Skip to main content

Singapura

MUIS keluarkan fatwa berkenaan penundaan ibadah Haji atas masalah kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS keluarkan fatwa berkenaan penundaan ibadah Haji atas masalah kesihatan

Umat Islam melawat Masjidil Haram menjelang akhir musim haji 1446 Hijrah pada 8 Jun 2025. (Gambar: AFP)

SINGAPURA: Bakal jemaah yang tidak dapat menunaikan ibadah Haji atas sebab kesihatan dibenarkan menangguhkan ibadah itu atau melantik wakil untuk melaksanakannya.

Demikian menurut fatwa terbaharu yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Singapura.

Semasa sidang media di bangunan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Jumaat (24 Okt), Timbalan Mufti Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar berkata fatwa itu disediakan bagi membantu bakal jemaah Haji yang tidak diberikan visa oleh Arab Saudi kerana masalah kesihatan.

Ia juga sejajar dengan peraturan kesihatan terbaharu bagi menunaikan Haji yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah (MOHU) Arab Saudi.

Antaranya termasuk bakal jemaah perlu bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik yang tidak terkawal.
Dr Izal berkata: "Jawatankuasa Fatwa baharu mengeluarkan keputusan fatwa untuk memberi jalan keluar serta pilihan (kepada para jemaah terjejas). Sama ada mereka menangguhkan untuk menunaikan Haji pada masa akan datang apabila mereka sembuh dengan sepenuhnya. Adapun bagi mereka yang menghidapi penyakit yang tidak boleh pulih, bagi individu ini, mereka boleh melantik wakil untuk menunaikan Haji mereka ataupun Badal Haji."

Namun, Dr Izal menegaskan bahawa untuk menunaikan Badal Haji juga perlu dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

"Jawatankuasa Fatwa akur untuk mengatur Badal Haji bukan mudah, ia mendatangkan cabaran tertentu. Lantas, individu ini tidak perlu tergesa-gesa ingin menunaikan Badal Haji, ia boleh ditangguhkan pada masa sesuai. Jawatankuasa Fatwa akur walaupun dengan usaha yang dilakukan, untuk menunaikan Badal Haji mungkin tidak dapat dijalankan. Dalam keadaan itu, seperti yang ditetapkan ulama terdahulu, individu yang tidak berjaya menunaikan Badal Haji walaupun setelah berusaha, bagi individu ini, menunaikan haji bukan kewajipan lagi," jelas Dr Izal lagi.
 
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa pada Jumaat (24 Okt), ia memberi jaminan kepada bakal jemaah Haji yang telah mendaftar tetapi berdepan dengan masalah kesihatan bahawa ganjaran pahala tetap akan diberikan kepada mereka, sebagaimana yang tercatat dalam hadis Qudsi.

Setiausaha Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS), Ustazah Juyda Noor Mohamed mengalu-alukan fatwa yang dikeluarkan itu.

Semasa bertemu pihak media, Ustazah Juyda berkata: "Kami akur bahawa ia sesuai dengan masa sekarang, kerana keadaan demografi jemaah Singapura dan penerimaan tentang hukum Haji. Kita tahu bahawa ibadah Haji adalah wajib. Tetapi ia perlu disertakan dengan persiapan di mana ia mental, kewangan dan kesihatan."

"Fatwa ini sangat baik bagi masyarakat dan kesemuanya kerana ini satu pendekatan yang akan mendapatkan kebaikan. Sekiranya para jemaah boleh bersabar, menerima dengan lapang dada, Insya Allah dipermudahkan ibadah Haji sama ada tahun depan atau tahun-tahun berikutnya kerana ini adalah berita yang perlu diterima secara positif."
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita