MUIS: Lebih banyak program khusus untuk pelajar berkeperluan khas
Lebih banyak lagi program-program khusus akan dibangunkan Mahlis Ugama Islam Singapura ( MUIS) bagi menyediakan pendidikan agama kepada golongan pelajar, termasuk golongan berkeperluan khas.
SINGAPURA: Lebih banyak lagi program-program khusus akan dibangunkan Mahlis Ugama Islam Singapura ( MUIS) bagi menyediakan pendidikan agama kepada golongan pelajar, termasuk golongan berkeperluan khas.
Demikian menurut Pengarah Perancangan dan Pembangunan Kurikulum MUIS, Sharifah Farah Aljunied, semasa membentangkan Pelan Kerja MUIS baru-baru ini.
Di bawah Pelan Kerja bermula tahun ini hingga 2021, MUIS akan meluaskan usahasama bersama rakan kerja dalam rangkaian M³, selain memberi perhatian dalam memperkukuh institusi agama di sini.
Antara perubahan utama menurutnya termasuk semakan terhadap kurikulum madrasah sepenuh masa serta peningkatan terhadap pendidikan agama di masjid serta pusat-pusat pendidikan Islam privet di sini.
Menurutnya, semakan tersebut akan dijalankan bagi peringkat sekolah rendah untuk pelajaran-pelajaran ukhrawi.
Namun begitu Sharifah Farah berkongsi bahawa kurikulum baru yang dijangka siap menjelang 2025 itu, tidak akan diwajibkan ke atas setiap madrasah yang menyediakan pendidikan sekolah rendah di sini.
"Alhamdulillah mereka terbuka dan mereka mengalukan-alukan adanya semakan semula dan kami juga telah turun ke madrasah dan jumpa asatizah sebagai peringkat ataupun fasa pertama dalam mendapatkan maklum balas dan maklumat daripada asatizah," kongsi Sharifah Farah.
(Gambar fail para pelajar madrasah)
TIDAK ADA STANDARD YANG SAMA
Semakan baru yang tidak diwajibkan untuk diikuti ini turut bermakna menjelang 2025 kemungkinan tidak ada standard yang serupa di madrasah-madrasah di sini.
Misalnya, bagaimana beberapa madrasah di sini yang akan menggunakan bahasa Inggeris, manakala ada pula yang masih menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantara di sekolah masing-masing.
Ini walaupun Sharifah Farah sendiri akui terdapat 'cabaran-cabaran' tertentu dalam kelainan bahasa pengantara ini.
BACA: MUIS akan semak kurikulum madrasah sekolah rendah dan bantu golongan 'lebih memerlukan'
"Pada waktu ini dirasakan yang tidak semestinya semua yang menggunakan bahasa pengantaraan yang satu, ataupun yang sama. Ada juga kekuatan dalam mengajar dari awal lagi bahasa Arab, di mana pelajar akan terbiasa dengan bahasa Arab dan dengan kandungan-kandungan agama yang tentu sekali lebih banyak sekali bahasa Arab dari bahasa lain.
"Bagaimana pun ini adalah salah satu aspek yang kita lihat dan bincang bersama dengan asatizah dan kita boleh mengambil keputusan bersama bagaimana kita boleh ke depan dalam hal ini," kata beliau.
PROGRAM KHUSUS BAGI PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS AKAN DIBANGUNKAN
Bagi meningkatkan mutu pendidikan agama terhadap madrasah-madrasah mingguan di sini, buku-buku madrasah ALIVE versi kedua menurut Sharifah Farah, baru sahaja melalui peningkatan baru-baru ini.
Mengulas lanjut tentang pembaharuan yang akan dijalankannya, Sharifah Farah menambah, sebuah program khusus akan dibangunkan bagi membantu asatizah memberikan pendidikan bermutu bagi golongan pelajar berkeperluan khas.
Program khusus tersebut dilakarkan setelah melihat lebih ramai ibu bapa yang tampil ke hadapan untuk mendapatkan pertolongan dari aspek pendidikan Islam.
Untuk memastikan kesemua ini dapat dicapai dengan sebaiknya, sebuah piawai akan dilakar untuk dijadikan sebagai bahan rujukan, malah akan dikongsi dengan pusat-pusat pendidikan Islam privet di sini.
"Bagaimana sebagai satu sektor kita dapat membangun satu piawai supaya ibu bapa, anak-anak, siapa-siapa sajalah yang akan hantar anak mereka ke pusat pendidikan Islam, akan tahu apakah standard yang akan anak itu capai mungkin sekiranya dia sudah habis ikuti program 6 tahun, atau 10 tahun, dan seterusnya," tambah Sharifah Farah lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.