi sekitar 4,900 asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Di samping itu, Panel Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) juga akan menyemak dan menyegarkan kurikulum CPE. Dengan itu, lebih banyak fokus akan ditumpukan kepada pembangunan kemahiran bagi memastikan ia selaras dengan wawasan MUIS bagi asatizah hari muka.

Panel seramai tujuh anggota itu terdiri daripada para asatizah yang terlibat dalam pelbagai bidang dan ia diterajui oleh Timbalan Mufti Dr Mohammad Hannan Hassan.

Matlamat panel tersebut adalah untuk membangunkan rangka kerja CPE yang holistik, melakarkan kurikulum yang lebih segar dengan lebih banyak tumpuan diberikan kepada pembangunan kemahiran dan mewujudkan sistem pengurusan pembelajaran bersepadu yang akan memudahkan proses pembangunan dan menjadikannya lebih cekap dan berkesan.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengumumkan inisiatif-inisiatif itu semasa menyampaikan ucapannya di sesi semak semula pendampingan ARS-CPE pada Sabtu (5 Sep).

Semakan itu adalah antara saranan-saranan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) pada awal tahun ini.

Pada awal tahun ini, COFA membentangkan sepuluh saranan di bawah tiga teras utama iaitu mempertingkatkan taraf kekaryawanan sektor asatizah, memperkasakan institusi-institusi agama dan memupuk asatizah cemerlang.

MEMPERTINGKATKAN TARAF KEKARYAWANAN SEKTOR ASATIZAH

Daya usaha yang diumumkan itu, menurut Encik Masagos, akan membangunkan lagi sektor asatizah kerana sektor berkenaan memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat Melayu/Islam mengharungi norma-norma sosio-agama yang baru di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Dalam ucapannya yang disampaikan secara online kepada para asatizah, Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga turut menggesa para asatizah supaya mengambil kesempatan daripada peluang-peluang yang disediakan untuk saling mengukuhkan sektor tersebut.

"Demi mempertingkatkan kebolehan para asatizah, sebahagian daripada saranan-saranan tersebut kini dilaksanakan secara bertahap-tahap di bawah Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah atau AWDP."

Menurut Encik Masagos lagi, "AWDP mengandungi empat inisiatif iaitu rangka kerja kerjaya dan kemahiran atau Career Competency Framework (CCF), rancangan peningkatan kemahiran, program pimpinan keagamaan dan pembangunan bakat dan serta garis panduan gaji bagi sektor keagamaan."

Encik Masagos turut memberikan contoh bagaimana CCF menjadi pemangkin untuk para guru dan asatizah memperkasakan diri mereka melalui keupayaan digital dan kemahiran mengajar.

"Setiap guru dan asatizah di Madrasah Al-Arabiah kini mengikuti modul-modul dalam talian, menuju kepada pensijilan Google Certified Educator Level 1. CCF juga digunakan untuk menilai kecekapan para guru dan asatizah," dedah Encik Masagos.

INSENTIF BAGI MENGGALAK LEBIH RAMAI ASATIZAH MENYERTAI KURSUS

Bagi menggalak lebih ramai asatizah supaya menyertai kursus-kursus tersebut, MUIS akan memperuntukkan S$1 juta dalam bentuk kredit latihan asatizah yang boleh digunakan untuk menyertai kursus-kursus dalam senarai keutamaan CCF.

Setiap asatizah ARS akan diberikan kredit latihan sebanyak S$200 yang boleh digunakan untuk membiayai baki kos kursus-kursus yang disertai selepas memanfaatkan subsidi SkillsFuture.

Para asatizah boleh menggunakan kredit latihan itu untuk mendaftarkan diri bagi kursus-kursus di bawah lima kategori kemahiran yang dikenal pasti oleh MUIS iaitu kursus celik digital, pemasaran digital, penyampaian dan pembelajaran bertunjangkan teknologi, tekad dan daya tahan, pembangunan peribadi serta kerjasama dan kerja berpasukan.

Para asatizah boleh menggunakan kredit tersebut bermula 21 September 2020.

Lebih banyak butiran mengenai kredit latihan ini akan diumumkan oleh MUIS.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan