Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS perkenal skim undi baru bagi jemaah dapat tempat di bawah kuota haji tambahan

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS perkenal skim undi baru bagi jemaah dapat tempat di bawah kuota haji tambahan

(Gambar hiasan: Abdel Ghani Bashir/AFP)

Diterbitkan : 10 Apr 2023 08:09PM Dikemas Kini : 11 Apr 2023 12:43AM

SINGAPURA: Mulai 2023, umat Islam yang ingin menambah peluang mereka ditawarkan tempat untuk menunaikan haji boleh berbuat demikian menerusi skim undi automatik yang baru.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), telah membangunkan sistem undi terhad itu untuk mempercepat dan meningkatkan kecekapan untuk menyediakan tempat tambahan untuk jemaah menunaikan haji di bawah sistem kuota tambahan.

Sistem pengundian itu telah digunakan oleh banyak negara lain untuk menentukan peruntukan haji, kata MUIS dalam satu kenyataan pada Isnin (10 Apr).

Tambah MUIS, ia "direka untuk mengisi tempat haji  dalam tempoh masa yang singkat", dan akan disepadukan dengan platform MyHajSG, yang membolehkan pemohon mendaftar untuk haji.

Skim Undi Terhad (LBS) itu juga bagi memastikan proses dilaksanakan secara adil, cekap dan telus.

Setiap tahun, Singapura diberi kuota rasmi sebanyak 900 tempat oleh kerajaan Arab Saudi bagi umat Islam di sini untuk menunaikan ibadah haji.

Untuk layak bagi skim undi baru itu, pemohon harus memenuhi kriteria iaitu akan menunaikan haji kali pertama dan telah mendaftar dalam Sistem Pendaftaran Haji Awal (AHRS) antara 1 Jan 2013 dengan 31 Disember 2017.

Mereka juga mesti memenuhi kriteria Arab Saudi, termasuk umur dan kesihatan.

Menurut MUIS, terdapat 48,000 pemohon dalam AHRS dan berdasarkan kelayakan kriteria, kira-kira 20,000 layak untuk menyertai LBS.

MUIS menyatakan sebelum pengundian dijalankan, ia akan menghubungi semua pemohon yang layak melalui SMS dan e-mel serta mempelawa mereka untuk mendaftar.

Mereka dinasihatkan untuk mengemaskini butiran hubungan mereka melalui portal MyHajSG.

Setiap pemohon perlu membayar yuran pendaftaran sekali sahaja apabila memohon untuk menyertai skim undian.

Yurannya ialah S$50 pada 2023, S$75 pada 2024 dan S$100 seterusnya.

Memandangkan keadaan ekonomi sekarang, MUIS akan  memberikan subsidi bagi tempoh dua tahun ini – pemohon 2023 hanya perlu membayar S$50 dan pemohon pada tahun 2024 hanya perlu membayar S$75.

Jawatankuasa Haji, yang dipengerusikan oleh Dr Syed Harun Taha Alhabsyi akan menyelia proses pengundian dan disaksikan oleh saksi bebas dilantik MUIS.

Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan