Skip to main content

Singapura

MUIS labur S$1.5 juta; bangunkan kemahiran asatizah menerusi CCF

Di tengah-tengah penularan COVID-19 ini, usaha untuk terus membangunkan para asatizah akan dipergiatkan.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS labur S$1.5 juta; bangunkan kemahiran asatizah menerusi CCF

Gambar fail para asatizah pada 2019. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Di tengah-tengah penularan COVID-19 ini, usaha untuk terus membangunkan para asatizah akan dipergiatkan.

Dalam Seminar Kerja MUIS pada Jumaat (24 Apr), Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli turut melancarkan Rangka Kerja Kerjaya dan Kecekapan (CCF) untuk membangunkan kemahiran para asatizah serta laluan kerjaya mereka di hari muka.

Secara keseluruhannya, MUIS akan melaburkan S$1.5 juta tahun ini ke arah usaha tersebut.

BAGAIMANA ASATIZAH BOLEH MANFAATKAN CCF

Rangka Kerja Kerjaya dan Kecekapan (CCF) dibangunkan bersama masjid dan madrasah setempat sejak setahun lalu.

Asatizah kini boleh merujuk kepada CCF untuk mengetahui lebih lanjut tentang kemahiran yang diperlukan, mengenal pasti jurang kemahiran serta menyertai program latihan yang sesuai untuk kerjaya mereka.

Mereka juga boleh mengetahui tentang kerjaya lain dalam sektor keagamaan seperti penggubalan dasar agama, sektor pendidikan, masjid dan pembangunan masyarakat.

CCF juga mendefinisikan jawatan kepimpinan agama tertinggi dalam institusi-institusi agama di sini iaitu – Mufti dan di bawahnya adalah dua Timbalan Mufti, Dekan Akademi MUIS, Presiden Kanan Mahkamah Syariah dan Pendaftar Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

Pemimpin kanan itu akan bekerjasama dan menyokong Mufti membimbing para asatizah dalam bidang-bidang kepakaran yang berbeza.

"Pada masa akan datang, kami ingin melihat Mufti dilantik daripada pemegang jawatan yang telah meraih kemahiran dan pengalaman selepas melalui lima jawatan kanan ini. CCF menggariskan laluan dengan jelas untuk kesemua jawatan-jawatan ini," kata Encik Masagos.

MUIS GANDING BAHU DENGAN MSF; ASATIZAH RAIH MANFAAT DARIPADA BANTUAN

Encik Masagos turut berkongsi bahawa MUIS telah bekerjasama dengan NTUC dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF)
untuk membantu asatizah meraih manfaat daripada skim-skim bantuan.

Antaranya seperti Skim Bantuan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS) dan Geran Sokongan COVID-19.

Namun, hanya sebahagian asatizah telah memohon untuk skim-skim itu dan menggalak lebih ramai asatizah supaya berbuat demikian.

Menurut beliau, PERGAS sedang membantu mengesahkan status kerja mereka.

GESA ASATIZAH GUNAKAN KREDIT SKILLSFUTURE

Dengan terlaksananya CCF, Encik Masagos yakin para asatizah akan mempunyai lebih banyak peluang untuk memperluaskan kemahiran mereka dan menyumbang dengan lebih berkesan kepada masyarakat.

Sambil mengambil kira keadaan semasa COVID-19, MUIS sudah mengenal pasti dua kecekapan utama dari CCF, iaitu asatizah harus membina kemahiran digital dan kaunseling.

"Saya menggesa para asatizah supaya menggunakan Kredit SkillsFuture mereka untuk mendaftar bagi kursus-kursus yang relevan. Asatizah yang bekerja sendiri boleh memanfaatkan Skim Sokongan Latihan Bagi Individu yang Bekerja Sendiri," ujar Menteri itu.

Secara keseluruhannya, MUIS akan melaburkan S$1.5 juta tahun ini dalam inisiatif membangunkan dan meningkatkan kemahiran asatizah.

Ini termasuk mereka yang bekerja sepenuh masa di institusi agama mahupun yang bekerja sendiri dan secara sambilan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita