Skip to main content

Singapura

MUIS perkenal anugerah iktiraf pemimpin, pendidik madrasah

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS perkenal anugerah iktiraf pemimpin, pendidik madrasah

Sumbangan pemimpin dan pendidik madrasah diiktiraf dalam satu majlis pada Rabu (26 Ogos). (Gambar: BERITA/Mediacorp/Athirah Karim)

Diterbitkan : 26 Aug 2026 07:10PM Dikemas Kini : 26 Aug 2026 07:28PM
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperkenalkan lima anugerah baharu untuk mengiktiraf sumbangan para pendidik dan pemimpin madrasah kepada pendidikan Islam di Singapura.

Pengiktirafan itu disampaikan dalam satu majlis yang diadakan pada Rabu (26 Ogos) di Pusat Konvensyen Suntec Singapura.

Salah satunya ialah Anugerah Bakti Kepimpinan Madrasah, yang diberikan kepada tujuh pengetua, naib pengetua dan penolong naib pengetua yang sudah memegang jawatan kepimpinan sekurang-kurangnya 10 tahun.

Empat lagi ialah Anugerah Bakti Setia Madrasah, Anugerah Jasa Bakti Madrasah bagi pesara, Anugerah Penghormatan Madrasah (Anumerta) dan Anugerah Tajaan Possiswazah NIE.

Bagi Anugerah Tajaan Possiswazah NIE, penerimanya diberi peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pendidikan.

KEPERCAYAAN MASYARAKAT TERHADAP ASATIZAH PERLU DIPELIHARA

Berucap dalam majlis itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Zaqy Mohamad menekankan pentingnya memelihara kepercayaan masyarakat terhadap asatizah.

"Kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap para asatizah kita telah dibina sejak sekian lama. Kita tidak boleh memandang ringan kepercayaan ini," kata Encik Zaqy.

"Sekiranya terdapat kekurangan dalam cara kita melindungi kepercayaan itu, kita perlu bersedia untuk mengakuinya, mengambil pengajaran daripadanya dan memperbetulkan keadaan," tegasnya.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Zaqy Mohamad berucap di majlis tersebut. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)

Encik Zaqy kemudian menyentuh tentang usaha berterusan untuk memperkukuh keupayaan asatizah.

"MUIS akan terus menyokong pembangunan profesional asatizah kerana kami percaya bahawa kekuatan pendidikan Islam di Singapura bergantung kepada kekuatan dan keupayaan para pendidik kita," ujarnya.

Berikut senarai tujuh penerima Anugerah Bakti Kepimpinan Madrasah:

  • Faizah Abdul Rahman
  • Ustazah Harinah Abdul Latiff
  • Ustazah Masnia Nassim
  • Ustaz Mokson Mahori
  • Aisha Abdul Manaf
  • Ustazah Sukarti Asmoin
  • Ustaz Syed Mustafa Alsagoff
Sumber : BERITA Mediacorp/ak
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita