Skip to main content

Singapura

MUIS lantik 239 anggota Lembaga Pentadbir Masjid Daerah Timur

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS lantik 239 anggota Lembaga Pentadbir Masjid Daerah Timur

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim bersama Pengerusi Masjid yang baru dilantik untuk 18 masjid Daerah Timur. (Gambar: MUIS)

Diterbitkan : 30 Aug 2025 07:29PM Dikemas Kini : 30 Aug 2025 09:01PM

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melantik 239 anggota Lembaga Pentadbir Masjid (MMB) untuk berkhidmat di kesemua 18 masjid di Daerah Timur.

Demikian menurut kenyataan media MUIS pada Sabtu (30 Ogos).

Upacara Pelantikan Lembaga Pentadbir Masjid Daerah Timur 2025 diadakan di Masjid Al-Ansar pada Sabtu (30 Ogos).

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim.

Pelantikan terbaharu itu sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan anggota MMB sebanyak sekitar 37 peratus berbanding penggal sebelumnya, dengan 81 anggota berkhidmat bagi penggal pertama mereka - pertumbuhan besar kepimpinan bagi masjid-masjid di Daerah Timur. 

Para anggota MMB terdiri daripada individu dari pelbagai bidang profesional termasuk peguam, jurutera, teknologi maklumat, pendidik dan pemilik perniagaan, di samping asatizah. 

MUIS turut menyaksikan peningkatan anggota Muslimah dan golongan muda dalam MMB, dengan 40 peratus daripada mereka berusia bawah 45 tahun.

Ini sekali gus mencerminkan pendekatan inklusif yang membantu masjid kekal relevan dan bersedia menghadapi cabaran hari muka.

Dalam ucapannya, Ketua Eksekutif MUIS Kadir Maideen berbesar hati melihat transformasi kepimpinan masjid. 

“Kita melihat lebih ramai individu daripada pelbagai latar belakang dengan bakat yang rencam tampil untuk berkhidmat di masjid. 

"Ini adalah bukti kemajuan masjid-masjid kita dalam usaha untuk kekal relevan dan responsif terhadap cabaran masa kini dan akan datang,” kata beliau.

ANGGOTA BAHARU MMB

Ketua Eksekutif Kadir Maideen memberi ucapan sebelum pelantikan 239 anggota MMB bagi masjid Daerah Timur. (Gambar: MUIS)

Antara anggota baharu MMB ialah Sri Nur Asma-Ul-Husna Mohamed Hussain, 29 tahun, yang akan berkhidmat dalam Lembaga Pentadbir Masjid Darul Aman. 

“Apa yang paling memberi inspirasi kepada saya ialah peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat yang beribadah, belajar dan membesar di masjid. 

"Selepas meraih manfaat daripada program-program masjid sepanjang perjalanan kerohanian saya dan bekerja  rapat bersama belia, saya rasa bertanggungjawab untuk menyumbang semula (kepada masyarakat),” katanya. 

“Ini mendorong saya untuk menyumbang sebagai anggota MMB bagi memastikan generasi akan datang dapat mengakses peluang bermakna yang serupa, yang memperkaya perjalanan agama (faith journey) saya.” 

Sebagai anggota baharu MMB, Cik Sri Nur Asma-Ul-Husna juga berharap dapat merapatkan jurang antara generasi melalui perspektif segar dalam libat urus belia dan komunikasi digital bagi memastikan masjid kekal sebagai ruang yang selamat dan mesra untuk semua lapisan masyarakat.

Seorang lagi anggota lembaga baharu ialah Shahrez Shah Rahmansa Marican, 37 tahun, yang akan berkhidmat di Masjid Alkaff Kampung Melayu. 

Beliau berkata: "Saya mahu menyumbang dalam bidang-bidang di mana latar belakang saya paling bernilai, khususnya dalam latihan, pembangunan dan transformasi digital,” katanya. 

Beliau turut merancang untuk menyokong pembangunan keupayaan, meningkatkan proses operasi dan meneroka kaedah pendampingan masyarakat yang inovatif bagi membantu masjid berkembang sebagai pusat ilmu, kerohanian dan khidmat yang dinamik.

Muhammad Haikal Mohamed Harun, yang sebelum ini berkhidmat di Masjid Al-Islah, meluahkan rasa teruja terhadap pelantikannya sebagai Naib Pengerusi Kedua Masjid Kassim serta kerjasama dengan anggota-anggota baharu.

"Setiap seorang membawa pengalaman dan kepakaran unik yang akan mengukuhkan pasukan kami. Keutamaan kami adalah membina sinergi dan perancangan strategik untuk mempersiapkan masjid menghadapi cabaran masa depan. 

"Kami kekal komited untuk meneruskan legasi yang sedia ada demi manfaat masyarakat Islam dan masyarakat luas, ujar beliau.

Dr Faishal menarik perhatian bahawa pentadbir masjid yang mantap memastikan sumber digunakan dengan bijak dan program memenuhi keperluan keagamaan masyarakat Islam Singapura yang semakin berkembang dan rencam. 

"Setiap sumbangan penting, sama ada membantu program keagamaan, kegiatan belia, penjagaan warga emas, atau sokongan pentadbiran. Dan para sukarelawan masjid kita berusaha gigih untuk menyediakan program bermutu dan memberi impak kepada masyarakat kita," kata beliau.

MASJID DAERAH TIMUR AMBIL PENDEKATAN INOVATIF

Masjid-masjid Daerah Timur mengambil pendekatan inovatif dalam menyampaikan pembelajaran Islam. 

Antara inisiatif yang menyerlah termasuk QuranBit, iaitu sebuah platform pembelajaran Quran secara maya yang dilancarkan oleh Masjid Wak Tanjong.

Ia memberi manfaat kepada lebih 1,600 pelajar melalui 90 orang asatizah bertauliah, dan Rumah Ngaji oleh Masjid Darul Ghufran yang menawarkan pembelajaran di rumah.

Masjid-masjid Daerah Timur juga memanfaatkan pendekatan moden melalui media sosial seperti podcast 'The Talking Dome' dan 'The Ladies Minaret' dari Masjid Al-Istighfar.

Selain itu, Projek ZakatSD yang dimulakan di Daerah Timur pada 2023 juga menyediakan pendekatan “tiada pintu yang salah” (no wrong door) bagi bantuan kewangan. 

Ia kini dilaksanakan di 61 masjid serata Singapura. 

Upacara pelantikan tersebut turut mencerminkan komitmen MUIS untuk memupuk masyarakat masjid yang dinamik, responsif dan memberi impak, yang dapat memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura yang rencam dan sentiasa berkembang. 

Melalui usaha-usaha tersebut, MUIS akan memastikan masjid kekal teguh sebagai pusat kehidupan rohani dan penglibatan masyarakat yang aktif untuk generasi akan datang, menurut kenyataan medianya.

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita