Skip to main content

Singapura

MUIS, HPB perkenal sesi orientasi awal Haji, sedia bakal jemaah dengan panduan persiapan menyeluruh

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat julung kalinya, satu sesi orientasi khas diadakan pada Sabtu (17 Jan) bagi bakal jemaah Haji Singapura, bertujuan menyediakan panduan menyeluruh merangkumi pelbagai aspek persiapan ibadah Haji.

Dianjurkan bersama oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), dengan sokongan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) dan Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA), sesi tersebut diadakan bagi memastikan bakal jemaah lebih bersedia dari segi fizikal, mental dan rohani, sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Menurut MUIS, penganjuran awal iaitu sekitar empat bulan sebelum musim Haji, membolehkan bakal jemaah membuat persiapan yang lebih terancang, selain memenuhi syarat kesihatan pihak Arab Saudi yang lebih ketat bagi memastikan jemaah berada dalam keadaan fizikal yang baik ketika menunaikan ibadah Haji.

Sebelum ini, para bakal jemaah hanya akan menjalani kelas-kelas manasik Haji dengan GSA tersendiri dan menghadiri sesi taklimat pra-keberangkatan Haji yang diadakan beberapa minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Dalam ucapannya, tetamu kehormat Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata: "Perjalanan haji anda bermula dari sekarang, melalui persiapan yang menyeluruh – dari segi fizikal, mental dan rohani. Kami komited untuk menyokong dan memudahkan ibadah haji bagi masyarakat Islam."

"Persiapan awal adalah amat penting kerana ibadah haji menuntut kesiapsiagaan dari pelbagai aspek – fizikal, mental dan rohani. Haji merupakan ibadah yang mencabar dari segi fizikal. Para jemaah akan berjalan jauh di Mina, Arafah dan Muzdalifah. Dengan cuaca yang tidak menentu di sana, anda memerlukan kekuatan, stamina dan kesihatan yang baik," tambah beliau lagi.

DENGAR PENCERAHAN KEROHANIAN, KESIHATAN BAGI SIAPKAN DIRI UNTUK IBADAH HAJI

Semasa sesi selama dua jam setengah itu, para bakal jemaah Haji antaranya dapat mendengar tazkirah oleh Pejabat Mufti untuk mempersiapkan diri mereka dari segi rohani.

Para bakal jemaah juga digalak untuk menyertai kelas-kelas manasik Haji mereka agar lebih memahami ibadah Haji dengan lebih mendalam lagi.

Mereka juga menimba ilmu dari aspek kesihatan dan fizikal.
Related article image
Anggota MHPA, Dr Elly Sabrina Ismail membuat pembentangan di sesi orientasi Haji 2026 (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Anggota MHPA, Dr Elly Sabrina Ismail misalnya berkongsi nasihat tentang cara-cara melakukan senaman serta menimbangkan kesesuaian kegiatan yang ingin dilakukan.

Menurut beliau, ia penting untuk para bakal jemaah memulakan persiapan fizikal di peringkat lebih awal lagi sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Dr Elly berkata: "Sebelum ini, MHPA mengadakan ceramah-ceramah kesihatan. Tahun ini, kita jangkakan banyak perubahan kerana pertama kali semua jemaah perlu menjalani saringan perubatan, mereka perlu berdikari di sana untuk berjalan. Disebabkan keperluan ketat ini, ini penting untuk kita mula dari sekarang kerana keadaan ini semua boleh diusahakan sekiranya kita mula dari awal lagi."

Salah satu program kerjasama antara MHPA dan HPB termasuk 'Get Fit For Haj' yang diwajibkan untuk dianjurkan oleh setiap GSA bagi jemaah masing-masing.
Related article image
Pemangku Menteri Beratnggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di luar sesi orientasi Haji 2026 (Gambar: Nurhelmy Hakim)

"Kami juga mendapat maklum balas AMTAS dan MUIS yang memberi gambaran bagaimana masalah jemaah apabila mereka di sana, masalah jasmani, penyakit kronik. Jadi dengan maklum balas ini, MHPA bekerjasama dengan HPB dan ramai di antara doktor dan jururawat yang sudah mempunyai pengalaman peribadi melalui Haji, jadi kami faham dengan cabarannya. Jadi kami bekerjasama dengan HPB, untuk melaksanakan Get Fit For Haj' kerana apabila kita dapat memantapkan jasmani, di sana anda akan hanya perlu fokus kepada ibadah anda," ujar Dr Elly.

