MUIS keluarkan irsyad; penggunaan vaksin COVID-19 dibenarkan bagi masyarakat Islam
MUIS menyatakan ia mengambil pendirian bahawa penggunaan vaksin COVID -19 dibenarkan bagi masyarakat Islam.
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengeluarkan irsyad (panduan) agama mengenai penggunaan vaksin COVID-19 bagi masyarakat Islam di Singapura pada petang Ahad (13 Dis).
MUIS menyatakan ia mengambil pendirian bahawa penggunaan vaksin COVID -19 dibenarkan bagi masyarakat Islam.
"Kami menasihatkan dan menggalak masyarakat Islam di sini supaya mendapatkan vaksin sebaik ia disediakan dan disahkan selamat serta berkesan secara perubatan kerana ia adalah keperluan asas untuk melindungi nyawa dalam konteks pandemik global sekarang," kata MUIS dalam satu kenyataan media.
MUIS menambah pandangan agama berhubung vaksin COVID-19 harus mengambil pendirian lebih menyeluruh yang mengatasi isu sempit berhubung halal ataupun dibolehkan bahan dalam vaksin tersebut.
3 ASPEK UTAMA DIAMBIL KIRA
Menurut MUIS, Pejabat Mufti mempertimbangkan dengan teliti tiga aspek utama dalam mencapai keputusan itu.
Pertama, vaksin itu sendiri dilihat sebagai "keperluan penting" dalam menyelamatkan nyawa dan memastikan masyarakat dapat berfungsi secara selamat.
"Vaksin itu adalah satu cara penting dalam menegakkan prinsip kesucian nyawa manusia dan mengelakkan bahaya kerana ia melindungi masyarakat daripada kesan buruk virus COVID-19," menurut MUIS.
Kedua, adalah dari sudut keselamatan dan keberkesanan vaksin. Pejabat Mufti mendapati sebarang vaksin COVID-19 harus tidak mempunyai kesan buruk dari segi perubatan dan sudah terbukti secara saintifik tidak membahayakan mereka yang mengambil vaksin berkenaan.
Tambahnya, pertimbangan itu penting selaras dengan prinsip mengelakkan bahaya sepertimana yang dijelaskan dalam kaedah fiqh.
Akhir sekali, adalah hukum hakam berhubung bahan-bahan yang digunakan dalam vaksin.
"Ada situasi yang membolehkan penggunaan bahan-bahan yang haram & najis bagi perubatan seperti di dalam beberapa amalan Nabi. Tambahan pula, bahan yang digunakan dalam proses penghasilannya telah menjalani pelbagai lapisan proses kimia seperti penapisan yang membuatnya tidak dapat dikesan atau sedikit saja tertinggal dalam produk terakhir," jelas MUIS.
Badan tertinggi ehwal masyarakat Islam itu memberi contoh ubat heparin yang menggunakan enzim dari babi serta vaksin rotavirus yang menggunakan trypsin, juga sejenis enzim.
"Proses itu sama dengan 'istihala' yang mana bahan asli berubah bentuk dan sudah tidak lagi terlarang,"kata MUIS.
"Lantaran itu, dalam keadaan sedemikian. produk akhir (ubat atau vaksin) dianggap boleh digunakan masyarakat Muslim."
MASAGOS ZULKIFLI ALU-ALUKAN IRSYAD MUIS
Dalam satu catatan Facebook pada Ahad, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkfili berkata beliau mengalu-alukan bimbingan jelas yang dikeluarkan Pejabat Mufti mengenai vaksin COVID-19.
Encik Masagos merujuk bagaimana prinsip sedemikian digunakan para ulama tempatan dalam beberapa Fatwa sebelum ini.
"Saya amat bersyukur dengan barisan pemimpin agama kita yang berilmu, progresif, tangkas dan faham akan keprihatinan masyarakat Melayu/ Islam setempat dalam konteks pandemik sejagat ini.
"Kepakaran mereka ini wujud berkat kerjasama erat ulama dan kepimpinan agama kita dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA)," ujar beliau.
Encik Masagos juga menyeru agar masyarakat Islam di Singapura tidak ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin apabila masanya tiba kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.