MUIS: Mulai 11 Dis, semua masjid akan laungkan azan bagi solat Jumaat pada 12.50 tengah hari
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu catatan Facebook hari ini (4 Dis) mengumumkan mulai Jumaat depan (11 Dis) semua masjid di sini akan mula melaungkan azan sebelum masuknya waktu solat zuhur bagi solat Jumaat.
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu catatan Facebook hari ini (4 Dis) mengumumkan mulai Jumaat depan (11 Dis) semua masjid di sini akan mula melaungkan azan sebelum masuknya waktu solat zuhur bagi solat Jumaat.
Azan akan dilaungkan pada jam 12.50 tengah hari, iaitu pada saat sebelum tergelincirnya matahari.
MUIS menyatakan langkah itu untuk memberikan lebih ramai jemaah peluang untuk mendirikan solat Jumaat memandangkan waktu masuk solat Zuhur akan bermula lebih lewat pada minggu-minggu akan datang.
Misalnya bermula 11-19 Disember 2020, waktu masuk solat Zuhur akan bermula antara 1 hingga 1.03 tengah hari.
"Dengan itu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa langkah ini dibolehkan untuk memelihara kepentingan dan kesejahteraan masyarakat Islam kita, selaras dengan prinsip Islam kita," menurut catatan Facebook tersebut.
Penjelasan tersebut juga dibuat Anggota Bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Irwan Hadi dalam satu rakaman video.
HANYA UNTUK JEMAAH SOLAT JUMAAT DI MASJID
Dalam masa yang sama, MUIS mengingatkan masyarakat Muslim Singapura bahawa penyesuaian baru itu hanyalah untuk mereka yang mendirikan solat Jumaat di masjid.
Mereka yang mendirikan solat Zuhur di rumah atau di mana-mana sahaja, perlu mengikuti waktu solat Zuhur seperti biasa.
TURUT DIBACA DALAM TEKS KHUTBAH
Pengumuman MUIS itu turut disampaikan dalam khutbah Jumaat hari ini (4 Dis) yang menyatakan keputusan tersebut adalah keputusan yang dilakar oleh Jawatankuasa Fatwa Singapura.
"Ia bagi menjamin ruang serta peluang yang
mencukupi bagi beberapa ramai mungkin jemaah untuk melaksanakan solat Jumaat, secara selamat dengan menjaga
langkah-langkah keselamatan," menurut teks khutbah hari ini.
Masjid-masjid kini mengadakan dua atau tiga sesi untuk solat Jumaat dengan setiap satu sesi disediakan dua atau tiga zon berbeza.
Penyesuaian baru itu disebabkan oleh pandemik COVID-19.
KEPUTUSAN FATWA BUKAN PERKARA BARU
Catatan khutbah juga menyatakan keputusan Jawatankuasa Fatwa Singapura bagi melaungkan azan sebelum masuknya waktu solat Zuhur bukan "suatu perkara yang baru".
Mengambil sandaran daripada hadis riwayat Imam Muslim, amalan tersebut pernah dilakukan pada zaman Rasulullah di mana Rasulullah pernah mengawalkan solat Jumaat ketika ada keperluan tertentu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.