Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS hantar pasukan perubatan terbesar untuk musim haji 2023

Pasukan perubatan bagi jemaah haji tahun ini adalah yang terbesar sejak 2019.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasukan perubatan bagi jemaah haji tahun ini adalah yang terbesar sejak 2019.

Seramai 19 orang yang terdiri daripada lima pegawai perubatan dan 14 jururawat akan menyertai rombongan haji di bawah Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) tahun ini.

Ini berbanding 11 anggota tahun lalu dan 16 anggota pada tahun 2019.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli yang turut hadir di sesi taklimat pra-keberangkatan jemaah haji pada Sabtu (27 Mei) berkata jumlah lebih tinggi itu bagi memenuhi keperluan jemaah haji yang lebih berusia tahun ini.

"Saya gembira tahun ini kerana keberangkatan lebih ramai lagi jemaah haji, jumlah pegawai doktor dan jururawat adalah 19 tahun ini, lebih daripada tahun lalu. Ini akan memberikan perkhidmatan yang sebaiknya kepada mereka. Apa lagi lebih ramai tahun ini adalah warga yang lebih tua dan mungkin memerlukan perubatan lebih daripada tahun-tahun yang lalu."

(Gambar: Syawal Yusoff)

Bagi musim haji kali ini, 63 peratus jemaah merupakan mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Ini lebih-lebih lagi setelah had usia ditiadakan lagi bagi jemaah tahun ini. Pada musim haji yang lalu, hanya mereka yang berusia 65 tahun ke bawah sahaja yang dibenarkan.

Dalam sesi taklimat pra-keberangkatan haji yang diadakan di Singapore EXPO pagi tadi (27 Mei), kesemua 900 jemaah haji tahun ini juga diberikan panduan kesihatan agar mereka dapat menjaga kesihatan masing-masing dengan lebih baik sepanjang berada di tanah suci.

Di samping itu, mereka juga diberi lebih banyak penerangan tentang proses ibadah tahun ini.

Encik Masagos yang juga Menteri Kedua Kesihatan memuji usaha-usaha yang dijalankan bagi mempersiapkan tahap fizikal dan mental para jemaah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kami bergembira kerana pihak Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) dan Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) telah lama menjalankan program meningkatkan kesihatan para jemaah, sebelum mereka berangkat. Harapan saya setelah mereka pulang nanti dari haji, mereka akan lebih sihat daripada sebelum mereka berangkat insya-Allah," ujar Encik Masagos.

Kumpulan pertama jemaah haji Singapura akan berangkat pada 8 Jun ini dan rombongan yang terakhir pula pada 24 Jun.

JEMAAH 65 TAHUN KE ATAS HARUS LEBIH BERWASPADA TERHADAP KESIHATAN MEREKA

Ketua delegasi jemaah haji tahun ini, Presiden MUIS, Mohamed Sa'at Abdul Rahman juga memberi jaminan bahawa pihak SPAO akan mengutamakan kesihatan dan keselamatan.

"Pihak berkuasa Arab Saudi menasihati semua jemaah haji supaya mendapatkan vaksinasi
COVID-19, meningitis dan influenza. Selain itu, jemaah yang berusia 65 tahun dan ke atas atau mereka yang menghidap penyakit kronik dinasihatkan supaya mengambil vaksin Pneumokokus. Vaksin Pneumokokus boleh melindungi penyebaran bakteria melalui sentuhan individu ke individu yang menyebabkan jangkitan serius seperti pneumonia, jangkitan darah dan bakteria meningitis," kata Encik Sa'at.

Setiap jemaah yang hadir semasa sesi taklimat itu juga dilengkapi dengan sebuah 'Kit Penjagaan Jemaah' yang mengandungi barangan seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman serta risalah untuk memuat turun aplikasi PilgrimSG.

Aplikasi yang dilancarkan tahun lalu itu antara lain boleh memastikan jemaah haji Singapura yang berada di tanah suci dapat dikesan lokasi mereka apabila mereka sesat dengan mereka menekan butang SOS.



Sehubungan dengan itu, Encik Sa'at turut meminta kerjasama para jemaah untuk sentiasa berwaspada dan mengamalkan penjagaan kesihatan serta kebersihan diri.

"MUIS, AMTAS dan agensi pelancongan Haji (GSA), telah mengambil langkah berjaga-jaga dan perancangan kecemasan yang teratur untuk memastikan keselesaan, keselamatan dan kebajikan jemaah haji dalam mereka menjalankan ibadah haji mereka," tambahnya.

PENANTIAN 10 TAHUN BERAKHIR

Antara jemaah yang ghairah untuk menunaikan haji tahun ini ialah pasangan suami isteri Encik Zulkhairi Abu Bakar, 50 tahun dan Cik Siti Aisah Mohamed Yusop, 46 tahun.

Selepas menunggu hampir 10 tahun, akhirnya mereka mendapat peluang untuk menunaikan ibadah haji tahun ini. Mereka dimaklumkan MUIS pada sekitar Februari lalu.

"Rasa gembira dapat peluang hendak menunaikan haji. Kita tunggu selama 10 tahun. Jadi dapat peluang. Mula-mula macam takut. Lepas itu kita kata tak apalah. Ini undangan dari Allah. Kita pergi sahaja tunaikan," kata Cik Siti Aisah, seorang guru di Sekolah Menengah Woodlands Ring.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Meskipun rasa teruja untuk menjadi antara jemaah haji Singapura tahun ini, beliau menghadapi dilema kerana sedang merawat bapanya yang sedang sakit tenat akibat barah prostat pada waktu menerima surat tawaran itu.

"Takut kalau saya pergi, dia kembali ke Rahmatullah, saya tidak dapat jumpa. Saya berbincang dengan arwah bapa. Lepas itu arwah bapa cakap pergi sahaja. Ini peluang keemasan," kata Cik Siti Aisah, yang baru sahaja kehilangan bapanya pada Jumaat (19 Mei) lalu.

PERSIAPKAN TAHAP FIZIKAL SENDIRI UNTUK JAGA IBU BAPA DI TANAH SUCI

Cik Siti Aisah dan suami akan berangkat ke tanah suci pada 24 Jun ini mengikut rombongan AQ Travel & Tours Pte Ltd.

Selain persiapan rohani, mereka juga melakukan persiapan dari segi fizikal.

Menurut suaminya, Encik Zulkhairi yang bertugas di Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), beliau mula melakukan senaman dengan berjalan sehingga 10 kilometer setiap hari untuk mempertingkatkan staminanya.

"Saya risau nanti kalau saya tak boleh, takut saya sendiri pun tak kuat nanti. Jadi makanya saya buatkan persiapan saya berjalan, bersenam, jadi biasakan diri itu jadi bertenaga bila dekat sana," kata Encik Zulkhairi.

Mereka yang akan bersama bapa Encik Zulkhairi, 76 tahun dan ibunya, 69 tahun akan dijaga baik oleh para pegawai dan 29 anggota delegasi SPAO tahun ini.

Bagi keperluan administrasi dan pengurusan, SPAO akan menubuhkan Pusat Operasi Haji di Makkah dan Madinah serta klinik-klinik di kedua-dua lokasi itu selain di Shisha.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan