Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS pastikan syarikat pembekal daging korban laksanakan prosedur ketat jamin mutu daging dan status halal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Proses pemilihan bagi melantik syarikat pengendali dan pembekal bagi ibadah korban oleh masjid-masjid dilakukan dengan teliti bagi memastikan kewibawaannya. 

Menurut Ketua SalamSG Korban, Mohamad Rafi Eusope, proses itu dilakukan seawal Februari tahun ini. 

Beliau juga mengesahkan bahawa ketiga-tiga syarikat yang menyediakan khidmat korban bagi Hari Raya Aidiladha tahun ini tidak akan mendapatkan daging korban daripada rumah sembelih di Australia, Thomas Foods International Lobethal (TFIL).

Malah MUIS sudahpun mengarahkan semua pemegang sijil halalnya untuk menghentikan dengan serta-merta import dan penggunaan produk daging daripada pusat penyembelihan itu. 

Ini setelah MUIS mendapati integriti daging halal daripada pusat penyembelihan TFIL sudah dikompromi.

Dalam pada itu, Jawatankuasa SalamSG Korban juga komited dalam memastikan kesemua proses ibadah korban - daripada penyembelihan hingga ke penghantaran - diurus dengan baik dan mematuhi syarat penyembelihan halal. 

"Kami amat prihatin atas proses ini yang telah bertahun-tahun diadakan untuk ibadah korban yang diadakan di masjid-masjid. Tiga buah syarikat - A2A Trading Pte Ltd, Hezom International, dan kedai daging Shakira’s - telah dipilih."

"Tiap-tiap syarikat ini akan melaksanakan proses yang ketat demi memastikan ibadah korban dijalankan dengan lancar dan mengikut syarat penyembelihan halal," kata Encik Rafi.

HANTAR WAKIL KE RUMAH SEMBELIH DI AUSTRALIA PASTIKAN PENYEMBELIHAN PATUHI SYARAT HALAL

Bagi memastikan persiapan ibadah korban dijalankan dengan baik, wakil akan dihantar ke rumah sembelih dua hari sebelum penyembelihan dijalankan. 

Inilah antara cara salah sebuah syarikat iaitu A2A Trading Pte Ltd yang dipilih Jawatankuasa SalamSG Korban tahun ini, memastikan ibadah korban dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. 

"Dua hari sebelum upacara korban, kami akan hantar wakil kami, yang berasal dari Perth, seorang imam di Masjid Thornley, Australia, dan kita menghantarnya ke rumah penyembelihan di mana kebanyakan korban kami dijalankan," jelas pengarah syarikat A2A Trading Pte Ltd, Adlee Nazree Suparman.  

"Beliau akan ke sana, pilih kambing-kambing di kandang, tandakan kambing-kambing yang kita harus gunakan dari segi kesempurnaan kambing tersebut. Untuk syarat-syarat upacara korban Aidiladha, kita perlu pastikan haiwan itu sempurna dari segi anggota badannya, dua-dua mata perlu boleh melihat dan kaki juga sempurna," tambah beliau. 

Syarikat itu mempunyai pengalaman mengendalikan ibadah korban dengan rumah-rumah sembelih di Australia sekitar 10 tahun. 

Menurut Encik Adlee, mereka biasanya berurusan dengan syarikat atau rumah sembelih yang mantap dan status halal mereka tidak dapat dinafikan. 

"Kita selalunya bekerja dengan 4 hingga 5 rumah sembelih di Australia. Ada di antara mereka dimiliki orang Islam, ada yang dimiliki orang Arab, dikendalikan sepenuhnya oleh orang Arab," kata Encik Adlee. 

"Rumah-rumah sembelih yang kami bekerjasama, pasaran utama mereka adalah untuk Timur Tengah, jadi kesemua haiwan yang disembelih merupakan penyembelihan halal," tambah beliau.  

Buat ibadah korban Hari Raya Aidiladha, syarikat A2A Trading Pte Ltd akan bekerjasama dengan hanya dua syarikat rumah sembelih sahaja. 

"Apabila disembelih, kita pun perlu melihat penyembelih bukan sahaja orang Islam tetapi beramal agama. Contohnya, biasanya di salah satu syarikat rumah penyembelihan itu, penyembelihnya seorang Muslim dari Filipina dan Hafiz Al Quran. 

"Bila lihat proses penyembelihan itu, kita memastikan pisaunya tajam dan satu kali dipotong, akan gugur haiwan itu dalam beberapa saat. Jadi penyembelih itu pun perlu seorang yang profesional," jelas Encik Adlee.  

PROSES "COLD CHAIN" JAMIN MUTU DAGING 

Menurut Encik Adlee, mutu daging korban juga akan dijaga dalam satu proses "rantaian sejuk" atau "cold chain" - dari penyembelihan sehingga ke penghantaran ke rumah-rumah sohibul korban. 

Encik Adlee berkata: "Di rumah-rumah sembelih di Australia, selepas penyembelihan dan pemotongan, ia akan disimpan di dalam kotak dan diletakkan di dalam satu proses di mana ia didinginkan dan boleh bertahan lama."

"Daging-daging korban kemudian akan diletakkan di dalam trak sejuk, langsung menuju ke lapangan terbang. Apabila dalam penerbangan pun daging-daging akan di dalam suasana sejuk. Apabila sampai ke Singapura pula, ia juga akan diletakkan di tempat pelabuhan berhawa dingin di Lapangan Terbang Changi. 

"Kami kemudian akan mengambilnya dan membawanya ke tempat pemotongan yang disahkan Agensi Makanan Singapura (SFA), juga di dalam suasana yang sejuk," jelas Encik Adlee.

Menurut beliau, syarikatnya bekerjasama dengan syarikat CS Foods bagi pemotongan daging di Singapura. 

Encik Adlee berkata: "Di sana daging akan dipotong ke bahagian kecil-kecil. Kami akan membungkus daging di dalam pek-pek vakum, dan menyimpan pek-pek itu di beg sejuk kami, dibuat khas untuk sohibul korban supaya kesegaran dapat dipastikan lebih lama lagi."

Encik Adlee menyatakan bahawa segala proses penyembelihan dan pengagihan perlu dijalankan dalam sekitaran yang sejuk, lebih-lebih lagi cuaca di Singapura pada bulan Julai, seringnya panas. 

Lantaran itu, jika dibiarkan terlalu lama di luar, "mutunya tidak baik", kata Encik Adlee. 

Encik Adlee menganggarkan syarikatnya akan mengendalikan penyembelihan lebih 2,000 kambing tahun ini. 

Syarikat beliau juga akan membekalkan daging korban kepada enam masjid tempatan iaitu - Masjid Darussalam, Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau, Masjid Maarof, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Pusara Aman dan Masjid Bencoolen. 

Tahun ini sebanyak 54 masjid tawarkan ibadah korban yang diselaraskan SalamSG Korban. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan