Skip to main content

Singapura

MUIS, NHG Health meterai MoU perkukuh sokongan holistik, kesihatan warga emas

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS, NHG Health meterai MoU perkukuh sokongan holistik, kesihatan warga emas

MUIS dan NHG Health meterai sebuah MoU di Masjid Al-Muttaqin pada Sabtu (31 Okt) yang turut disaksikan Menteri Negara Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Rahayu Mahzam. (Gambar: MUIS)

Diterbitkan : 31 Oct 2026 05:11PM Dikemas Kini : 31 Oct 2026 05:45PM
MUIS and NHG Health sign MoU to strengthen holistic support and healthcare for seniors
  • MUIS and NHG Health signed a three-year MoU on 31 October to strengthen health, social and spiritual support for Malay/Muslim seniors in Singapore.
  • The partnership will expand Santunan Emas from Al-Muttaqin Mosque to four mosques in the northern district by the end of 2026, with activities tailored to local residents’ needs.
  • The mosques and NHG Health will provide health education and screenings, care coordination and referrals, alongside religious learning, active ageing and community support.
  • The programme, which began in October 2024, now reaches more than 2,400 participants a week; MUIS and its partners are targeting 3,000 participants.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan NHG Health dalam usaha memperkukuh sokongan kesejahteraan holistik warga emas Melayu/Islam.

Melalui MoU selama tiga tahun itu, MUIS dan NHG Health akan bekerjasama dengan masjid-masjid terlibat untuk memperkukuh usaha pencegahan penyakit, penyelarasan penjagaan dan sumber rujukan yang sesuai untuk golongan tersebut.

MoU yang ditandatangani pada Sabtu (31 Okt) itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan program Santunan Emas oleh Masjid Al-Muttaqin ke empat lagi masjid di daerah utara Singapura, iaitu Masjid Assyafaah, Masjid Darul Makmur, Masjid An-Nur dan Masjid Yusof Ishak menjelang akhir 2026.
"Melalui kerjasama ini, kita dapat menggabungkan kepakaran penjagaan kesihatan NHG Health dengan peranan masjid sebagai pusat masyarakat yang dekat dan dipercayai warga emas. Ini termasuk memperkukuh pendidikan kesihatan, penyelarasan penjagaan, rujukan kepada perkhidmatan yang sesuai serta latihan untuk pegawai masjid dan sukarelawan," jelas Superintenden Masjid Daerah Utara MUIS, Yacob Ahmad.

Dengan kerjasama NHG Health, MUIS berharap dapat melengkapi perkhidmatan sedia ada bagi warga emas Melayu/Islam di daerah tengah dan utara Singapura agar mereka mendapat sokongan yang lebih menyeluruh, bukan sahaja dari segi kesihatan fizikal malah juga kesejahteraan sosial dan kerohanian.

"(Kerjasama ini) peluang yang sangat baik untuk kami membawa usaha pencegahan penyakit kepada pos kesihatan masyarakat kami yang ditempatkan di dalam masjid dan juga membawa program-program bernuansa budaya," ungkap Pengarah Operasi Masyarakat (Kesihatan Populasi) di NHG Health, Lin Sing Yong.
Related article image
Pengarah Operasi Masyarakat (Kesihatan Populasi) di NHG Health, Lin Sing Yong. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Kegiatan-kegiatan di bawah program tersebut di setiap masjid juga akan disesuaikan mengikut keperluan penduduk setempat.

"Setiap masjid akan menyediakan kegiatan yang disesuaikan dengan keperluan warga emas setempat merangkumi pembelajaran agama, penuaan aktif dan sokongan masyarakat. Kerjasama dengan NHG Health juga akan memperkukuh akses kepada pendidikan, kesihatan, pemeriksaan dan penilaian kesihatan serta perkhidmatan rujukan yang bersesuaian," kata Encik Yacob lagi.
Related article image
Superintenden Masjid Daerah Utara MUIS, Yacob Ahmad. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
SANTUNAN EMAS SUDAH JANGKAU LEBIH 2,400 PESERTA SEMINGGU, SASAR 3,000 PESERTA SEMINGGU JELANG AKHIR 2026

Menurut Encik Yacob, Santunan Emas sudah menjangkau lebih 2,400 peserta setiap minggu melalui program semuka dan dalam talian.

Antara warga emas yang sudah meraih manfaat daripada program tersebut ialah pasangan suami isteri, Encik Samsudin Ali, 67 tahun, dan Cik Norlelah Md Shah, 61 tahun, yang menghadiri program tersebut setiap minggu sejak ia ditubuhkan pada Oktober 2024.

Melalui perkhidmatan oleh NHG Health, pasangan ini dapat menerima nasihat kesihatan untuk meniti usia senja dengan lebih yakin lagi.

"Sebulan sekali, kami akan dipanggil untuk melihat bagaimana keadaan kami, sama ada dah stabil atau semakin susah. Jadi, apabila dah dapat tahu keadaan kami, kami boleh jaga-jaga lagi," ujar Encik Samsudin.

Selain bantuan jasmani, Encik Samsudin dan Cik Norlelah juga meraih manfaat kerohanian.

"Santunan Emas ini sangat baik untuk kami yang warga tua kerana ia menasihati kami jadi kami tak rasa kesunyian. Kami dapat keluar rumah, berjumpa dengan kawan-kawan semua," kongsi Cik Norlelah.
Related article image
Pasangan suami isteri Encik Samsudin Ali dan Cik Norlelah Md Shah menyertai Santunan Emas sejak penubuhan program tersebut pada Oktober 2024. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Di bawah program Santunan Emas, warga emas seperti Encik Samsudin dan Cik Norlelah juga menerima bimbingan agama dan kerohanian yang disesuaikan kepada warga emas melalui ceramah-ceramah oleh para asatizah Santunan Emas, termasuk mantan Mufti Negara, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram.

Seperti contoh, cara-cara menghadapi kehilangan dibincangkan dalam forum Sembang-sembang Santunan Emas pada Sabtu (31 Okt) dengan tema 'Duka dalam Kehilangan: Panduan dan Persiapan Menghadapinya'.

"Berdasarkan pengalaman kami, antara cabaran yang dikenalpasti termasuklah masalah kesihatan, kesunyian dan juga kurang penggunaan perkhidmatan dan program sokongan yang tersedia untuk warga emas. Daripada pengalaman kami, pengisian agama dan juga bimbingan kerohanian merupakan daya tarikan penting untuk menggalakkan warga emas hadir ke masjid setempat," kata Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin, Mohd Fairus Abd Manaf.
Related article image
Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin, Mohd Fairus Abd Manaf. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Dengan kehadiran mereka ke masjid, golongan tersebut juga dapat menerima bimbingan daripada para pegawai dan relawan tentang sokongan yang tersedia untuk mereka.

MUIS dengan kerjasama masjid-masjid terlibat serta rakan-rakan kerjasama menyasarkan untuk menjangkau 3,000 peserta Santunan Emas setiap minggu menjelang hujung tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/ak
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita