Skip to main content

Singapura

MUIS lancar program baharu perkukuh kepimpinan asatizah di SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Jul 2026 09:53PM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 06:21PM
  • MUIS melancarkan Program Pembangunan Kepimpinan Keagamaan (RLDP) untuk memperkukuh kepimpinan asatizah di Singapura, diumumkan oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir pada 20 Julai.
  • RLDP selama 12 bulan ini menyasarkan asatizah ARS Peringkat 1, menawarkan modul tadbir urus, kepimpinan, dan pemikiran keagamaan, serta dialog bersama pemimpin masyarakat.
  • Lima lulusan madrasah menerima Biasiswa MUIS dan Syed Isa Semait, termasuk Qurratu Aini Mohamadali dan Nor 'Aqilah Marsya Muhammad Syafie, sebagai pengiktirafan pencapaian akademik dan potensi kepimpinan mereka.
  • Biasiswa ini bertujuan menyokong pengajian Islam di luar negara dan menyediakan laluan kepimpinan kepada penerima untuk berbakti kepada masyarakat Islam Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melancarkan Program Pembangunan Kepimpinan Keagamaan (RLDP) iaitu sebuah inisiatif baharu yang bertujuan memperkukuh keupayaan kepimpinan golongan asatizah di Singapura.

Perincian program baharu itu diumumkan oleh Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir semasa di Majlis Anugerah Biasiswa MUIS (MS) dan Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) pada petang tadi (20 Jul).

Majlis tersebut turut menyaksikan lima lulusan madrasah menerima biasiswa-biasiswa tersebut.

PROGRAM PEMBANGUNAN KEPIMPINAN KEAGAMAAN PERKUKUH SALURAN PEMIMPIN MUIS

Program itu bersifatkan pembangunan bakat yang dibiayai sepenuhnya bagi menyokong pembangunan berterusan para asatizah selepas menamatkan pengajian formal mereka.

Dalam ucapannya, Dr Nazirudin berkata: "Program ini melengkapi skim biasiswa sedia ada MUIS dengan menyokong pembangunan berterusan golongan asatizah selepas mereka menamatkan pendidikan formal. Inisiatif-inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh saluran pembangunan kepimpinan MUIS."

Menurut MUIS, para pemimpin agama kini berdepan landskap yang semakin kompleks, termasuk perubahan geopolitik, perkembangan pesat teknologi dan penyebaran maklumat yang pantas.

Sehubungan itu, RLDP dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas MUIS untuk membina barisan pemimpin agama yang mampu memenuhi keperluan masyarakat Islam yang terus berubah.

Program selama 12 bulan itu dibuka kepada asatizah yang meraih Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat 1.

Peserta akan mengikuti tiga modul utama iaitu Tadbir Urus Hal Ehwal Islam di Singapura, Kepimpinan dan Penglibatan Masyarakat, serta Memajukan Pemikiran Keagamaan di Singapura.

Modul-modul tersebut menurut MUIS, dibina berasaskan asas yang diperoleh menerusi program Sijil Pascasiswazah dalam Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).

Setiap modul berlangsung sehingga lima hari dan diselesaikan dalam tempoh satu semester.

Selain mengikuti sesi pembelajaran, peserta juga akan menyertai dialog kepimpinan, perbincangan meja bundar dan sesi perkongsian bersama asatizah kanan, penggubal dasar serta pemimpin masyarakat.

Permohonan bagi kohort pertama dibuka dari 20 Julai hingga 24 Ogos menerusi laman MUIS.

Para calon akan dinilai berdasarkan komitmen mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat Islam Singapura, kesesuaian dengan objektif program, potensi kepimpinan serta sokongan daripada majikan, penyelia akademik atau pemimpin masyarakat.

MUIS menyasarkan seramai 30 peserta bagi kumpulan pertama RLDP.

Penerima Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) dan Biasiswa MUIS (MS) pula akan diterima secara langsung ke dalam program tersebut tanpa perlu mengemukakan permohonan.

Tarikh permulaan program itu akan diumumkan MUIS dalam waktu terdekat.

LULUSAN MADRASAH AL-MAARIF INGIN MANFAATKAN BIASISWA MUIS, INGIN TERUS BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT

Pencapaian holistik dua lulusan madrasah diiktiraf dengan Biasiswa MUIS tahun ini.

Mereka dipilih kerana rekod pencapaian akademik yang cemerlang, potensi kepimpinan dan komitmen untuk berbakti kepada masyarakat.

Antaranya ialah Qurratu Aini Mohamadali, lulusan Madrasah Al-Ma'arif A'liyah.

Valedictorian madrasah itu berkata: "Proses untuk mendapat biasiswa ini sungguh susah. Banyak yang saya perlu alami, banyak cabarannya juga. Disebabkan itu, berdiri di sini, saya rasa sangat terharu dan saya rasa bahawa saya perlu memikul tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi biasiswa ini."
Related article image
Qurratu Aini Mohamadali (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Qurratu Aini juga menjadi relawan sebagai mentor kepada para pelajar Menengah di Yayasan MENDAKI menerusi program-program anjuran badan itu.

Bernilai $120,000 setiap satu, biasiswa yang diterima Qurratu Aini menyediakan laluan khas buat para lulusan madrasah menyandang jawatan kepimpinan di institusi-institusi seperti madrasah dan masjid-masjid pada masa depan.

"Ia bukan sahaja menyokong saya dari sudut wang, tetapi dari sudut mengembangkan potensi saya menerusi kemahiran dan ilmu. Saya percaya biasiswa ini penting untuk saya menjadi seorang yang lebih baik yang dapat berbakti kepada masyarakat," ujar Qurratu Aini kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

Qurratu Aini sedang menanti jawapan permohonan ke Universiti Al-Azhar di Mesir.

Dia ingin memasuki jurusan Usuluddin, dengan pengkhususan dalam bidang Tafsir.

Seorang lagi penerima Biasiswa MUIS ialah Hannah Yusra Rashid, lulusan IB Diploma Madrasah Aljunied.

Mereka menerima anugerah itu daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad.

Majlis penyampaian biasiswa itu juga merupakan acara pertama yang dihadiri Encik Zaqy sejak menyandang jawatan tersebut pada Isnin (20 Jul).

Di samping menyampaikan biasiswa, Encik Zaqy sempat bergaul dengan para penerima biasiswa dalam satu sesi berasingan.

TIGA LULUSAN MADRASAH ALJUNIED PENERIMA BIASISWA SYED ISA SEMAIT 2026

Tahun ini, seramai tiga lulusan madrasah menerima Biasiswa Syed Isa Semait (SISS).

Antaranya ialah lulusan Madrasah Aljunied A'liyah, Nor 'Aqilah Marsya Muhammad Syafie.
Related article image
Nor 'Aqilah Marsya Muhammad Syafie (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Lulusan berusia 19 tahun itu melahirkan rasa kesyukuran dengan penerimaan biasiswa itu, yang dianggap satu tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi Almarhum Syed Isa Semait.

Nor ‘Aqilah berkata: "Beliau merupakan seorang tokoh yang dikenali dengan sifat rendah hati dan dedikasi dalam masyarakat. Menerima biasiswa ini bermakna saya memikul legasi beliau. Ia merupakan satu tanggungjawab besar tetapi Insya Allah dengan sokongan ahli keluarga, guru-guru dan rakan seperjuangan serta masyarakat dan MUIS, saya harap dapat meneladani secebis daripada keperibadian beliau dalam cara saya memimpin satu hari nanti."

Penerima Anugerah Pelajar Madrasah MUIS pada 2024 itu juga sedang menanti jawapan permohonannya ke dua universiti iaitu Universiti Yarmouk di Jordan dan Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi.

Nor 'Aqilah juga ingin mendalami jurusan Usuluddin dalam pengajiannya di luar negara kelak.

Pada masa depan, Nor 'Aqilah juga menanam hasrat untuk menceburi bidang pendidikan.

"Jika kita ingin mencorakkan masa depan sesebuah masyarakat, kita harus bermula daripada akarnya - iaitu pendidikan. Dengan cabaran kontemporari yang kita hadapi sekarang, kita harus menekankan pendidikan Islam yang teguh dengan nilai tradisi dan pada masa yang sama relevan dengan dunia moden."

Dua lagi lulusan madrasah Aljunied, iaitu Ahmad Eimran Darwisy Mohammed Suhaimi dan Sumayyah Jumadi turut menerima biasiswa tersebut.

Ini merupakan tahun kelima biasiswa itu diagihkan kepada para pelajar bagi menyokong pengajian Islam di universiti-universiti luar negara.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita