MUIS keluarkan arahan henti guna produk Li Chuan Fish Ball & Cuttlefish Ball
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengeluarkan arahan supaya secara serta merta berhenti menggunakan produk Li Chuan Fish Ball dan Cuttlefish Ball, baik yang biasa mahupun beku.
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengeluarkan arahan supaya secara serta merta berhenti menggunakan produk Li Chuan Fish Ball dan Cuttlefish Ball, baik yang biasa mahupun beku.
Surat pekeliling MUIS itu yang dilihat BERITAMediacorp, bertarikh hari ini (29 Jan) dan ditujukan kepada semua pemilik sijil halal MUIS.
"Para pemilik sijil halal MUIS yang sudah membeli produk-produk terbabit yang disebut di atas perlu berhenti menggunakannya dengan serta merta," bunyi kandungan surat MUIS itu.
Arahan itu dibuat menyusuli langkah Kementerian Ehwal Agama Brunei mengeluarkan penjelasan pada 27 Januari mengeluarkan maklumat supaya produk Li Chuan Fish Ball dan Li Chuan Cuttlefish dipindahkan ke bahagian tidak halal selepas ia didapati mengandungi DNA babi. Gambar surat penjelasan itu tular menerusi media sosial.
Surat pekeliling MUIS juga akur bahawa Kemeterian Ehwal Agama Brunei sudah mengeluarkan amaran menarik balik kedua-dua produk berkenaan.
Menurutnya lagi: "Memandangkan produk-produk terbabit dikeluarkan oleh salah satu pemegang sijil halal MUIS, Li Chuan Food Products Pte Ltd, MUIS sedang menyiasat perkara ini.
"Oleh itu, MUIS sudah meminta pengilang yang disebut di atas (Li Chuan Food Products Pte Ltd) supaya menarik balik produk-produk yang terjejas dan berhenti mengagihkannya sedang siasatan dijalankan."
Surat pekeliling itu dikeluarkan di bawah nama Ketua Pensijilan Halal MUIS, Nurul Hidayah Abubakar.
Surat tersebut kini tular menerusi media sosial termasuk WhatsApp. Beberapa laman seperti Facebook HalalHub Consultants turut memuat naik maklumat tersebut hari ini (29 Jan).
Menurut MUIS dalam surat pekeliling itu, produk Li Chuan Fish Ball yang perlu segera dihentikan tertera tarikh luput 9 Jun 2022 dan 7 Oktober 2022. Manakala produk Li Chuan Cuttlefish Ball yang perlu dihentikan penggunaannya bertarikh luput 9 Jun 2022.
Menerusi catatan di laman Facebooknya, HalalHub Consultants juga menasihatkan para kliennya, yang termasuk para peniaga Muslim supaya berhenti menggunakan produk tersebut sehingga selesai siasatan MUIS.
Mesej-mesej tersebut mendakwa produk-produk jenama Li Chuan yang dipercayai tidak halal.
MUIS juga menasihatkan masyarakat Islam setempat supaya jangan membuat sebarang spekulasi sehingga selesai siasatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.