MUIS naikkan kadar fidyah, selaraskan kadar kafarah
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan kadar baharu bagi fidyah dan kafarah yang ditetapkan pada S$4.00 sehari, berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Syawal 1447H.
Bagi fidyah, kadar baharu itu hampir tiga kali ganda berbanding sebelum ini iaitu S$1.40 sehari.
Kali terakhir kadar itu disemak ialah pada 2014.
Keputusan untuk mengubah jumlah itu dibuat di bawah panduan Jawatankuasa Fatwa selepas semakan menyeluruh terhadap kaedah pengiraan sedia ada serta mengambil kira kos semasa penyediaan makanan di Singapura.
Sebelum ini, pengiraan fidyah dibuat berdasarkan sistem timbangan beras iaitu 1 'mudd' bersamaan dengan 600 gram beras.
Namun, pendekatan baharu kini berasaskan kos sebenar menyediakan satu hidangan sederhana (one moderate meal) kepada golongan yang memerlukan.
Penetapan kadar S$4.00 adalah berdasarkan kajian semasa, termasuk dapatan daripada Institut Kajian Dasar (IPS) menerusi kajian “Cost of Eating Out – Makan Index 2.0”, yang menilai purata kos makanan di Singapura.
"Setelah kita melihat kajian yang dilakukan oleh IPS, kadar makanan yang biasa pada hari ini iaitu sekitar S$14.00 hingga S$16.00 untuk satu hari tetapi kadar makanan purata ialah S$4.00.
"Jawatankuasa Fatwa dan kita semua maklum bahawa kadar S$1.40 itu adalah kadar yang sangat rahmah dan pada tahap kehidupan kita sekarang ini, saya fikir bahawa kadar tersebut agak rendah. Oleh itu, penyesuaian ini perlu dilakukan mengikut kadar semasa yang sesuai dengan konteks kita pada hari ini," kongsi Anggota Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Fathurrahman Dawoed.
Langkah itu bertujuan memastikan para penerima bantuan memperoleh makanan yang mencukupi dan berkhasiat, selaras dengan kos sebenar penyediaan hidangan di Singapura hari ini.
Pada masa yang sama, kadar baharu itu menjadikan nilai sumbangan kepada mereka yang memerlukan lebih realistik mengikut keadaan ekonomi semasa, selain mewujudkan sistem pembayaran yang lebih jelas, konsisten dan mudah difahami oleh masyarakat.
PEMBAYARAN FIDYAH SECARA BERGANDA TIDAK LAGI DIWAJIBKAN
Jawatankuasa Fatwa MUIS turut menjelaskan bahawa pembayaran fidyah secara berganda tidak lagi diwajibkan bagi mereka yang lewat membuat pembayaran untuk menggantikan puasa pada bulan Ramadan.
Sebelum ini, kadar fidyah itu digandakan bagi setiap tahun individu tidak membayar fidyah yang tertunggak.
Keputusan demikian dibuat selepas penelitian menyeluruh oleh Jawatankuasa Fatwa terhadap dalil-dalil serta prinsip asas Syariah, khususnya yang menekankan kemudahan dan penghapusan kesukaran dalam pelaksanaan ibadah.
"Kita menggunakan prinsip penting dalam hukum Islam iaitu prinsip 'Al-Taisir wa Raf’ul Haraj'. Jadi, aspek kemudahan dan penghapusan kesukaran. Jawatankuasa Fatwa telah menetapkan bahawa bayaran secara berganda tidak lagi menjadi keperluan kerana memberi kemudahan kepada masyarakat awam. Jadi bagi siapa yang rasa risau yang rasanya sudah lapan tahun tidak bayar, perlu tenangkan diri bahawa bayaran yang tertunggak itu tidak perlu ditunaikan walaupun sudah saban tahun tidak berbayar," kongsi Anggota Jawatankuasa Fatwa, Ustazah Dr Rohana Ithnin.
Namun, bagi mereka yang masih ingin membayar secara berganda, mereka dibolehkan berbuat demikian.
Untuk maklumat lanjut mengenai panduan dan perincian fatwa berkaitan fidyah dan kafarah, orang ramai boleh merujuk laman rasmi MUIS di sini.
Fidyah ialah pampasan bagi puasa yang ditinggalkan, dalam bentuk bayaran bagi mereka yang tidak boleh berpuasa atas sebab-sebab munasabah seperti ada penyakit kronik, wanita yang menyusukan bayi dan sebagainya.
Bayaran itu akan digunakan bagi menyediakan makanan buat golongan yang memerlukan.
Kafarah pula adalah bagi mereka yang sengaja mengabaikan ibadah-ibadah wajib seperti berpuasa pada bulan Ramadan.
Ia dibahagikan kepada kafarah jimak (bayaran untuk beri makan kepada 60 orang) dan kafarah yamin (bayaran untuk beri makan kepada 10 orang).
MUIS menurunkan kadar kafarah kepada S$4.00 berbanding S$10.
Ia bertujuan untuk mewujudkan sistem yang lebih standard dan konsisten.
"Kafarah dan juga fidyah walaupun berbeza tetapi diselaraskan disebabkan kedua-dua ayat al-Quran yang menjelaskan tentang kafarah dan juga fidyah ialah pampasannya adalah untuk memberi makan kepada orang miskin. Jadi atas dasar itu, tujuannya adalah untuk memberi makan kepada orang miskin, maka kita selaraskan kadarnya kepada S$4.00," jelas Ustaz Fathurrahman.
Penyelarasan itu bukan sahaja memudahkan proses pengiraan bagi masyarakat, malah memastikan tujuan kebajikan dalam pelaksanaan kafarah terus terpelihara dan memberi manfaat sewajarnya kepada golongan memerlukan.
TEMPOH PERALIHAN
Bagi memberi ruang kepada masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan kadar pembayaran baharu itu, MUIS menyediakan tempoh peralihan sepanjang bulan Ramadan ini.
Mereka yang ingin membayar fidyah pada kadar lama S$1.40 masih boleh berbuat demikian dalam tempoh tersebut.
Kadar baharu S$4.00 akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Syawal 1447H iaitu pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini, melalui semua platform rasmi MUIS dan masjid-masjid di merata Singapura.
MUIS AKAN LAKUKAN SEMAKAN BERKALA
MUIS turut memaklumkan bahawa kadar fidyah dan kafarah akan disemak secara berkala setiap tiga tahun, atau apabila diperlukan, bagi memastikan ia kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Semakan itu bertujuan untuk memastikan kadar yang ditetapkan terus mencerminkan kos sebenar penyediaan makanan serta keadaan ekonomi di Singapura, sekali gus mengekalkan keseimbangan antara keperluan penerima dan kemampuan masyarakat.
KADAR ZAKAT FITRAH
Tahun ini, MUIS juga menetapkan kadar Zakat Fitrah sebanyak S$5.00 seorang (kadar biasa) dan S$8.00 seorang (kadar tinggi) iaitu lebih 10 sen berbanding kadar tahun lalu.
Orang ramai digalakkan menunaikan Zakat Fitrah seawal 1 Ramadan dan sebelum solat Hari Raya Aidilfitri, bagi memastikan kewajipan agama dipenuhi tepat pada masanya.
Semua kios layan diri di 51 masjid yang terlibat kini dilengkapi skrin sentuh 10 inci yang lebih mesra pengguna serta menerima bayaran tanpa sentuh seperti Apple Pay dan Google Pay.
Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat melalui laman web rasmi Zakat Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.