Penolong Setiausaha AMTAS, Cik Noor Faizah Mustaffa mengharapkan para bakal jemaah pulang dengan rasa lebih yakin dalam persiapan mereka untuk menunaikan ibadah Haji.

"Kami harap para jemaah dapat manfaatkan sesi ini dengan minda terbuka agar mereka lebih sihat dari segi fizikal dan mental. MUIS, AMTAS dan GSA telah bersatu untuk memastikan para jemaah tiba di Tanah Suci dengan bersedia secara holistik," ujar beliau.

"Bagi pihak GSA pula, kami dapat selaraskan rangka kerja, jangkaan dan nasihat-nasihat supaya kami dapat bergerak sama-sama dengan tujuan sama bagi jemaah Singapura," tambah Cik Noor Faizah lagi.

Menyentuh tentang kenaikan peruntukan kuota haji bagi warga emas berusia 70 tahun ke atas, Cik Noor Faizah berkata bahawa MUIS dan AMTAS bekerjasama dengan para penyedia khidmat Haji di Arab Saudi untuk melaksanakan penyesuaian yang praktikal.

Beliau berkata: "Pertama dari segi jarak hotel dengan masjid, dengan tempat-tempat penting untuk perjalanan haji seperti kompleks Jamrah, ini akan dapat mengurangkan beban fizikal untuk para jemaah, dan juga kurangkan jarak dan masa perjalanan."

"Dari segi pengangkutan, ia sudah bertambah baik dari segi susunan privet dan mutu bas-bas. Kami pastikan setiap jemaah dapat tempat duduk selesa sepanjang perjalanan. Menerusi pergerakan yang diatur secara strategik, kami pastikan para jemaah dapat dikesan sepanjang perjalanan, kami pastikan mereka tidak melaksanakan ibadah haji mereka pada waktu-waktu sesak," jelas beliau lagi.

MAKLUM BALAS POSITIF BAKAL JEMAAH

Beberapa bakal jemaah Haji yang ditemui BERITA Mediacorp mengalu-alukan sesi orientasi yang diadakan.

Related article image
Penasihat Akar Umbi GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (paling kanan) di luar sesi orientasi Haji 2026 (Gambar: MUIS)
Encik Iskhandar Shah, 67 tahun berkata: "Saya rasa ini satu perkara baik kerana semua diliputi dalam satu pakej yang mana para jemaah dapat mempersiapkan diri untuk lebih baik lagi bersedia sebelum melakukan Haji."

"Ini adalah satu persiapan yang saya berterima kasih kepada jawatankuasa yang terlibat yang mengatur acara pada pagi ini. Ini sangat bagus," tambah jemaah GSA Halijah Travels itu.

Seorang lagi jemaah Halijah Travels, Cik Rohana Ibrahim pula berkata: "Sesi hari ini agak memanfaatkan, bukan sahaja dari segi kerohanian tetapi juga dari aspek persiapan fizikal dan kesihatan. Mungkin kita mengambil mudah beberapa perkara, kita fikirkan kita sudah bersedia. Menerusi sesi ini, saya rasa ia membantu saya dengan lebih baik kerana saya akan dapat mengurus kesihatan fizikal dan mental dengan lebih baik."

"Untuk empat bulan akan datang ini, saya boleh memperbaiki diri secara rohani, perbanyakkan solat dan zikir. Kalau ada perkara yang saya kekurangan, saya boleh memperbaiki dan memperbanyakkan lagi," tambah beliau yang sudah menunggu sekitar 13 tahun sejak pendaftaran sebelum dijemput ke Baitullah tahun ini.

900 bakal jemaah Haji menghadiri sesi orientasi itu yang dibahagikan kepada sesi pagi dan petang.

MUIS merancang untuk mengadakan sesi orientasi sedemikian buat tahun-tahun mendatang.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita