MUIS lancar QuranSG dengan 3 inisiatif baharu bagi galak pemahaman dan penghayatannya
Sekitar 150 peserta menghadiri pelancaran QuranSG di Masjid Kampung Siglap pada 6 Jun 2026. (Gambar: MUIS)
SINGAPURA: Sebuah buku bimbingan tadabur Quran diterbitkan secara elektronik oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
Menurut MUIS, ini merupakan sumber digital yang pertama seumpamanya sebagai bahan rujukan yang mudah difahami untuk Muslim dari pelbagai latar belakang ataupun tahap pemahaman ilmu agama.
Buku elektronik berjudul 'Melangkaui Bacaan' itu boleh diakses secara percuma oleh orang ramai melalui laman go.gov.sg/tadabbursg-ebook26.
Penerbitan buku elektronik itu diumumkan semasa majlis pelancaran siri program QuranSG di Masjid Kampung Siglap pada Sabtu (6 Jun).
Sepanjang enam bulan akan datang, pelbagai program akan dianjurkan untuk memperdalam hubungan masyarakat Muslim dengan kitab suci itu, bukan sekadar membaca atau menghafal tetapi juga memahami, merenung dan mengamalkannya.
Majlis itu diserikan lagi dengan kehadiran Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir yang menyantuni sekitar 150 hadirin.
Dalam ucapannya, Dr Nazirudin menekankan peri pentingnya untuk juga mengamalkan apa yang dipelajari tentang Quran.
"Ukuran sebenar hubungan kita dengan Quran ialah bagaimana kita menterjemahkan panduan Quran ke dalam akhlak, tindakan dan sumbangan kita kepada kemanusiaan," kata Dr Nazirudin.
JELAJAH MASJID SELURUH SINGAPURA
Sebagai lanjutan kepada penerbitan buku elektronik itu, pameran bergerak QuranSG akan diadakan di masjid-masjid di serata negara akan dianjurkan dari Mei hingga September 2026.
Dikendalikan oleh para asatizah tempatan, segmen khas tadabur juga akan disepadukan dalam program-program masjid.
Selain itu, pertandingan 'TadabburSG' akan menggalakkan penyertaan orang ramai menerusi cabaran masyarakat selama 50 hari.
Peserta digalak untuk berkongsi renungan peribadi mereka mengenai ayat-ayat Quran melalui kiriman video antara 29 Mei hingga 20 Julai 2026.
PELBAGAI PROGRAM BERSAMA MASYARAKAT
Bagi mereka yang ingin mendalami lagi penghayatan Al-Quran, Siri Bual Bicara 'TadabburSG' akan diadakan di empat masjid.
Sesi tersebut akan berlangsung:
10 Julai - Masjid Al-Khair
24 Julai - Masjid An-Nur
7 Ogos - Masjid Al-Falah
4 September - Masjid Al-Istighfar.
Dikendalikan oleh para asatizah Darul Tafsir, sesi tersebut akan membincangkan lebih mendalam surah-surah utama seperti Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Kahfi serta berpandukan Kerangka Tadabur yang diperkenalkan dalam buku berkenaan.
Selain itu, pertandingan Tahfiz dan Tilawah Quran terus dianjurkan bagi mengiktiraf kecemerlangan hafazan dan bacaan Quran dalam kalangan belia dan orang dewasa.
Peringkat akhir pertandingan Tahfiz diadakan pada 6 Jun 2026 selepas pelancaran QuranSG di Masjid Kampung Siglap.
Manakala peringkat akhir Tilawah akan berlangsung pada 16 Ogos di Masjid Sultan bersempena Festival QuranSG.
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program QuranSG serta penyertaan pertandingan TadabburSG, layari go.gov.sg/tadabbur.
Kemuncak QuranSG iaitu 'Seminar dan Festival QuranSG' akan dianjurkan pada November nanti.
Ia bakal menghimpunkan para ilmuwan serta masyarakat dalam meraikan pembelajaran dan wacana Quran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.