MUIS, Darul Arqam meterai perjanjian S$1.5 juta, lanjutkan kerjasama sokong saudara baru
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memeterai perjanjian selama tiga tahun lagi dengan Persatuan Darul Arqam untuk melanjutkan kerjasama demi memberi sokongan yang berterusan kepada saudara baru.

(Gambar: MUIS)
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memeterai perjanjian selama tiga tahun lagi dengan Persatuan Darul Arqam untuk melanjutkan kerjasama demi memberi sokongan yang berterusan kepada saudara baru.
Demikian menurut MUIS dalam satu kenyataan media pada Jumaat (4 Feb).
Perjanjian yang dilanjutkan sehingga 2024 itu dimeterai oleh Ketua Eksekutif MUIS Encik Kadir Maiden dan Presiden Persatuan Darul Arqam, Encik Muhammad Imran Kuna di Hab Islam Singapura.
Di bawah perjanjian itu, MUIS akan menyumbang dana S$1.5 juta kepada Darul Arqam antara 2022 hingga 2024 untuk meneruskan dengan usaha membimbing golongan mualaf.
Darul Arqam juga akan terus mengendalikan khidmat Pusat Sehenti bagi Saudara Baru sehingga Disember 2024, dengan geran tahunan sebanyak S$505,200.10.
Khidmat ditawarkan pusat yang bermula sejak tahun 2005 itu termasuk pendaftaran masuk Islam selain sokongan lain dan program pendidikan agama Islam bagi saudara baru.
Dengan kerjasama yang dilanjutkan sehingga 2024 itu, saudara baru diberi jaminan sebuah sistem sokongan yang kukuh, menurut MUIS.
Selain daripada bantuan geran, MUIS turut akan memperuntukkan lebih banyak sumber bantuan kepada Darul Arqam menerusi projek-projek lain yang boleh menawarkan sokongan menyeluruh kepada saudara baru.
Kerjasama itu sebahagian daripada tanggungjawab MUIS dan Darul Arqam untuk memastikan kesejahteraan saudara baru di sini terpelihara dan dijamin rangkaian sokongan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.