MUIS ganding bahu NUS, SUSS lancar program PCICS Apr 2020
Program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) akan mula dijalankan April tahun depan dengan sekitar 60 siswazah dalam pengambilan pertamanya.
SINGAPURA: Program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) akan mula dijalankan April tahun depan dengan sekitar 60 siswazah dalam pengambilan pertamanya.
Demikian diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli semasa berucap di bengkel Pendidikan Tinggi Islam yang diadakan buat julung-julung kalinya hari ini (24 Jul).
Semua lulusan agama dari luar negara perlu menjalani PCICS sebagai prasyarat sebelum diterima masuk ke dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Program setahun itu juga bertujuan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan bagi menghadapi isu dan masalah agama dalam konteks Singapura untuk berkhidmat dalam sektor agama di sini.
Sebelum ini, para lulusan agama perlu menjalani program ICON selama empat minggu sebelum diterima masuk ke dalam ARS.
BERITAmediacorp dimaklumkan, program tersebut akan merangkumi sekitar tujuh modul. Ia akan dikendalikan dan diselaraskan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerusi Akademi MUIS.
MUIS JALIN KERJASAMA DENGAN NUS, SUSS
Turut diumumkan hari ini adalah kerjasama antara MUIS dengan dua universiti tempatan, iaitu Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
MUIS menyatakan kerjasama tersebut bakal menjadikan PCICS lebih holistik, yang mana NUS dan SUSS boleh menyumbang kepakaran mereka dalam sains kemasyarakatan untuk mengajar kemahiran-kemahiran seperti dalam urusan kerja sosial dan kaunseling.
"Kita ingin asatizah masa hadapan dilengkapi dengan pengetahuan lain selain ilmu agama. Ini sebabnya kami menjalin kerjasama ini. Kami ingin golongan asatizah menjadi berkesan dan mampu membimbing para penduduk Islam dalam sebuah masyarakat majmuk," kata Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air.
PCICS, ujar beliau, adalah sebahagian daripada usaha ke arah menubuhkan Kolej Islam Singapura yang bakal melatih golongan asatizah yang akan membimbing generasi akan datang.
Pada Mac lalu, MUIS memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Jordon sebagai satu bentuk kerjasama jangka panjang bagi melakar PCICS dan program ijazah sarjana muda baru sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menubuhkan Kolej Islam di Singapura. MUIS juga sudah menjalin kerjasama dengan Universiti Al-Azhar.
Pengambilan pertama bagi program PCICS sebesar 60 pelajar, namun tambahan antara 100 hingga 120 tempat kosong akan ditawarkan setiap tahun selepas itu.
PROGRAM MENYELURUH TAWAR PELBAGAI PELUANG LUASKAN PENGETAHUAN
Beberapa modul di bawah PCICS yang bakal ditawarkan termasuk Islam di Singapura, Memahami Dunia Sosial, Agama dalam Masyarakat Kontemporari serta modul-modul pengenalan seperti kaunseling, kerja sosial dan psikologi.
"Mereka boleh mendalami beberapa aspek pengamalan agama Islam dalam konteks Singapura, khususnya dalam menangani isu-isu kontemporari dan persoalan-persoalan yang (mungkin) akan mereka hadapi dalam menjalankan tugas sebagai asatizah," jelas Pengarah Pembangunan Keagamaan dan Dasar MUIS, Dr Nazirudin Mohd Nasir, yang juga Timbalan Mufti.
Modul-modul tersebut akan disampaikan menerusi 'blended learning' di mana para siswazah mempelajar menerusi wadah online di samping menghadiri kelas-kelas seperti biasa.
Selain mengikuti modul-modul yang ditawarkan dalam tempoh setahun, para siswazah juga berpeluang menyertai latihan amali, projek dan bengkel-bengkel kemahiran yang akan membantu mempersiapkan mereka melangkah ke alam pekerjaan dalam sektor agama atau berkaitan.
Mereka juga boleh mengikuti lawatan belajar dan bertemu dengan para sarjana, pemimpin dan profesional yang akan membantu dalam pembelajaran mereka.
USAHA LAKAR KURIKULUM KOLEJ ISLAM S'PURA GIAT DIJALANKAN
Bengkel Pendidikan Tinggi Islam yang diadakan buat pertama kalinya hari ini merupakan siri pertama perbincangan anjuran MUIS dan Pusat Penyelidikan dan Penilaian dalam Pendidikan Islam (CREME).
Dalam sesi tersebut, para ahli akademik dan pakar-pkar dalam pendidikan dan pengajian Islam bersama-sama berkongsi idea untuk menubuhkan Kolej Islam Singapura yang melatih barisan asatizah dan sarjana yang akan membimbing generasi-generasi akan datang.
"Hari ini kita mengumpulkan para profesor akademik dari pelbagai pelusuk dunia untuk menghasilkan kurikulum dan pemikiran bagaimana membimbing asatizah untuk masa depan.
"Dalam kita membina masyarakat gemilang, kita perlu sokongan daripada golongan asatizah kita supaya terus membimbing kita supaya menjadi masyarakat yang berwibawa, yang ada keperibadian yang terpuji," kata Encik Masagos.
Apabila ditanya pula bila Kolej Islam Singapura akan ditubuhkan, Encik Masagos berkata PCICS adalah satu "tahap awal" membina badan-badan ilmu yang diperlukan untuk menawarkan program-program kolej tersebut.
Bengkel Pendidikan Tinggi Islam yang diadakan kali ini berlangsung selama dua hari sehingga esok (24 Jul). Selain siri bengkel itu, MUIS juga akan mendapatkan hasil tinjauan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.