MUIS lancar saluran web SalamSG TV sempena Ramadan
Dengan langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan dikuatkuasakan sehingga sekurang-kurangnya 4 Mei, masyarakat Islam di Singapura perlu membuat penyesuaian penting mentelah lagi dengan kehadiran bulan Ramadan yang bakal menjelang.
(Petikan video: MUIS/Facebook)
SINGAPURA: Dengan langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan dikuatkuasakan sehingga sekurang-kurangnya 4 Mei, masyarakat Islam di Singapura perlu membuat penyesuaian penting mentelah lagi dengan kehadiran bulan Ramadan yang bakal menjelang.
Sejak penutupan masjid di serata negara pada 13 Mac lalu sebagai usaha membendung penularan COVID-19, umat Islam tempatan tidak dapat menunaikan ibadah mahupun mengikuti program dan kursus yang ditawarkan di sana seperti sebelumnya.
Lantaran itu, sempena Ramadan ini, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melancarkan satu saluran berasaskan web yang dipanggil SalamSG TV. Ia bagi memenuhi keperluan kerohanian masyarakat Islam sepanjang bulan suci tersebut.
MUIS, menerusi satu kenyataan media hari ini (20 Apr), menyatakan SalamSG TV akan bermula pada malam Ramadan, 23 April.
Dengan kerjasama Berita Harian, masjid-masjid serta pangkalan asatizah tempatan, saluran online itu bakal menyajikan kandungan yang bertujuan meningkatkan pengalaman kerohanian Ramadan masyarakat Islam dan memperkukuh daya tahan psikologi masyarakat Islam.
Saluran itu juga menekankan lagi salah satu mesej utama Ramadan daripada Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, bahawa masyarakat Islam masih boleh menjalani ibadah berpuasa yang penuh bermakna dengan mengekalkan semangat kemasyarakatan selain terus menimba ilmu melalui kaedah-kaedah alternatif bersama para asatizah secara online.
Sehubungan dengan itu, SalamSG TV akan menampilkan kandungan keagamaan eksklusif daripada tenaga azatizah muda mahu pun mapan termasuk topik motivasi dan bimbingan tajwid. Ceramah serta video keagamaan dalam bahasa Bengali dan Tamil turut disediakan.
Saluran tersebut juga sesuai diikuti untuk seisi keluarga kerana ia akan dipadatkan dengan kandungan gaya hidup termasuk kesenian dan kraf, video bercerita untuk kanak-kanak di samping bengkel seni khat serta tarannum.
Antara program terpilih menarik yang diseltikan dalam SalamSG TV termasuk Ramadan Kali Ini, Tanyalah Pakar serta Pandangan Mufti Hari Ini (Mufti's Thought of the Day).
SalamSG boleh diakses menerusi laman go.gov.sg/salamsgtv.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.