Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS meterai perjanjian dengan BPJPH Indonesia, perkasa ekosistem pensijilan halal antara kedua-dua negara

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal Republik Indonesia (BPJPH) pada Khamis (8 Ogos) bagi menggalak pembangunan dan kawal selia dalam ekosistem pensijilan halal antara kedua-dua negara.

Ini bermakna MUIS dan BPJPH akan saling mengiktiraf sijil dan tanda halal dari kedua-dua negara.

Indonesia menjadi negara Asia Tenggara pertama berbuat demikian dengan MUIS setelah beberapa negara di Timur Tengah dan Afrika.

Sebelum ini, MUIS sudah memeterai MoU dengan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jordan dan Maghribi.

Bagi Indonesia pula, Singapura merupakan negara ketiga yang menandatangani MoU serupa dengan BPJPH selepas Arab Saudi dan Malaysia.

Di bawah MoU yang baharu dimeterai itu, Singapura dan Indonesia akan memperkukuh, menggalak dan mengembangkan lagi kerjasama bagi pengiktirafan sijil halal.

Ia juga merangkumi perkongsian pengalaman dan pengetahuan dalam bidang teknologi, sumber manusia, prasarana serta kajian dan pembangunan bagi produk-produk halal antara kedua-dua negara.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen dan Pengerusi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal Republik Indonesia, Dr Muhammad Aqil Irham.

Ia turut disaksikan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

Dalam catatan di Facebook, Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga berkata MoU tersebut boleh saling memberi manfaat kepada peniaga dan pengguna kedua-dua negara.

"Dengan Indonesia sebagai negara majoriti Muslim dan Singapura sebagai hab global bagi perdagangan, kerjasama ini akan meningkatkan dan meluaskan peluang pasaran halal bagi para peniaga dan pengguna. Ini juga merupakan peluang untuk syarikat-syarikat Singapura berkembang ke Indonesia, terutama pengeluar makanan dan bahan tambahan, untuk membawa produk mereka ke Indonesia tanpa sebarang gangguan perdagangan,"

"Saya gembira kerana para pegawai pembangunan halal MUIS telah bekerja keras untuk mengenal pasti dan mengembangkan kerjasama mereka. Saya teruja dengan potensi besar yang dibawa perjanjian ini dan bagaimana ia bakal memacu inovasi dalam industri halal," kata Encik Masagos.

Ini juga mempermudahkan peniaga Singapura untuk menjangkau pasaran Indonesia yang sangat besar dengan lebih 250 juta penduduk di negara itu.

Menurut MUIS, langkah itu juga bagi mempermudahkan urusan dengan syarat baharu bagi kemasukan produk halal yang ditetapkan Indonesia.

"Indonesia akan melaksanakan undang- undang halal di mana produk halal yang mahu memasuki Indonesia perlu mendapat pengiktirafan daripada BPGPH.

"Jadi hari ini kita menandatangani MoU antara Indonesia dan juga Singapura untuk kita saling mengiktiraf logo halal Indonesia dan juga logo halal Singapura," kata Timbalan Pengarah Pembangunan Halal MUIS, Faizal Othman.

a
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan