Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS pandang serius terhadap semua tuduhan melakukan kesalahan: Masagos Zulkifli

MUIS memandang serius terhadap semua tuduhan melakukan kesalahan. MUIS akan menjalankan siasatan untuk menentukan jika ada sebarang salah laku dan kes tersebut akan dirujuk ke pihak polis atau pihak berkuasa lain yang berkaitan jika perlu.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS pandang serius terhadap semua tuduhan melakukan kesalahan: Masagos Zulkifli

Bangunan MUIS di Braddell Road. (Gambar: MUIS/Facebook)

SINGAPURA: MUIS memandang serius terhadap semua tuduhan melakukan kesalahan. MUIS akan menjalankan siasatan untuk menentukan jika ada sebarang salah laku dan kes tersebut akan dirujuk ke pihak polis atau pihak berkuasa lain yang berkaitan jika perlu.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin (5 Jul) sebagai menjawab soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen Faisal Abdul Manap.

Encik Faisal memohon penerangan mengenai pendekatan dan tindakan berbeza terhadap kakitangan Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah yang meletak jawatan selepas didakwa membocorkan dokumen sulit madrasah itu berbanding dengan pegawai kanan MUIS yang didakwa terlibat dalam isu pensijilan Halal tetapi tetap dikekalkan sebagai sebahagian daripada tenaga kerja MUIS sementara siasatan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan Jabatan Ehwal Komersial (CAD) sedang dijalankan.

Menjawab lanjut pertanyaan itu, Encik Masagos mengatakan bahawa keadaan kedua-dua kes itu berlainan.

Menurut Encik Masagos, semasa siasatan dalaman dijalankan oleh Madrasah Irsyad dan MUIS, kakitangan tersebut mengaku telah melanggar dasar dalaman madrasah itu dan meletak jawatan.

Memandangkan siasatan polis dijalankan, Encik Masagos berkata adalah tidak wajar untuk mengulas lanjut tentang kes berkenaan.
Mengenai kes berkaitan dengan badan-badan pensijilan halal luar negara (FHCB) pula, beliau berkata bahawa satu panel bebas mendapati tidak ada bukti yang mencukupi untuk menyokong dakwaan terhadap pegawai MUIS yang terlibat.

CPIB juga kata Encik Masagos, telah menyiasat perkara tersebut dan memaklumkan bahawa mereka tidak akan mengambil tindakan lanjut kerana bukti yang tidak memadai.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan