Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS peruntuk $5 juta bagi Biasiswa Syed Isa Semait

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan memperuntukkan sebanyak S$5 juta untuk tempoh lima tahun bagi Biasiswa Syed Isa Semait.

Peruntukan itu bagi biasiswa yang dikeluarkan tahun ini hingga tahun 2026.

Setiap tahun, sehingga empat biasiswa akan diberikan kepada para calon yang layak.

Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen mengumumkan demikian di majlis penyampaian Biasiswa Syed Isa Semait hari ini (20 Okt).

Biasiswa itu diberikan kepada para pelajar madrasah yang cemerlang dalam pelajaran mereka untuk melanjutkan pengajian siswazah mereka di universiti-universiti Islam berprestij di merata dunia.

Ia akan menampung yuran universiti, elaun dan perbelanjaan-perbelanjaan lain yang diluluskan.

Selain itu, calon-calon terpilih juga akan ditawarkan program-program pembangunan yang disesuaikan, bimbingan, latihan amali dan pekerjaan dalam sektor keagamaan dan biasiswa peringkat possiswazah.

Biasiswa yang diberikan bersempena nama mantan Mufti, Syed Isa Semait itu adalah bagi memperingati dan menghargai sumbangan tidak ternilai beliau kepada masyarakat Muslim dan negara. 

Menurut Encik Kadir, Biasiswa Syed Isa Semait itu juga menyokong teras utama 'Menjadikan Sektor Asatizah Profesional' sebagai sebahagian usaha untuk membangunkan program pengurusan bakat yang berstruktur dan menumpukan perhatian kepada melatih asatizah masa depan untuk mengisi jawatan kepimpinan dalam sektor itu.

Ia merupakan antara tiga teras utama bagi 10 saranan yang dibentangkan Jawatankuasa Asatizah Masa Hadapan (COFA) menerusi dapatannya.

Selain biasiswa itu, Encik Kadir berkata MUIS juga sudah memulakan beberapa program bagi menyokong pembangunan lanjut para asatizah.

Ini termasuk Program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) bagi para mahasiswa yang tamat pengajian di universiti-universiti Islam di luar negara.

"Menjangkaui pembangunan profesional, MUIS juga sudah meneliti semula laluan dan peluang kerjaya serta gaji menerusi Rangka Kerjaya dan Kecekapan Asatizah (CCF) serta Garis Panduan Gaji Umum Asatizah (CSG). Ini selain daripada program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan (RLTD) yang dilancarkan untuk mengenal pasti, mengasah bakat dan melatih para asatizah untuk pelbagai peranan dalam masyarakat," ujar Encik Kadir.

Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli turut hadir bagi menyampaikan biasiswa itu kepada tiga penerima tahun ini. 

"Dalam kita membina model masyarakat gemilang di Singapura di mana kita sebagai masyarakat minoriti hidup dalam negara yang sekular, yang progresif dan juga dilindungi oleh undang-undang, kita beruntung kerana di kalangan kita adalah asatizah yang membesar, belajar di Singapura hinggalah mereka diasah dan diasuh, terbukti ada yang berbakat, ada potensi tinggi. Maka kita telah memilih mereka untuk memberi biasiswa Syed Isa Semait. Ini membolehkan mereka menjalani program untuk mendapat ijazah tapi seterusnya juga ia akan membolehkan mereka untuk disokong, mendapatkan kemahiran yang bermakna, yang sama-sama dengan rakyat, dengan masyarakat membina masyarakat yang gemilang," kata Encik Masagos. 

Penerima biasiswa, Nur Zahratul Humaira Hilmi juga berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu kesihatan mental. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Arina Ahmad Anis)
TIGA PENERIMA BIASISWA TERPILIH TAHUN INI

Salah seorang penerima biasiswa berprestij itu ialah Nur Zahratul Humaira Hilmi, 19 tahun.

Semasa menuntut di Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, beliau meraih beberapa anugerah termasuk Anugerah Pelajar Madrasah bagi Subjek Sekular dan Agama.

Selain itu, beliau juga adalah presiden bagi Majlis Pelajar Madrasah Alsagoff di mana beliau menerajui beberapa program pembangunan bersama pelajar lain.

Beliau juga dinobatkan sebagai juara pertandingan Musabaqah Tilawah dan Tahfiz al-Quran peringkat kebangsaan Singapura pada tahun 2019.

“Biasiswa ini adalah satu keringanan bagi saya dan keluarga saya untuk saya terus belajar menuntut ilmu hingga ke menara gading. Selain itu biasiswa ini adalah satu peluang untuk menyiapkan diri saya untuk berdepan dengan masyarakat yang lebih meluas lagi,” kongsinya kepada BERITAmediacorp.

Zahratul juga berkongsi rahsia kejayaannya adalah berkat doa dan nasihat serta usaha ibu bapa dan guru-gurunya. Menurutnya, mereka tidak pernah berputus asa menasihati dan membimbingnya.

Selain ingin menjadi seorang pendakwah, beliau memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau juga berhasrat ingin memperjuangkan isu-isu berkaitan kesihatan mental serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentangnya.

Katanya: “Saya rasa itu adalah salah satu sudut masyarakat perlu bimbingan. Saya rasa kesihatan mental itu bukan sekadar akademik. Ia bersangkut paut dengan agama kita juga kerana agama kita juga mengajar cara mengawal emosi dan kesihatan mental kita,”

Zahratul akan melanjutkan pengajian dalam bidang Usuluddin dan bahasa Arab di Universiti Al-Azhar di Mesir.

Seorang lagi penerima Biasiswa Syed Isa Semait tahun ini ialah Hakeem Samsuri.

Beliau adalah graduan aliran International Baccalaureate (IB) dan Aliyah dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Hakeem berjaya meraih 44 mata daripada jumlah mata maksimum iaitu 45.

Sebagai presiden majlis pelajar madrasah itu pada 2021, beliau telah melakarkan beberapa program pelajar dan mewakili Madrasah Aljunied dalam pertandingan-pertandingan bahas.

Bagi mengiktiraf sumbangannya itu, Hakeem telah diberikan anugerah berprestij Khidmat Madrasah Aljunied.

Ditanya bagaimana beliau berjaya mencapai tangga kejayaan, Hakeem memberitahu pencapaiannya itu tidak datang dengan mudah tanpa kerja keras.

"Kerja keras itu harus bangun awal. Pelajar yang baik itu adalah pelajar yang bangun awal dan mulakan ulang kaji awal,” kongsi Hakeem.

Beliau juga akan ke Universiti Al-Azhar bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah.

Seorang lagi bekas penuntut dan pembahas dari Madrasah Aljunied yang juga terpilih untuk menerima biasiswa itu tahun ini ialah Alfawzul Kabir Mohamad Faizal.

Beliau pula akan mendalami bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa