MUIS lancar sijil halal digital baharu, ada kod QR dan tempoh sah lebih lama
SINGAPURA: Mulai 1 Oktober ini, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melancarkan sijil halal digital secara bertahap-tahap.
Ia merupakan antara usaha untuk mempertingkat kecekapan, keselamatan dan kebolehpercayaan dalam sistem pensijilan halal di sini.
Pembaharuan itu diumumkan di Seminar Antarabangsa Halal Singapura 2025 pada Rabu (24 Sep).
SIJIL HALAL DIGITAL BAHARU
Sijil halal fizikal masih akan dipamerkan di premis makanan seperti biasa namun akan ada tambahan kod QR yang dicetak pada sijil tersebut.
Dengan mengimbas kod QR itu, pelanggan atau orang ramai akan dibawa ke laman rasmi halal MUIS.
Pengguna kemudian boleh mendapatkan butiran pensijilan, status kesahihan dan jenis sijil yang diberikan kepada premis makanan tersebut, semuanya dikemas kini dalam masa nyata.
Ini bermakna tiada lagi perincian seperti tarikh luput sijil tersebut yang tertera padanya.
Terdapat juga ciri-ciri keselamatan khas pada kod QR yang dijana buat setiap sijil halal.
Ini termasuk tandatangan digital dan protokol penyulitan data atau 'encryption' bagi mengelakkan penipuan dan memastikan kesahihan sijil itu.
Pengarah Pembangunan Halal MUIS, Faizal Othman menjelaskan, "Dari segi penyalahgunaan, salah satunya ialah kemungkinan tempoh sijil itu telah tamat. Maka kalau sekiranya ia telah tamat, para pengguna boleh memberitahu kami dan kami akan turun padang untuk mengambil tindakan."
"Kedua ialah kalau sekiranya sijil halal itu mungkin namanya tidak sama dengan kedai atau restoran tersebut. Kalau sekiranya ia tidak sama, mereka juga boleh memberikan pandangan atau maklum balas kepada kami," tambahnya.
Meski begitu, pihak MUIS menegaskan bahawa dalam sistem baharu itu, para peniaga dinasihatkan untuk tidak mempamerkan sijil halal yang telah tamat tempoh.
Dengan pelaksanaan sijil baharu itu, para pengguna dapat mengesahkan sijil dengan cepat serta menerima kemas kini status halal premis makanan itu secara langsung.
Sebarang aktiviti penipuan yang mencurigakan atau sijil digital yang tidak berfungsi boleh dilaporkan di info [at] muis.gov.sg.
Sijil halal sedia ada juga masih boleh digunakan sehingga Mac 2026.
SIJIL HALAL DIGITAL BOLEH DILANJUTKAN SEHINGGA TEMPOH 5 TAHUN
Encik Faizal turut berkongsi bahawa Singapura menjadi antara negara yang pertama untuk mengambil langkah memperkukuhkan sistem halal dengan pendigitalan untuk kekal bersaing dengan negara-negara lain.
"Ini memberi kita peluang untuk meneliti bagaimana kita boleh mempertingkatkan lagi sistem kita di dalam negeri. Maka itu, kami telah memperkenalkan sijil digital dan juga satu rangka kerja di mana kita dapat menganalisa risiko halal secara komprehensif dalam Sistem Pengurusan Risiko Halal Komprehensif (CHARM).
"Dari sistem CHARM itu, kami dapat mengenal pasti setiap syarikat ataupun peniaga yang mungkin mempunyai risiko halal yang tinggi ataupun yang rendah di mana kita akan menyesuaikan tempoh sijil halal MUIS daripada setahun sehingga lima tahun," kongsi Encik Faizal.
Buat masa ini, tempoh sijil halal adalah setahun atau dua tahun dan melalui sistem CHARM, tempoh sijil boleh dilanjutkan kepada tiga atau lima tahun.
"Ini akan memberikan kesenangan kepada para peniaga. Mereka boleh fokus dalam perniagaan mereka di mana sistem tadbir urus pengiktirafan sijil halal ini tidak akan mengambil masa yang lama lagi," kata Encik Faizal.
RANGKA KERJA BAHARU BAGI PENSIJILAN HALAL ASING
MUIS turut mengumumkan satu lagi inisiatif baharu iaitu Rangka kerja pengiktirafan yang dipertingkatkan untuk badan pensijilan halal asing (FHCB).
Ia bertujuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem halal di peringkat nasional dan serantau.
Rangka kerja pengiktirafan yang dipertingkatkan untuk badan pensijilan halal asing (FHCB) akan memberi lebih jaminan kepada pelanggan Muslim serta golongan peniaga semasa membeli produk-produk halal yang diimport.
Ia dilakukan mengikut piawai pensijilan yang setanding dengan standard MUIS.
Inisiatif itu dilaksanakan susulan pindaan terkini di bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (AMLA), yang memberikan kuasa perundangan lebih jelas kepada MUIS dalam pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara.
Di bawah rangka kerja baharu itu, prosesnya dijangka mengambil masa lebih pendek daripada sekurang-kurangnya enam bulan sekarang kepada maksimum tiga bulan.
Mulai 1 Oktober 2025, permohonan pensijilan FHCB akan dilakukan melalui sebuah platform bersepadu yang direka untuk menyelaraskan aplikasi,
penilaian dan pemantauan FHCB yang diiktiraf oleh MUIS.
"Kita ingin mempertingkatkan rangka FHCB ini kerana pertama sekali kita mahu memperkuatkan lagi sistem pengurusan kita bagi pengiktirafan FHCB ataupun sijil halal luar negara.
"Ini merupakan satu usaha supaya sistem tadbir urus dalam pengiktirafan sijil halal luar negara ini akan lebih bermakna, lebih tertib di mana mereka akan menggunakan wadah yang baru, wadah digital," kata Encik Faizal.
Para peniaga boleh menghantarkan permohonan pengiktirafan mereka kepada portal https://fhcb.muis.gov.sg pada 1 Oktober.
Mereka juga boleh memantau status permohonan mereka dengan menerima makluman dan menyemak "dashboard" mereka.
"Dari wadah tersebut, kami akan mendapat beberapa perkara yang boleh membantu kami dalam urus tadbir pengiktirafan ini. Pertama sekali data yang kita terima itu dapat dikemaskini.
"Kedua, kita dapat menganalisa dan juga melihat risiko halal dari setiap bahagian supaya kita dapat memantau kalau sekiranya risiko itu tinggi ataupun rendah," kongsi Encik Faizal.
Langkah itu akan meningkatkan keyakinan pengguna, ketelusan dan keselamatan rantaian bekalan halal di peringkat antarabangsa.
Setakat ini, 101 FHCB sudah diiktiraf oleh MUIS.
PERKUKUH TADBIR URUS SISTEM PENSIJILAN HALAL SG
Langkah-langkah itu dianggap penting untuk memastikan kewibawaan sistem pensijilan halal di negara ini.
Dalam ucapannya di seminar itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata kerjasama juga penting untuk memperkukuh rangka kerja itu.
"MUIS komited untuk memperkukuh tadbir urus sistem pensijilan halal ini dengan meningkatkan rangkaian kerjasamanya. Ini adalah penting demi melindungi integriti tanda halal dan memastikan pengguna terus yakin dan percaya terhadap kewibawaan sistem pensijilan halal ini.
"Untuk mencapai matlamat ini, MUIS telah meningkatkan kerjasama dengan rakan kongsi industri untuk mewujudkan ekosistem yang mengukuhkan ketelusan pertanggungjawaban dan pematuhan sepanjang proses pensijilan kami," kata
Beliau menekankan usaha membina sektor halal yang dipercayai dalam negara, diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mampu merebut peluang baharu dalam industri makanan yang semakin dinamik dan pesat berkembang.
"Kami mahu memastikan para pengguna dapat terus membuat pilihan yang berasaskan maklumat yang tepat dan dengan penuh keyakinan, sambil memberikan perniagaan kelebihan daya saing yang diperlukan untuk berkembang dalam pasaran semasa," kata Dr Faishal.
SEMINAR HALAL ANTARABANGSA SG
Pihak penganjur berkongsi bahawa seminar yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan memperkukuh kerjasama dan meningkatkan standard industri halal global, sekaligus memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab halal serantau.
Ia adalah sebuah platform yang menghimpunkan para pakar, pengamal industri dan pihak berkepentingan dari dalam dan luar negara untuk membincangkan perkembangan terkini serta cabaran dalam sektor halal global.
Lebih 200 tetamu dan delegasi dari luar negara hadir bagi acara yang berlangsung di Hilton Singapore itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.