Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS pertubuhan Melayu/Islam pertama diiktiraf atas usaha dampingi kakitangan, tingkat hubungan di tempat kerja

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menjadi badan Melayu/Islam (MMO) pertama untuk diiktiraf di peringkat nasional atas pendampingan pekerja yang kukuh - satu pemacu bagi mengukur keberkesanan sesebuah pertubuhan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Aug 2019 11:59AM Dikemas Kini : 30 Aug 2019 11:45PM

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menjadi badan Melayu/Islam (MMO) pertama untuk diiktiraf di peringkat nasional atas pendampingan pekerja yang kukuh - satu pemacu bagi mengukur keberkesanan sesebuah pertubuhan.

Ketua Eksekutif MUIS, Encik Esa Masood, menerima Anugerah Pendampingan Pekerja, Penyelarasan dan Keharmonian Di Tempat Kerja dari Naib Presiden (Akademik) Institut Sumber Manusia Singapura (SHRI) Sabrina Loi di majlis penyampaian Anugerah HR Singapura 2019 pada Selasa (27 Ogos).

Anugerah tersebut mengiktiraf keupayaan MUIS untuk mendampingi kakitangannya meliputi pelbagai bidang untuk mewujudkan persekitaran kerja yang positif lagi harmoni. Ini bermakna, melaksanakan program dan sistem yang memastikan hubungan baik antara majikan dengan para pekerja.

Di MUIS, rangkaian program dan kegiatan disediakan dengan tujuan untuk memupuk serta mempromosikan pelibatan seluruh kakitangan.

Salah satu wadah sedemikian misalnya adalah sesi Makan Tengah Hari bersama Ketua (CEL) yang diadakan setiap suku tahun di mana kakitangan akan mendapatkan kemas kini mengenai perkembangan terbaru MUIS dan memberikan maklum balas mereka kepada pihak pengurusan.

Kegiatan-kegiatan bagi mengukuhkan hubungan kerja yang dianjurkan melalui jawatankuasa, seperti Kelab Riadah Pekerja, serta sistem ganjaran dan pengiktirafan juga disediakan.

Pengarah Modal Insan di MUIS, Dr Noraslinda Zuber berkata: "Pelibatan kukuh pasukan kepimpinan, yang komited untuk mendampingi kakitangan dan mendengar pandangan mereka, menunjukkan bahawa setiap pekerja adalah anggota bermakna dalam pertubuhan ini dan semua orang berperanan untuk membangunkan persekitaran tempat kerja yang hebat".

Sementara itu, Encik Esa berkata MUIS menghargai budaya inklusif dan kakitangan yang sentiasa bersikap terbuka.

"Anugerah ini menunjukkan bahawa Muis mengiktiraf sumbangan kakitangan yang terlibat sepenuhnya, yang sentiasa bersedia untuk memenuhi keperluan masyarakat Melayu/Islam." 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan