MUIS perjelas pemindahan hartanah wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain
Hartanah wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain yang terletak di Nombor 5 Lorong 9 Geylang berada dalam keadaan "usang" dan "tidak menjana sebarang pendapatan" untuk membolehkan tujuan asal wakaf itu dilaksanakan.
Gambar fail bangunan MUIS. (Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura/Facebook)
SINGAPURA: Hartanah wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain yang terletak di Nombor 5 Lorong 9 Geylang berada dalam keadaan "usang" dan "tidak menjana sebarang pendapatan" untuk membolehkan tujuan asal wakaf itu dilaksanakan.
Maka itu, pada tahun 2002, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memindahkan wakaf tersebut ke sebuah lokasi lain, iaitu di nombor 11 Beach Road. Ia merupakan sebuah bangunan komersil pegangan pajak 999 tahun.
Demikian menurut MUIS dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan hari ini (21 Jun).
Kenyataan itu dikeluarkan menyusuli catatan-catatan di media sosial baru-baru ini, yang mendakwa bahawa hartanah wakaf oleh seorang individu, Allahyarham Haji Pitchay Meerah Hussain disalah urus oleh majlis tersebut.
Dakwaan itu dimuat naik ke laman Facebook oleh cicit Allahyarham sendiri.
Niat asal Allahyarham Haji Pitchay Meerah Hussain adalah untuk menggunakan hartanah wakaf tersebut sebagai sebuah madrasah.
Menurut MUIS, langkah memindahkan wakaf tersebut dinilai sebagai alternatif terbaik dan yang paling menepati usaha memenuhi niat wakif (orang yang menjatuhkan niat untuk mewakafkan hartanya).
"Ini memandangkan hartanah asal tidak lagi boleh digunakan sebagai sebuah madrasah. MUIS berpandangan bahawa, jika ia dibiarkan dalam keadaan dan di lokasi asalnya, niat wakif tidak dapat dicapai," menurut MUIS.
Sejak wakaf itu dipindahkan, MUIS sudah mengagihkan pendapatan yang dijana daripadanya kepada madrasah sepenuh masa di sini. Ini, sejajar dengan niat asal wakif, tambah MUIS.
MUIS mendedahkan bahawa sebanyak S$200,000 daripada wakaf itu sudah diagihkan kepada Madrasah Al-Maarif, Madrasah Alsagoff dan Madrasah Wak Tanjong sejak tujuh tahun lalu.
Di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA), MUIS ditugaskan untuk mentadbir urus semua wakaf di Singapura demi memastikan hartanah wakaf kekal berdaya maju dan meraih pulangan maksimum untuk dimanfaatkan oleh para penerimanya.
Semua ini dilaksanakan bersandarkan nasihat Jawatankuasa Fatwa, menurut MUIS.
Pada Oktober 1985, Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan panduan tentang langkah-langkah yang membolehkan pembangunan semula hartanah wakaf serta pemindahan aset.
Langkah-langkah tersebut dipanggil 'istibdal wakaf' dan ia juga diamalkan di negara-negara Islam yang lain. Ia dilaksanakan sebagai strategi untuk mencapai objektif atau tujuan wakaf.
Lantaran itu, nilai beberapa hartanah wakaf sudah dipertingkat, termasuk pembangunan wakaf Bencoolen, projek Red House, Alias Villas dan juga 11 Beach Road.
"MUIS juga sudah dapat menambah dengan banyak agihan-agihan kepada para penerima hasil pendapatan daripada wakaf (beneficiaries).
"MUIS mendedahkan pulangan-pulangan tersebut menerusi Majlis Tahunan Pengagihan Wakaf serta Laporan Tahunan kami, yang diterbitkan di laman kami," menurut MUIS.
MUIS menambah, ia sedang menghubungi keluarga wakif untuk memberi jaminan bahawa niat wakif tetap dihormati dan niat lebih luas (broader intention) di sebalik wakaf yang dibuat akan terus dipenuhi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.