Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS, MENDAKI perkenal geran sedia bantuan kewangan tambahan untuk besarkan anak

Yayasan Mendaki dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperkenalkan geran baru dalam usaha menyediakan sokongan kewangan tambahan bagi ibu bapa kurang berkemampuan.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS, MENDAKI perkenal geran sedia bantuan kewangan tambahan untuk besarkan anak

(Gambar: Mendaki Singapore/ Facebook)

SINGAPURA: Yayasan Mendaki dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperkenalkan geran baru dalam usaha menyediakan sokongan kewangan tambahan bagi ibu bapa kurang berkemampuan.

Dengan Geran Prasekolah MENDAKI-MUIS (MMPG), simpanan dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA) penerima akan naik berlipat ganda.

Ini diumumkan Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki Zaqy Mohamad semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan hari ini (6 Mac).

BAGAIMANA MMPG MEMBANTU?

CDA adalah sebahagian daripada Skim Bonus Bayi yang bertujuan membantu ibu bapa menampung kos membesarkan anak. Simpanan yang dimasukkan ke dalam akaun oleh ibu bapa akan dipadankan oleh Pemerintah dengan jumlah yang sama.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Zaqy, yang juga Menteri Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara, berkata para penerima MMPG akan dapat melihat simpanan CDA mereka melonjak sehingga empat kali lebih tinggi.

"Misalnya, jika anda masukkan S$1 setiap hari dalam akaun anak anda, akan ada S$30 dalam tempoh sebulan. MMPG akan menggandakan jumlah itu kepada S$60," katanya.

Pemerintah pula akan menokok dan memadankan jumlah sama. Ini bermakna, setelah Pemerintah menokok S$60, akan ada S$120 dalam akaun CDA.

"Wang itu boleh digunakan untuk keperluan pendidikan dan perubatan anak anda. Anda simpan S$1, anda dapat tambahan S$3 untuk menyokong anak anda," tambah Encik Zaqy.

SIAPA LAYAK TERIMA MMPG?

MMPG dibuka kepada keluarga Melayu/Islam dengan anak berusia 6 tahun dan ke bawah, dengan pendapatan per kapita bulanan S$650 dan ke bawah.

Encik Zaqy berkata, MMPG juga boleh membantu golongan ibu untuk kembali bekerja.

MMPG dirintis dari Januari 2020 hingga Disember 2023 bagi 100 murid prasekolah.

Murid-murid berkenaan terdiri daripada mereka yang dibantu MENDAKI menerusi program pendampingan prasekolah badan tersebut.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan