Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS lancar buku kongsi 50 tahun pembangunan dasar bagi bentuk kehidupan Muslim S'pura

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menggariskan tiga prinsip dalam usaha MUIS memperhalusi bidang kerjanya pada masa akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menggariskan tiga prinsip dalam usaha MUIS memperhalusi bidang kerjanya pada masa akan datang.

Ini termasuk terus komited untuk memenuhi keperluan masyarakat dan memperkukuh rangkaian kerjasama.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran buku sempena ulang tahun ke-50 MUIS, tahun ini.

(Gambar: MUIS)

Buku yang pertama seumpamanya itu mengkaji secara menyeluruh pembangunan dasar-dasar MUIS sepanjang tempoh 50 tahun.

Simboliknya, majlis pelancaran buku ini diadakan di lokasi ikonik di mana MUIS mula bertapak dengan dihadiri para pemimpin lama dan baru MUIS.

Antara yang hadir di majlis hari ini adalah mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim dan Abdullah Tarmugi, mantan Mufti Syed Isa Semait dan mantan Presiden MUIS Zainul Abidin Rasheed.

(Gambar-gambar: MUIS)

Bangunan di mana terletaknya Muzium Tamadun Asia di Empress Place sekarang merupakan 'rumah' pertama MUIS ketika ia ditubuhkan pada 1968.

LEBIH FAHAMI BAGAIMANA MUIS KENDALI EHWAL AGAMA

Kini 50 tahun sudah berlalu. Pelbagai cabaran sudah diharungi dan pelbagai dasar juga sudah dibentuk bagi maslahat masyarakat Islam Singapura.

(Gambar: MUIS)

Semuanya itu dikumpul dan diterbitkan dalam buku bahasa Inggeris 'Fulfilling The Trust: 50 Years of Shaping Muslim Religious Life in Singapore' atau terjemahannya, Memenuhi Amanah, 50 Tahun Membentuk Kehidupan Keagamaan di Singapura.

Ia merangkumi empat bahagian utama iaitu pembangunan asas MUIS, pembentukan kehidupan beragama dan pendidikan, pengurusan aset-aset dan khidmat serta pandangan menjangkaui masyarakat Islam Singapura.

(Gambar: MUIS)

Menerusi buku itu, masyarakat dapat lebih memahami bagaimana MUIS mengendalikan ehwal agama seperti pengeluaran fatwa, pensijilan halal serta pengurusan haji dan zakat.

Semasa menyampaikan ucapannya, Encik Masagos berkata buku tersebut tertumpu kepada pelbagai pertimbangan yang diambil kira oleh kepimpinan MUIS dan menggubal dasar-dasarnya pada waktu di mana terdapat rasa sangsi terhadap badan berkanun itu.

(Gambar: MUIS)

Sungguhpun demikian, beliau menambah, lima dekad kemudian MUIS sudah berjaya meraih kepercayaan dan menjalin hubungan erat dengan rakan kongsi serta masyarakat.

3 PRINSIP PERHALUSI BIDANG KERJA MUIS

Lantaran itu, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menggariskan tiga prinsip untuk MUIS memperhalusi bidang kerjanya pada masa akan datang.

"Pertama, MUIS terus komited untuk mendengar, memahami dan memenuhi keperluan masyarakat. Ini akan dicapai melalui ruang rasmi dan tidak rasmi, serta mencari huraian inovatif untuk memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat," kata Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

Prinsip kedua yang digariskan oleh beliau adalah usaha berterusan MUIS bagi memastikan bakat yang terbaik dalam keluarga besarnya demi membentuk kepimpinan jitu.

(Gambar: MUIS)

Menurut Encik Masagos, atas dasar ini, MUIS sudah memperhalusi Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) agar para asatizah dapat meningkatkan diri dan memberi bimbingan sewajarnya kepada masyarakat Islam dalam konteks Singapura yang berbilang agama dan budaya.

"Ketiga, kita perlu bersatu padu untuk kebaikan bersama. MUIS akan memperkukuh rangkaian kerjasama dengan masyarakat rakan kongsi yang lain dan juga dengan pemerintah," tambah beliau.

Beliau menekankan bahawa ini adalah teras utama di sebalik rangkaian M kuasa tiga (M3) antara MUIS, MENDAKI dan MESRA untuk memacu ke arah masyarakat Islam yang cemerlang.

"Kerjasama yang padu akan membawa masyarakat kita terbang lebih tinggi pada masa hadapan," katanya.

(Gambar: MUIS)

BUKUKAN DEMI GENERASI AKAN DATANG

Idea untuk membukukan detik-detik penting dalam sejarah MUIS dan cabaran serta kehidupan keagamaan di sini dicetuskan oleh pemegang jawatan terdahulu, Dr Yaacob Ibrahim.

"Saya rasa ini satu langkah yang penting bagi kita untuk membukukan pengalaman yang kita ada selama ini demi generasi yang akan datang. Proses ini bukan sesuatu proses yang mudah. Kita bermula dengan mengarkibkan buku-buku atau rencana-rencana dan ucapan-ucapan menteri dan juga rakan-rakan dari MUIS demi untuk mendapatkan satu gambaran yang sungguh menyeluruh," Dr Yaacob memberitahu BERITAMediacorp.

Semasa masih menyandang jawatan sebagai menteri, Dr Yaacob menubuhkan sebuah Jawatankuasa Sejarah Lisan (Oral History Committees) (COHC). Jawatankuasa itu bertujuan untuk menggabungkan usaha dan tenaga bagi menjalankan temu bual dengan pihak-pihak yang terlibat dalam perkara-perkara penting bagi masyarakat kita selagi mereka masih ada.

"Untuk kita membukukan perasaan mereka, pengalaman mereka, jadi para pengkaji yang akan datang boleh menggunakan bahan-bahan untuk membuat kajian yang saya rasa penting, saya rasa ini adalah satu langkah yang penting bagi kita untuk melakukan pendokumenan sejarah masyarakat Melayu Singapura," ujar beliau.

DITULIS KAKITANGAN MUIS SENDIRI

Buku ini mengandungi hasil tulisan oleh kakitangan MUIS sendiri dengan dibimbing dan disunting oleh Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.

"Kita tahu bahawa pada masa-masa akan datang isu yang membelenggu masyarakat itu akan semakin kompleks. Sebagai sebuah masyarakat yang rencam, kepelbagaian. Jadi kita boleh belajar daripada sejarah penubuhan MUIS, bagaimana MUIS membincangkan isu-isu yang sensitif dan mengambil dasar-dasar yang tertentu dalam menangani masalah-masalah yang dihadapinya sepanjang 50 tahun setelah penubuhannya," Dr Norshahril memberitahu BERITAMediacorp.

"Mungkin masyarakat di luar sana tidak tahu mengapa MUIS mengambil pendekatan-pendekatan sedemikian, jadi dengan buku ini kita dapat melihat perbincangan yang diadakan, perdebatan dan bagaimana MUIS cuba melihat alternatif-alternatif yang ada dan mengapa MUIS mengambil satu dasar tersebut," tambah beliau.

Buku 'Fulfilling The Trust: 50 Years of Shaping Muslim Religious Life in Singapore' sudah mula dijual di pasaran dengan buku kulit tebal berharga S$78 dan buku berkulit lembut berharga S$36. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa