Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS peruntuk S$1.8 juta Dana Pendidikan Islam pada 2022, manfaatkan 4,100 pelajar

Lebih ramai pelajar Islam bakal mendapat manfaat Dana Pendidikan Islam (IEF) Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mulai Januari 2022 setelah kriteria kelayakan untuk Rebat Sokongan Keluarga diubah suai untuk membolehkan lebih banyak keluarga layak menikmati subsidi ditawarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS peruntuk S$1.8 juta Dana Pendidikan Islam pada 2022, manfaatkan 4,100 pelajar

(Gambar: Facebook/a.l.i.v.e)

SINGAPURA: Lebih ramai pelajar Islam bakal mendapat manfaat Dana Pendidikan Islam (IEF) Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mulai Januari 2022 setelah kriteria kelayakan untuk Rebat Sokongan Keluarga diubah suai untuk membolehkan lebih banyak keluarga layak menikmati subsidi ditawarkan.

Mulai Jan tahun depan juga, pelajar madrasah sambilan yang layak, akan menerima subsidi lebih tinggi sebanyak S$520 setahun berbanding S$400 sekarang di bawah Geran Pelajar Susah.

Demikian menurut Muis dalam satu kenyataan media pada Jumaat (3 Sep).

$1.8 juta DIAGIHKAN PADA 2022, JUMLAH TERTINGGI SEJAUH INI

Bantuan yang dipertingkat itu dijangka memanfaatkan sekitar 4,100 pelajar dan menelan belanja S$1.8 juta yakni 35 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan yang diagihkan pada 2020 dan jumlah tertinggi sejauh ini.

Dana Pendidikan Islam diperkenalkan pada 2004 bagi memastikan kelas program Pendidikan Islam (IE)aLIVE di masjid-masjid di sini kekal termampu bagi keluarga bergaji rendah.

Bantuan disediakan menerusi subsidi bagi membantu keluarga-keluarga yang layak menampung yuran bulanan selain membeli bahan-bahan pembelajaran.

Mulai Januari 2022, pelajar madrasah sambilan daripada keluarga yang bergaji per kapita S$500 ke bawah akan menerima Geran Pelajar Susah sebanyak S$520 setahun berbanding S$400 sekarang.

Bagi Rebat Sokongan Keluarga pula, kriteria kelayakan bagi dua atau lebih banyak anak yang mengikuti kelas IE di Madrasah Masjid ditiadakan manakala jumlah subsidi bagi yuran sekolah ditambah S$10 kepada sehingga S$70 bagi setiap anak buat dua bulan, setiap tahun.

Menurut MUIS, semakan itu dilakukan menyusuli tekanan ekonomi yang dihadapi keluarga, terutama sekali keluarga berpendapatan rendah akibat pandemik sekarang.

IEF dibiayai daripada pungutan Zakat dan sejauh ini lebih S$10.2 juta diagihkan kepada 37,000 penerima berusia lima hingga 20 tahun.

Perubahan itu berkuat kuasa bagi pelajar yang mendaftar bagi kelas madrasah aLIVE mulai 2022.

Permohonan bagi kelas aLIVE untuk Tahun 2022 boleh dilakukan online mulai September hingga Disember 2021 menerusi pautan pendaftaran masjid.

TINGKATKAN MUTU PROGRAM PENDIDIKAN ISLAM aLIVE

Bagi mempertingkatkan mutu program pendidikan Islam aLIVE, MUIS turut bekerjasama dengan beberapa masjid untuk menempatkan pusat-pusat aLIVE mereka di bawah satu pengurusan bersama. Pejabat Pengurusan dan Hab Pembelajaran Islam (ILHAM) mula beroperasi sejak permulaan 2021.

Di bawah ILHAM, operasi aLIVE di masjid-masjid diselaraskan untuk mempertingkatkan mutu program aLIVE menerusi semakan kerap terhadap kandungan kurikulum bagi memastikan ia relevan.

ILHAM dibangunkan di bawah MUIS untuk memperbaiki mutu program aLIVE di samping meningkatkan tahap profesionalisme asatizah aLIVE yang akan membolehkan pelajar meraih manfaat daripada program-program yang lebih menarik, kata MUIS.

Bagi tahun 2022, 15 pusat aLIVE akan dikendalikan oleh ILHAM.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan